BERITA+: Penjual & pengumpul piring hitam alu-alukan konvensyen 'vinyl' pertama SG
Hobi mengumpul piring hitam atau 'vinyl' kian menjadi trend kini.
SINGAPURA: Hobi mengumpul piring hitam atau 'vinyl' kian menjadi trend kini.
Menurut satu laporan, penjualan piring hitam mencatatkan nilai lebih AS$1.5 bilion tahun lalu dan ini dijangka tumbuh sehingga AS$2.4 bilion menjelang 2030.
Trend yang memberangsangkan itu mendorong syarikat Mosta Records untuk menganjurkan konvensyen 'vinyl' yang pertama di Singapura di Pusat Drama, Perpustakaan Negara Singapura, pada Sabtu hadapan (2 Nov).
Acara dipanggil 'Side A, A Singapore Record Show' itu bertujuan untuk menghimpunkan para penggemar dan penggiat industri 'vinyl' dan juga bagi meningkatkan kesedaran dan penghargaan kepada hobi tersebut.
"Kami akan adakan pameran untuk bagaimana piring hitam itu dibuat di situ dan semua dapat berkumpul dalam satu tempat dan juga ada persembahan yang secara langsung. Jadi dengan artis-artis yang bukan hanya dari Singapura tapi dari Malaysia dan juga Indonesia.
"Bukan hanya pengumpul piring hitam, tapi juga pemuzik, penerbit dan rakaman 'independent' label bebas di Singapura dapat berkumpul dalam satu tempat," kata Penganjur dan Pengasas Mosta Records, Azri Ali kepada wartawan Syawal Yusoff.
WADAH UNTUK TAMPILKAN BAKAT TEMPATAN, KEUNIKAN MUZIK RANTAU INI
Menurut Encik Azri, konvensyen sebegitu lazim diadakan di negara-negara Eropah atau di Amerika Syarikat.
Namun keunikan acara di Singapura itu nanti berpusat kepada kerencaman muzik Asia yang disajikan.
Dengan menghimpunkan para pemuzik dan penerbit di satu tempat juga, beliau berharap usahanya itu dapat membuka peluang untuk artis-artis tempatan mengembangkan sayap mereka.
"Kita membawa elemen-elemen budaya rantau ini dari segi muzik di piring hitam. Baik dari Indonesia, Malaysia dan Thailand. Muzik popular di seluruh dunia kita tahu kebanyakan pop rok semua memang ada dalam muzik rantau ini tapi elemen tradisional itu ada dalam muzik kita. Ada dalam muzik di rantau ini semua. Itu yang membuat lain sikit dan juga memberi juga peluang bagi sesiapa yang datang untuk melihat piring-piring hitam yang dihasilkan dari dulu hingga sekarang," tambahnya.
Selain dapat mendalami hobi tersebut, pengunjung juga berpeluang membeli rekod piring hitam dan pelbagai peralatan lain daripada 16 syarikat yang mengambil bahagian.
RONGGENG RECORDS PUNYA KOLEKSI ALBUM MELAYU TERBESAR DI SG
Antaranya ialah Ronggeng Records - sebuah kedai dengan koleksi piring hitam dan album-album Melayu yang terbesar di Singapura.
Pemilik kedai itu, Encik Shahrem Selamat mahu mengambil peluang menyertai acara tersebut bagi memperluaskan lagi jangkauan piring hitam muzik Melayu.
"Kebanyakannya album yang akan saya bawa ialah 'vinyl' artis tempatan seperti Rahimah Rahim, Sharifah Aini dan Ahmad Jais yang sangat susah untuk dicari di kedai-kedai lain.
"Dengan adanya Ronggeng Records ini, saya harap saya dapat kongsilah album-album Melayu ini. Jadi orang ramai atau generasi sekarang dapat menghargai lagu-lagu Melayu," kata Encik Shahrem.
Kedai itu yang terletak di aras satu Pasar Tiong Bahru itu kaya dengan khazanah muzik Melayu.
Terdapat ratusan piring hitam muzik Melayu dari seawal 50an hingga kini yang dijualnya.
"Album Melayu unik kerana pada tahun 60an dan 70an, apabila merakam, mereka menggunakan mikrofon. Jadi bunyinya berbeza daripada rakaman moden. Ia sangat 'raw' dari segi bunyi analog. Lagipun pada masa itu, genre itu seperti 'funky' dan 'groovy'. Generasi sekarang banyak mencari genre seperti ini," ujarnya.
Encik Shahrem, 57 tahun berkongsi album Melayu sebenarnya lebih sukar untuk didapatkan kerana jumlah cetakannya tidak sebanyak berbanding album Inggeris.
Ini memberi kelebihan perniagaan buatnya.
"Kalau seperti album kumpulan The Beatles dan Bee Gees, ianya dicetak dengan jumlah berjuta-juta. Sama juga seperti album Indonesia tapi album Singapura dan Malaysia, hanya beberapa ribu sahaja, jumlahnya tidak besar. Apa yang saya ada sekarang mungkin susah hendak didapatkan di luar Singapura sebab ianya tidak dicetak dengan jumlah yang banyak. Yang ini sahajalah yang bertahan," jelasnya.
WARISAN KELUARGA, DIPEROLEH LANGSUNG DARIPADA STUDIO RAKAMAN
Bagi Encik Sharem, beliau beruntung kerana koleksi yang dijual kebanyakan diwarisi daripada keluarga dan teman-temannya sendiri.
