Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Peniaga HBB mahu jual kek lapis perisa kunafa pistachio viral

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kek lapis lazimnya dihidangkan sewaktu musim perayaan dan bunga rampai pula disediakan untuk majlis-majlis keramaian.

Dua peniaga dari rumah membawa sentuhan baharu kepada kek dan haruman tradisional Melayu itu dalam usaha menarik pelanggan muda.

--

PROSES BUAT KEK LAPIS AMBIL MASA HINGGA HAMPIR 4 JAM

Proses menghasilkan kek lapis bukan mudah kerana ia
dilakukan lapisan demi lapisan.

Dan setiap lapisan itu perlu rata sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar.

Langkah-langkah itu diulangi sehingga semua adunan habis dibakar.

Pendek kata, prosesnya panjang dan memerlukan kesabaran.

--

"Untuk menyediakan sebuah kek itu akan mengambil masa dalam dua jam setengah hingga tiga jam setengah daripada menyiapkan bahan-bahan dan juga membancuh adunan dan membakar kek. Kami boleh hasilkan empat biji kek pada satu-satu masa. Jadi dalam satu hari mungkin dalam anggaran 12 (biji kek)," kongsi pemilik ManisbyZar, Cik Zarifah Ridwan kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Cik Zarifah Ridwan berkata beliau gemar membuat kek lapis kerana ia memberinya kepuasan dan keseronokan.

"Sejak kecil lagi saya sudah selalu memerhatikan ibu saya membuat kek. Saya sentiasa mahu tolong untuk mengadun adunan kek itu, dan kemudian daripada situ, minat berkembang. Saya faham kenapa orang ramai cakap kek lapis rumit, leceh untuk dibuat. Oleh itu bila saya buat lapis, saya mendapatinya seronok. Saya mendapati ia sangat terapeutik," kata beliau.

Kira-kira setahun lalu, bekas pegawai pentadbiran itu memulakan bisnis dari rumahnya, ManisbyZar dan menawarkan pastri dan juga kek.

TAWAR PERISA BAHARU DEMI PIKAT GENERASI MUDA

Selain kek lapis Prune dan Rempah yang tradisional, beliau juga menawarkan kek lapis dengan perisa baharu mengikut selesa pelanggan masa kini.

--

"Saya rasa kami patut mengekalkan tradisi kita untuk kek lapis dan terus berinovasi untuk memastikan orang ramai tahu mengenai kek lapis. Adanya teknologi dan inovasi dan kreativiti, dan menggunakan media sosial, kami dapat mengenalkan kembali kek lapis kepada masyarakat.

"Jadi saya memutuskan untuk menggunakan pengetahuan yang saya ada untuk adakan inovasi dalam resipi yang menghasilkan kek lapis Nutella. Sekarang sedang viral tentang kunafa pistachio, jadi kami akan menggunakan bahan-bahan yang "in-trend" seperti pistachio and biscoff," ujarnya lagi.

BUNGA RAMPAI ''WAX MELTS'

Seorang lagi peniaga dari rumah, Cik Nazlinah Naina Mohamad pula menghasilkan 'wax melts' atau lilin pewangi.

Pewangi Bunga Rampai yang beliau tawarkan adalah yang paling popular.

--

Bunga Rampai adalah campuran beberapa jenis bunga harum yang digaul dengan hirisan daun pandan dan daun limau purut berserta pewangi seperti air mawar.

"Kami telah menghasilkan bauan yang hampir serupa dengan bau bunga rampai. Pada mulanya kami tidak begitu yakin. Adakah ia akan diterima dengan baik oleh masyarakat? Ini penting kerana ia satu tradisi dan tidak mahu inti patinya hilang. Oleh itu, kami sedaya upaya menggabungkan aspek-aspek tradisional (bunga rampai) dengan sentuhan moden," kata pemilik Auradure SG, Cik Nazlinah Naina Mohamad.

CABARAN HASILKAN BUNGA RAMPAI "WAX MELTS"

Menurut Cik Nazlinah, proses menghasilkan lilin pewangi serupa dengan proses membuat kek.

--

"Sekarang kami sudah menuangnya ke dalam acuan dan kini perlu menunggu sehingga ia menjadi keras. Pada masa inilah, terdapat beberapa cabaran yang mungkin boleh berlaku. Contohnya, jika bunga yang digunakan tidak sesuai, ia boleh menyebabkan cecair ini menjadi putih. Atau jika suhunya tidak tepat, bunga itu boleh tenggelam. Oleh itu, pelbagai faktor memainkan peranan penting," tambahnya.

Para pelanggan boleh memilih haruman yang menepati citarasa mereka tetapi pewangi Bunga Rampai yang sering menjadi pilihan.

Menurut Cik Nazlinah: "Pada era kini di mana ramai orang sudah lupa tentang (bunga rampai), saya rasa ini adalah peluang yang baik bagi mereka untuk menggunakannya dengan sentuhan moden. Kami berharap bahawa generasi muda akan lebih sedar mengenai tradisi bunga rampai yang semakin luput ini."

--

Ibu tiga orang anak itu sudah berjaya menjual hampir 5,000 set 'wax melts' sejak memperkenalkannya kira-kira setahun yang lalu.

Terdorong dengan permintaan yang meningkat, Cik Nazlinah juga bercadang untuk menganjurkan bengkel-bengkel membuat 'wax melts' pada masa hadapan.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan