Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Penjaja generasi baharu lestarikan budaya penjaja melalui inovasi dan teknologi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pada usia 25 tahun, Siti Nurnameera Abdul Samad beranikan diri untuk membuka gerai makanannya sendiri di Pusat Penjaja Woodleigh Village.

Sebagai generasi baharu yang mahu terus melestarikan budaya penjaja, Siti juga mahu memperkenalkan ciri-ciri baharu seperti inovasi dan teknologi canggih dalam operasi gerainya iaitu 'M+ Fried Rice Paradise'.

'M' dalam nama kedainya itu merujuk kepada 'mesin' yang digunakan untuk menyiapkan 20 jenis Nasi Goreng citarasa tempatan.

Memandangkan hanya beliau dan rakan niaganya sahaja yang mengendalikan gerai mereka itu, mesin yang dicipta khas itu dapat membantunya sejak gerai itu beroperasi September 2024.

Di samping menjimatkan masa persiapan dan tenaga, ia juga memastikan rasa serta mutu setiap hidangan yang disajikan terjaga.

"Walau saya atau dia (pasangan) yang masak pada hari yang berbeza, (rasanya) masih sama, masih konsisten. Saya tidak payah berdiri di situ (depan kuali) untuk memantaunya, saya boleh membuat tugasan lain seperti menggoreng ayam atau melayan pelanggan," kata Siti kepada wartawan Syawal Yusoff.
Meskipun makanan disiapkan mesin, Siti memberi jaminan, ciri-ciri 'wok hei' atau aroma yang dikeluarkan makanan yang digoreng dalam kuali itu, masih ada.

Dari segi 'air tangan' pula, masih ada kerana segala persiapan bahan-bahan disediakan secara manual.

"Mesin ini hanya menyediakan haba dan pergerakan. Penyediaan resipi kami semua menggunakan tangan. Sambal kami semua dibuat sendiri," ujar Siti yang mengambil lebih setahun untuk mereka dan mengolah rekaan serta fungsi mesin itu.

Apabila ditanya BERITA Mediacorp, harga untuk dua mesin yang digunakan di kedainya itu mencecah ribuan dolar.

Namun begitu, Siti menganggapnya sebagai satu pelaburan jangka panjang demi memastikan perniagaannya kekal relevan.

"Semua orang inginkan makanan dengan cepat. Hendak gunakan kuali dan 'campak-campak' pun mengambil masa bukan? Pada masa yang sama, penduduk semakin menua. Jadi dengan kita mesin ini, perniagaan kami sebenarnya boleh dikembangkan," tambahnya.

NASI GORENG YANG SESUAI UNTUK CITARASA SEMUA

Selain nasi goreng berperisa telur, sambal dan kari, antara hidangan popular gerainya itu ialah Nasi Goreng berperisa 'Hei Bi Hiam' atau sambal udang kering.

Menurut Siti, semua resipi diolahkan beliau dan rakan niaganya yang berketurunan Cina.

Di samping memastikan hidangan-hidangannya itu sihat, beliau juga mahu makanannya menepati selera semua.

"Apabila kami sedang membuat kajian untuk perisanya, kadang-kadang saya rasa seperti ada yang tidak kena, perlukan lebih rempah ratus. Jadi saya menyesuaikan beberapa perisa sedikit untuk ada ciri-ciri Melayu," ujar Siti, seorang anak tunggal.
Membuka perniagaan makanan dan minuman (F&B) sebenarnya merupakan impian yang sudah lama dipendam Siti yang sebelum ini pernah bertugas sebagai teknisyen makmal selama tiga tahun.

Lantaran itu, apabila peluang timbul untuknya mengambil ruang gerai itu, beliau tidak berfikir panjang untuk mengambilnya.

Meskipun terdapat beberapa cabaran dari segi fizikal dan mental, Siti tetap kuatkan semangat.

Bahkan, beliau kini lebih menghargai dedikasi para penjaja yang lain.

"Saya betul-betul hormat kepada para penjaja sebab masa untuk persiapan, berdiri sepanjang hari. Kami sendiri berdiri sudah penat. Kami tidak menjangkakannya. Kami ingat tugas penjaja itu masak sahaja. Tidak sangka ia juga memenatkan. Sekarang kami sudah lali dengan rasa penat itu. Apabila balik kami terus berehat dan jadual itu berulang lagi," kongsi Siti.

MAHU KEMBANGKAN JENAMA 'M+' DENGAN TAWARKAN LEBIH BANYAK JENIS HIDANGAN

Selain mengimbangi perniagaan, beliau juga sedang mengambil kursus sarjana muda dalam jurusan Psikologi dan Kriminologi dari Universiti Murdoch.

Pun begitu, beliau sudahpun membuat beberapa perancangan untuk mengembangkan perniagaannya.

Antaranya, melancarkan sebuah laman web untuk memudahkan pelanggan membuat pesanan.

Selain itu, beliau berharap dapat mengembangkan lagi jenamanya dengan menawarkan pelbagai jenis hidangan agar dapat memenuhi citarasa para pelanggan.

