Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Peniaga HBB ini tidak jual makanan, tapi hasilkan sabun kopi, semangka, avokado dan banyak lagi!

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kalau lazimnya sabun buku dijual dalam pelbagai wangian berbeza, Peniagaan dari Rumah (HBB) ini pula menghasilkan sabun dalam pelbagai bentuk dan 'perisa'.

Antara yang sudah Cik Siti Izyan Hussain hasilkan termasuklah sabun semangka, avokado, susu kambing dan banyak lagi. Yang berperisa coklat mocha dan kopi pun ada!

Cuba bayangkan diri anda bermandikan kopi yang baunya mengancam? Pasti syiok! Tidak perlu ke spa untuk menikmati pengalaman ini. Cuma menggunakan sabun kopi dalam bilik air sahaja.

Sabun Kopi Susu. (Gambar-gambar: @sabuntales/Instagram)

Pada tahun pertama Cik Izyan menjual sabun-sabun yang beliau hasilkan sendiri sebagai peniaga HBB, sekitar 200 buku sabun terjual.

Jumlah ini sebenarnya 'boleh tahan' kerana setiap sabun boleh memakan masa sehingga 6 minggu sebelum ia akhirnya siap digunakan dan boleh dijual.

Kedua, lulusan jurusan psikologi berusia 36 tahun dan ibu dua anak ini bukan seorang suri rumah tetapi bekerja sebagai seorang pekerja belia (youth worker) sepenuh masa. Ini bermakna, berniaga sabun ini hanya perniagaan sampingan sahaja baginya.



Jadi bagaimana tercetus ilham untuk menjual sabun dan apa yang membuatnya jadi seorang artisan sabun? Begini ceritanya...

AWALNYA BUAT SABUN UNTUK UBATI RASA DUKA

Sebagai seorang pekerja belia di sebuah pertubuhan amal, Cik Izyan perlu mendampingi anak-anak muda berisiko mahupun mereka yang memerlukan bantuan. Malangnya, kira-kira dua tahun lalu, beliau berdepan satu peristiwa yang membuat dirinya terasa kosong dan hampa.

Keluarga kecil Cik Izyan. (Gambar: @iamizyanh/Instagram)

"Ketika itu saya kehilangan seorang belia yang mengalami masalah kesihatan mental. Saya mendampinginya sejak dia berusia sekitar 16 tahun. Ada satu kejadian dan dia meninggal dunia. Dari situ, saya mula mencari satu mekanisme positif untuk meneruskan kehidupan," cerita Cik Izyan.

Beliau kemudian diajak rakannya untuk mengikuti bengkel membuat sabun di sebuah studio.

"Saya menyedari bahawa proses membuat sabun mudah dan ia membuat saya berasa tenang. Ketika membuat sabun, I was in the zone," ujarnya.

Ketenangan itu bertukar kemudian menjadi suatu "obesesi" pula dengan Cik Izyan ingin terus menerus mencuba resipi sabun yang baru sehingga beliau terfikir:

"Okay, ni dah banyak sabun. Kalau tak jual, takkan nak bertimbun kat rumah kan?"



Itulah titik permulaan Sabun Tales - nama perniagaan kecil-kecilan dari rumah Cik Izyan.

BELAJAR DARI MEDIA SOSIAL, YOUTUBE

Menghasilkan sabun pelbagai perisa, menurut Cik Izyan, memerlukan banyak penyelidikan. Ini kerana, beliau perlu terdahulu tahu khasiat bahan-bahan yang ingin digunakan sebelum akhirnya mencari tahu sukatan tepat bagi memastikan sabunnya menjadi.

"Jadi walaupun kita dah belajar proses membuat sabun, itu tak semestinya kita tahu semuanya. Kita perlu terus belajar dan banyak membaca. Kita ada media sosial, ada Internet, ada YouTube kan?" kongsi Cik Izyan.

Beliau menambah, ada juga banyak wadah di mana pembuat sabun dari negara lain bersedia berkongsi tips menarik untuk membuat sabun.

"(Misalnya) saya mempelajari bahawa saya boleh guna avokado dalam sabun saya. Saya hasilkan satu sabun menggunakan puri avokado dan ia bagus untuk muka," katanya lagi.



Ditanya bagaimana beliau tahu sabun yang dihasilkan selamat untuk dipakai, ini penjelasan Cik Izyan:

"Dengan menggunakan kertas litmus, ia akan menunjukkan sama ada sabun itu neutral atau berasid. Satu lagi cara adalah menjilat sabun - sesuatu yang saya tidak sarankan kerana ia pahit. Tapi pokoknya kalau kita silap langkah dan adunan yang kita buat mengandungi terlalu banyak natrium dioksida, ia akan 'zap' atau membuat lidah anda sakit."