"Pada tahun 2010, saya diberi piring hitam ini oleh Allahyarham bapa dan pakcik saya serta teman-teman saya yang mengumpul. Apabila saya memberitahu mereka yang 'vinyl' akan kembali, mereka ketawakan saya. Jadi mereka kata 'engkau hendak ambil aku punya, ambil'. Saya tahu dekat pasaran luar ada permintaan.
"Jadi pada permulaannya saya menjual di rumah dan di pasar lambak. Kemudian saya dan bergabung dan membuka satu cawangan di Fook Hai Building," kata Encik Shahrem.
Ada juga piring hitam yang diperoleh daripada studio-studio rakaman seperti Life Records, Lions Studios dan Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC).
"Saya rasa saya beruntung sebab saya dapat langsung daripada pejabat Life Records. Satu lagi daripada Lions Studios di Commonwealth and juga daripada teman-teman deejay saya. Dulu mereka mainkan lagu untuk majlis perkahwinan, semua menggunakan rekod bukan? Saya pun dapat rekod-rekod dari deejay-deejay SBC lama sebab ada yang rekod itu ialah khusus untuk cetakan radio dan dimainkan untuk radio dan bukan untuk pasaran. Itu ada harga itu. Ia sangat sukar untuk didapatkan," kongsi Encik Shahrem.
PELANGGAN SEJAUH JEPUN, EROPAH DAN AS DATANG CARI ALBUM MELAYU
Meskipun turut menjual album Inggeris, Cina dan India, album Melayu juga kata Encik Sharem yang dicari-cari ramai.
Antaranya ialah cetakan asal album kumpulan Kembara, Search dan juga album P.Ramlee dan Saloma.
Bahkan ada yang sanggup membayar ratusan dolar untuknya.
"Saya pernah jual album 10-inci Saloma pada harga S$900. Itu saya jual dengan teman baik saya sendiri sebab saya tidak ingin album itu jatuh pada orang lain atau saya jual di luar negara. Saya ingin teman saya sendiri yang mendapatkannya kerana ia sangat sukar untuk didapatkan," katanya.
Selain warga tempatan, ada juga yang datang dari sejauh Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat untuk mendapatkan piring hitam muzik Melayu di Ronggeng Records.
"Mereka (Pembeli) mencari lagu-lagu lama, lagu-lagu Melayu seperti Ismail Haron, Mike Ibrahim. Mereka mengenali, semua mereka tahu. Saya rasa koleksi mereka lagi banyak daripada saya," beliau berseloroh.
Bukan setakat menjual, Encik Shahrem yang juga seorang penggiat 'vinyl' tidak lokek berkongsi ilmu dengan para pelanggannya.
"Sekiranya ada album yang saya tahu tentang latar belakang album itu seperti dirakam di studio mana atau siapakah penerbitnya, saya berkongsi dengan mereka. Seperti kalau kumpulan Kembara, di manakah lagu-lagunya dirakam? Di Commonwealth (Lions Studios). Jikalau Sharifah Aini pula rakamannya di MacDonald House," jelasnya.
NORDIN MARSUKI KUMPUL 4,000 REKOD SEPANJANG 34 TAHUN
Perkongsian sebegitu juga yang membuatkan pengumpul 'vinyl' seperti Encik Nordin Marsuki ghairah menantikan konvensyen anjuran Mosta Records itu.
Mula mengumpul sejak 34 tahun yang lalu, beliau memiliki hampir 4,000 piring hitam, ada yang dirakam dari seawal tahun-tahun 30an.
Seperti Encik Shahrem, kebanyakan album dalam koleksinya juga diwarisi dari keluarganya.
Namun, belum terlintas di fikirannya untuk menjual album-album tersebut.
"Saya sudah ada album 'Number Ones' The Beatles. Album terbaik nombor satu ialah album 'Thriller' oleh Michael Jackson. Saya pun sudah ada album Micheal Jackson. Hendak dikatakan album-album terunggul, semua saya sudah ada. Kalau album-album P.Ramlee, Saloma, hindustan, 80an,90an, disko, saya sudah ada, semua sudah lengkap.
"Cuma sekarang saya ingin fokus kepada rekod-rekod Melayu terutama rekod-rekod tahun-tahun 30an ataupun 50an," kata Encik Nordin, 59 tahun.
ANGGAP HOBI SEBAGAI PELABURAN
Sejauh ini, beliau telah membelanjakan sehingga S$3,000 untuk koleksinya yang kebanyakannya dibeli di Singapura dan Malaysia.
Dengan inflasi dan permintaan yang meningkat, kebanyakan album miliknya kini semakin sukar untuk didapatkan.
"Ada sebuah album P.Ramlee dengan Saloma yang diterbitkan di England. Baru-baru ini ia dicetak semula tetapi saya mempunyai salinan yang asli. Gambar di depan ialah di Chinatown. Saya masih ingat harganya S$30 sahaja. Sekarang yang asli anda tidak akan dapat dengan harga S$30, mungkin beberapa ratus dolar," ujarnya.
Meskipun hobi itu agak 'mahal', pegawai awam itu melihatnya sebagai satu pelaburan masa hadapan.
"Inilah persaraan saya sebenarnya. Kalau anda rasa anda tidak mahu menyimpannya, anda boleh lepaskannya kerana ada harganya. Permintaan sesetengah album sangat baik di Singapura, Asia, terutama Malaysia. 'Vinyl' tidak akan lapuk ditelan zaman," kata Encik Nordin.
Selain piring hitam, Encik Nordin juga giat mengumpul barangan filem-filem lama Shaw Brothers.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.