"Kami merancang hendak mencuba menyediakan hidangan-hidangan lain pula dengan mengambil jenama 'M+'. Mungkin hidangan mi ataupun makanan barat," jelas Siti.
Sebagai generasi pelapis, Siti yang kini berusia 26 tahun berharap dapat melestarikan budaya penjaja di Singapura dengan cara yang lebih inovatif.

"Budaya penjaja sekarang kebanyakannya ialah generasi lebih tua. Jadi kami fikirkan ia adalah pasaran yang belum diterokai. Jadi kami ingin cuba sesuatu yang berbeza. Apabila kami menyediakan Nasi Goreng kami, kami boleh menarik mereka yang tua dan muda," tambahnya.

Pada 2020, budaya penjaja Singapura diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.

Ia juga satu detik bersejarah kerana itulah kali pertama sesebuah budaya dari Singapura diiktiraf oleh pertubuhan antarabangsa itu.
MANFAATKAN TEKNOLOGI UNTUK OPERASI PERNIAGAAN YANG LEBIH LANCAR

Bagi seorang lagi penjaja, daya inovasi itu adalah kunci untuk terus melestarikan budaya tersebut dengan cabaran semasa seperti kos operasi dan kakitangan.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun, pemilik generasi kedua gerai 'Izah Rahman Corner', Affandi Abdul Rahman menerapkan model perniagaan yang lebih inovatif dalam operasi hariannya.
(Gambar: Affandi Rahman)
Daya kreativitinya itu juga diiktiraf dengan Anugerah Penjaja Berdaya Saing di Seminar dan Anugerah Penjaja Singapura tahun lalu.

"Dengan cara meningkat dengan inovasi, kami boleh mengekalkan mutu dengan operasi harian dan juga memberi pelanggan pengalaman yang lebih baik dan senang untuk mereka," kata Encik Affandi, 45 tahun.

Bagi memudahkan urusan jual beli, beliau juga menggunakan wadah seperti sistem POS, alat 'buzzer', menu di skrin televisyen dan 'Whatsapp Business' di gerainya yang terletak di Pusat Penjaja Marine Parade.

Dengan menggunakan platform 'WhatsApp Business' misalnya, Encik Affandi meluaskan lagi pilihan untuk para pelanggan memesan makanan terlebih dahulu tanpa bayaran tambahan.

"Ia lebih menyenangkan untuk mereka (pelanggan) kerana pesanan dihantar langsung kepada kami tanpa pihak tengah. Jadi harganya sama. Mereka akan mesej dan juga kita akan menyiapkannya dan langsung boleh membayar melalui kod QR," kongsi Encik Affandi yang belajar untuk membangunkannya sendiri.
JADIKAN PUSAT PENJAJA SEBAGAI PUSAT MASYARAKAT

Meskipun menyediakan hidangan tradisional seperti Nasi Ayam dan Tahu Goreng, Encik Affandi tidak berasa janggal untuk memperkenalkan inovasi tersebut kerana rata-rata pelanggan tahu menggunakannya.

Malah ia juga menarik lebih ramai pelanggan, tidak kira muda atau tua untuk mencuba hidangan tradisional di gerainya.

Menerusi sebuah geran yang diterima daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), beliau juga dapat membeli sebuah ketuhar COMBI yang boleh mengurangkan penggunaan minyak bagi menggoreng ayam dan menjimatkan masa sehingga dua jam!

"Dengan inovasi yang ada lebih senang untuk mengambil alih tugas dia kerana semua sudah disenangkan, semua sudah dilancarkan, semua sudah dipendekkan masa untuk membuat," kata Encik Affandi yang pernah bertugas di hotel-hotel terkemuka sebelum ini.
Encik Affandi berharap usahanya itu dapat meningkatkan lagi pengalaman para pelanggan dan terus menjadi pusat penjaja sebagai pusat masyarakat.

"Pusat penjaja ini ialah nadi masyarakat. Di situlah tempat kita bermula untuk berkenalan antara satu sama lain. Antara kaum-kaum yang lain. Penjaja ini bukan hanya untuk membuat makanan tapi untuk mengeratkan silaturahim antara satu kampung, daerah dan masyarakat," ujarnya.

Inovasi yang dimanfaatkannya itu juga membolehkan Encik Affandi menawarkan menu berbeza pada sebelah malam di bawah jenama 'White Bincho'.

Ia juga antara usahanya itu menaikkan standard makanan di pusat penjaja.

"Dengan ini, pelanggan ada lebih banyak pilihan untuk makanan lain, tempat duduk yang lebih banyak dengan minuman yang lebih murah berbanding dengan restoran.

"Dengan konsep baru, mereka akan ada lebih keyakinan walaupun penjaja tetapi tetap boleh memberi mutu dan standard makanan di restoran," jelas Encik Affandi.

Antara yang ditawarkan termasuk hidangan barbeku seperti 'steak' dan makanan laut ala 'open fire' bermula pada bulan Februari ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan