BERITA+: Perjalanan berliku pasangan dalam usaha dapat zuriat melalui IVF
Daripada enam kitaran rawatan Persenyawaan In Vitro (IVF) yang dilalui, Cik Sheena Akbal (kiri) dan suaminya, Taufik Batisah, akhirnya dikurniakan kehamilan pada percubaan ketiga mereka pada 2023. Namun, kehamilan itu hanya bertahan selama enam minggu. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Namun, ia bukan sekadar dua garis malah sinar harapan bagi Cik Sheena Akbal dan suaminya, penyanyi Taufik Batisah, pada percubaan ketiga mereka.
Cik Sheena mengenang kembali detik-detik itu: "Kami sudah mencuba banyak kali sebelum mendapat positif pada ujian kehamilan. Jadi, apabila nampak dua garis itu, memang gembira tapi macam tidak mahu terlalu gembira sebab takut nanti kecewa lagi."
Namun, kehamilan pada 2023 itu hanya bertahan selama enam minggu.
“Sedih, sudah tentunya sangat sedih sebab ini kita punya percubaan yang ketiga, keempat. Dia (Taufik) pun gembira, dia macam betul ke? Betul ke kita akan dapat bayi?'” kongsinya.
Sejak mendirikan rumah tangga pada 2015, Cik Sheena Akbal dan suaminya, Taufik Batisah, 45 tahun, mencuba secara semula jadi selama sekitar dua tahun sebelum mula menjalani rawatan Persenyawaan In Vitro (IVF) di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 2018.
Mereka menjalani rawatan IVF sebanyak enam kitaran.
BUKAN CABARAN FIZIKAL SAHAJA
Bagi Cik Sheena, cabaran terbesar terletak pada emosi yang beliau sifatkan seperti ‘roller coaster’.
Lebih mencabar ialah tempoh menunggu selepas pemindahan embrio.
“Selepas pemindahan, kita kena tunggu dua minggu dan kita tak tahu jadi ke tidak. Sepanjang tempoh itu, macam-macam kita rasa, penat sikit pun, kita fikir mungkin ada tanda tapi dalam masa yang sama kita cuba jangan mengharap sangat," tambah Cik Sheena.
RAWATAN IVF PERJALANAN SUAMI ISTERI BERSAMA
Dalam saat-saat sukar itu, sokongan antara pasangan menjadi sandaran utama.
“Sebagai pasangan, kita harus bantu dan beri sokongan antara satu sama lain. Itu sangat penting,” kata Cik Sheena yang turut mengakui bahawa perjalanan tersebut menuntut kekuatan yang luar biasa.
Bagi Taufik, peranannya sebagai suami adalah untuk memberi ruang dan sokongan sepenuhnya kepada isterinya.
Menyifatkan isterinya sebagai seorang wanita yang amat kuat, Taufik berkata: “Banyak cabarannya, terutama sekali untuk kaum wanita. Jadi, sebagai suami isteri, kita harus memberi sokongan dan semangat, dan banyak bersabar.”
Tambah beliau, setiap keputusan dalam perjalanan itu perlu dihormati.
“Kita berbincang, ‘Awak nak cuba lagi ke tidak? Saya akan sokong apa sahaja keputusan awak' sebab yang melalui semua ini sebenarnya isteri kita, tubuh mereka. Jadi sebagai suami, kita harus menyokong,” ujar Taufik.
Percubaan terakhir dilakukan pada 2024, dengan tiga telur berjaya dikeluarkan dalam satu kitaran IVF.
SETIAP KITARAN IVF SEUMPAMA KITARAN HARAPAN BAHARU
Sokongan serupa turut dirasai seorang lagi ibu, Cik Asnur Mursalin Aspar, 42 tahun, yang membuatnya lebih kuat dan menerima setiap kali mengalami kegagalan dan keguguran.
"Saya masih ingat, memang mencabar. Rasa sedih itu memang adalah. Namun dengan adanya sokongan suami, orang-orang sekeliling, ibu bapa dan sebagainya berikan sokongan dan kata-kata perangsang itu membuat saya lebih kuat dan menerima," ujar beliau.
Bagi guru Bahasa Melayu itu, usaha untuk mendapatkan cahaya mata juga memakan masa bertahun-tahun melalui pelbagai rawatan, keputusan sukar dan detik kehilangan yang berulang.
Selepas mendirikan rumah tangga pada 2009, beliau dan suami mencuba secara semula jadi selama lebih setahun sebelum mendapatkan rawatan kesuburan.
Apa yang bermula dengan rawatan SO-IUI pada 2011 kemudiannya membawa kepada kitaran IVF pertamanya di klinik swasta pada 2012, namun ia berakhir dengan keguguran pada minggu ketiga.
Mereka berikhtiar melalui beberapa lagi kitaran IVF sebelum bertukar ke NUH di mana pendekatan rawatan dinilai semula.
Percubaan kitaran SO-IUI kali kedua itu akhirnya membuahkan hasil, dengan kelahiran Aulia Medina yang kini berusia tujuh tahun.
Namun selepas itu, usaha untuk mendapatkan zuriat kedua kembali mencabar apabila beliau mengalami komplikasi sekali gus menjejaskan rawatan lanjut.
Selepas tempoh pandemik COVID-19, Cik Asnur dan suami beralih ke rawatan di pusat IVF KK, Hospital Wanita dan Kanak-kanak (KKH) dan menjalani dua lagi kitaran IVF.
Satu daripadanya berjaya namun berakhir dengan keguguran selepas beberapa minggu, manakala satu lagi tidak berjaya.
“Apabila sudah berlakunya kehamilan, kemudian hilang pula kehamilan tersebut, tentunya amat mengecewakan. Rasa sedih itu memang ada. Kita menangis, kemudian bangkit semula,” kata beliau sambil tersenyum.
Percubaan IVF terakhir mereka dilakukan pada 2023, di mana beliau sekali lagi hamil namun ia tidak berpanjangan.
RAWATAN IVF TUNTUT KOMITMENT BESAR DAN PANJANG
Rawatan IVF seringkali disalah anggap sebagai satu prosedur mudah, menurut pakar Obstetrik dan Ginekologi dari NUH, Dr Azleen Sidek.
"Ia adalah komitmen yang besar dan panjang yang harus mereka tangani dengan tanggungjawab masing-masing," jelas Dr Azleen.
Justeru, beliau menekankan kepentingan adanya sumber sokongan yang kuat seperti sokongan daripada pasangan dan keluarga.
Ini lebih-lebih lagi dengan kesan sampingan yang boleh dialami mereka seperti perut kembung, perubahan emosi dan keletihan yang disebabkan kadar hormon yang tinggi.
Ini selain ketidaktentuan yang tidak dapat dielakkan.
“IVF ini ada banyak ketidakpastian dan ini boleh bermula daripada sama ada folikel boleh berkembang, sama ada telur dapat diperoleh selepas pengambilan, dan sama ada telur akan matang. Selepas itu, proses persenyawaan pula dilakukan di dalam makmal,” jelas Dr Azleen.
“Jadi, kita tidak tahu juga sama ada akan ada embrio yang mencukupi untuk dipindahkan,” tambah beliau.
Walaupun embrio berjaya terbentuk dan dipindahkan, proses implantasi masih bergantung kepada pelbagai faktor biologi yang tidak dapat dikawal sepenuhnya.
TIADA SATU JAWAPAN UNTUK SEMUA PASANGAN
Namun, adakah terdapat had tertentu dari segi masa atau bilangan percubaan, sebelum pasangan mula mempertimbangkan untuk berhenti?
“Tiada jawapan yang satu atau sama bagi semua pasangan yang melalui IVF," kata Dr Azleen.
"Ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi keputusan mereka untuk meneruskan perjalanan ini seperti aspek kewangan, kesihatan mental dan juga fizikal, usia dan juga pandangan peribadi masing-masing," tambah beliau.
Bagi Cik Sheena dan suaminya, mereka memutuskan untuk menyerahkan segalanya kepada takdir.
"Kita harus berbalik kepada qada dan qadar. Semuanya adalah rezeki daripada Allah S.WT. Jadi itu peringatan yang paling beri kita semangat untuk terus cuba lagi," ujar Taufik.
Manakala Cik Asnur dan suaminya tidak pernah memutuskan untuk berhenti.
"Kalau saya hamil pada usia yang agak lanjut, mungkin saya tak sekuat dari segi fizikal dan saya tak tahu sama ada ianya juga baik untuk bayi dan untuk diri saya," jelasnya.
Menurut data 2023 daripada NUHS, kira-kira 1 daripada 6 pasangan di Singapura menghadapi isu kesuburan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.