BERITA+ Permainan taktikal ala 'komando' eratkan keluarga besar ini
"Kalau besok saya tidak ada lagi. Mereka akan ingat hari ini mereka perlu bersama-sama. Itu kebahagiaan saya. Anak-anak saya tidak pernah gaduh. Mereka tidak ada 'sibling rivalry'," kata Encik Munir yang melakukan permainan taktikal dengan 7 orang anaknya.
Gambar: Danish Aiman
Disebabkan itu, beliau tidak dapat meluangkan waktu bersama tujuh orang cahaya mata dan dua isterinya.
Apabila bersara pada 2006, Encik Munir bertekad untuk mengukuhkan lagi hubungan keluarganya.
Ini sehinggalah tercetus ilham untuk menggabungkan minat dan kepakarannya dalam bidang ketenteraan dengan aktiviti keluarga.
Empat tahun lalu, Encik Munir mula mengajak anak-anaknya untuk melakukan permainan taktikal ala komando.
BELI 'SENAPANG' BERHARGA $600
Beliau juga membeli peralatan seperti senapang, peluru "dart foam" dan uniform.
Peralatannya juga mahal, senapang ini sahaja misalnya berharga $600 setiap satu.
Namun segalanya berbaloi bagi Encik Munir apabila melihat keakraban anak-anaknya.
Bagi beliau, ini merupakan memori terindah bagi keluarganya yang akan dikenang sampai bila-bila.
"Kalau besok saya tidak ada lagi. Mereka akan ingat hari ini mereka perlu bersama-sama. Itu kebahagiaan saya. Selalunya nanti kita tengok bila orang tua sudah tiada, anak semua berpecah. Anak saya tidak pernah gaduh. Itu yang saya lihat. Mereka tidak ada 'sibling rivalry'. Tidak pernah gaduh adik-beradik itu semua," kata Encik Munir
Beliau juga memberi nama khas buat pasukan keluarganya iaitu 'G.H.O.S.T' akronim bagi 'Guards and Honour to Overcome Situation Tactfully'.
MAIN 4 KALI SEMINGGU
Permainan ini juga melatih anak-anaknya memikirkan strategi yang terbaik dan bekerja secara berpasukan.
Dalam setiap permainan, anak-anaknya akan bertukar-tukar peranan dalam misi seperti menewaskan 'musuh' yang ditentukan Encik Munir.
"Ini namanya 'close quarter battle'. Maknanya kita main macam mana kita hendak main dalam tempat yang kecil. Kalau macam malam Jumaat kita balik semula ke ilmu pertahanan diri tapi kita panggil 'close quarter conflict'. Selepas itu Sabtu sebelah petang kita main macam mana hendak main di tempat yang lagi besar. Kita panggil itu latihan formasi. Selalunya kita di bawah dan bila hari minggu pagi baru kita main di hutan, di semak dan sebelah petangnya mereka habiskan dengan ilmu pertahanan diri," jelas Encik Munir.
Anak-anaknya kini berusia antara 14 hingga 20an tahun.
Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya", Encik Munir sudah menerapkan nilai-nilai disiplin seawal mereka berusia 7 tahun.
"Bila saya mula-mula ajar budak-budak ini dengan pertahanan diri itu dari umur mereka 7 tahun. Jadi dari segi dasar disiplin memang mereka sudah ada. Jadi mereka selalu latih bersama. Tentang bekerja bersama sudah tiada masalah. Saya cuma kenalkan mereka dengan perkara lebih rumit. Kalau saya cakap dalam bahasa Inggeris 'Team Integrity'. Bermakna saya punya fokus dalam ini macam mana bergerak bersama ," jelas Encik Munir kepada wartawan Danish Aiman.
ADA YANG TAK TERIMA, BUAT LAPORAN POLIS
Namun aktiviti unik ini tidak diterima dan disenangi oleh semua.
"Nanti mereka katakan yang kita ini seolah-olah hendak pura-pura jadi tentera, jadi polis tetapi saya terima kata negatif itu dengan besar hati kerana saya tahu mereka tidak faham. Kita pun pernah (dipanggil) polis semua. Mereka telefon polis tetapi Alhamdulillah juga ada yang positif. Itu yang sama macam saya anak ramai. Macam mana hendak aturkan anak. Jadi dia ambil kita sebagai inspirasi," katanya.
Bagi anak-anaknya, mereka menghargai usaha bapanya untuk menyatukan mereka adik-beradik.
Meskipun perlu memperuntukkan sekitar 10 jam setiap minggu bagi aktiviti ini, mereka amat menghargai detik-detik sebegini.
"Saya membuat ini kerana saya mahu bersama keluarga saya. Saya faham yang semakin lama nanti keluarga saya semakin tua, mereka akan berumur. Lama nanti juga saat-saat istimewa dan berharga akan jadi sesuatu yang jarang," kata anak kelima Encik Munir, Siti Hadijah.
Abangnya, Mohamad Wira Mohamad Munir juga merasakan ini pelaburan masa yang terbaik baginya.
"Sebenarnya saya pun memang luangkan masa bersama dengan kawan-kawan saya selepas semua aktiviti ini tetapi pada usia ini juga untuk saya ia amat penting untuk mempelajari nilai keluarga jadi saya laburkan masa saya di sini. Ia mengimbangkan masa yang saya ada pada zaman remaja dan masa saya pada zaman dewasa bersama keluarga saya jadi ia satu pelaburan yang baik saya rasa semuanya sama rata," ujar Wira yang merupakan anak ketiga Encik Munir.
Selain pertalian keluarga yang erat terjalin, Encik Munir juga berharap nilai-nilai yang diterap menerusi permainan ini akan kekal tersemat dalam diri anak-anaknya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.