Namun pada dasarnya, terang Cik Izyan lagi, sabun tidak akan menjadi sekiranya campuran bahan-bahan yang digunakan tidak menghasilkan adunan yang sebati.

"Kalau sabun itu tidak akan jadi, anda akan lihat campuran itu tak cair. Ia keras sedikit dan tak nampak elok. Prosesnya macam buat kek juga. Kalau kek itu tak naik, mesti ada bahan yang kurang. Konsepnya sama," jelasnya.

SABUN WARNA-WARNI, BERBENTUK PATUNG PIKAT PELANGGAN

Sebenarnya, yang lebih memikat tentang Sabun Tales adalah warna mahupun 'patung-patung kecil' - atau soap toppers - pada sabun-sabun yang dihasilkan Cik Izyan. Kerajinan tangannya begitu menyerlah.

Ada sabun yang mempunyai patung berbentuk yoda dan ada juga yang berbentuk itik, buku, bunga serta watak-watak siri animasi Among Us!



Yang di bawah ini pula bukan kuih tart untuk dimakan ya! Ia juga sabun yang Cik Izyan hasilkan sendiri.

"Saya memang mahu cuba membuat sabun yang kelihatan seperti makanan. Saya rasa seronok menghasilkan sesuatu yang realistik. Cuma saya tak nak lah orang betul-betul makan," kata Cik Izyan.

Menariknya, beliau tidak melalui sebarang pendidikan formal dalam bidang seni. Tapi sentuhan kreatifnya cukup luar biasa.

"Saya suka art. Saya suka menghasilkan sesuatu. Sebab itu saya mencuba konsep doh sabun. 'Adunan' itu - doh sabun - sama seperti tanah liat polimer yang sekarang sering digunakan untuk buat anting-anting dan sebagainya. Doh itu cuma perlu dikeringkan dan ia akan keras sendiri," jelas beliau.

Cik Izyan juga pernah menerima tempahan di mana pelanggannya meminta beliau menghasilkan sabun yang bertemakan 'graduation'.



Melihat sabun-sabun yang dihasilkan, BERITAmediacorp ajukan soalan tentang mana satu yang diutamakan - bahan-bahan yang bermanfaat untuk kulit ataupun warna dan bentuk sabun itu.

Ini jawapan spontannya:

"Ah dua-dua. Tak boleh pilih satu daripadanya sahaja. Sebab kalau bagus tapi tak menarik, orang tak nak beli. Mereka akan bertanya: Kenapa perlu beli dari Sabun Tales?"

Biasanya semua sabun Cik Izyan diperbuat daripada tiga bahan asas minyak zaitun, minyak kelapa dan minyak jarak (castor oil).

Sabun dengan patung berbentuk itik hasil sentuhan kreatif Cik Izyan. 

Setiap kali membuat sabun pula, beliau perlu ke sebuah studio sabun kerana pembuatan sabun memerlukan bahan kimia yang dikenali sebagai 'lye solution' atau natrium dioksida.

Bahan kimia itu hanya boleh didapatkan dari studio-studio sabun kerana penjualannya dikawal ketat di Singapura atas faktor-faktor keselamatan. Ini kerana jika tidak digaul dengan campuran yang tepat, bahan itu boleh meletup dan mencederakan si pengguna.

JANGAN RAGU-RAGU...

Yang pasti, Cik Izyan cukup berani untuk menghasilkan sabun sendiri untuk dijual. Ini sedangkan beliau tahu, ada begitu banyak produk mandian keluaran syarikat-syarikat gergasi yang lain.

Beliau yakin permintaan akan terus ada bagi produk-produk yang khususnya diperbuat daripada bahan-bahan alami.



"Pembeli zaman sekarang, mereka pandai. Mereka akan lihat pada bahan-bahan yang digunakan dan berfikir sama ada ia bagus untuk diri mereka. Kemudian mereka pertimbang pilihan yang ada di luar sana. Media sosial juga membantu mereka membuat pilihan.

"Ada permintaan untuk HBB seperti saya, terutama sekali dari pembeli yang suka memikirkan faktor-faktor seperti ini," kata Cik Izyan.

Beliau juga berharap, HBB lain tidak akan ragu-ragu untuk menghasilkan produk sendiri. Ini nasihatnya...

"Teruskan. Jangan ragu-ragu. Memang saya awalnya juga bimbang, takut kalau perniagaan saya gagal. Tapi kalau tak cuba, tak tahu kan? Jadi kita kenalah mencuba, kalau tak kita akan senantiasa tertanya-tanya: Apa yang akan terjadi kalau saya lakukan ini. Tak usah berfikir seperti itu, sebaliknya tekad: Kita buat, tengok apa jadi."

Sabun-sabun yang dijual Cik Izyan berharga sekitar S$12 setiap satu - bergantung kepada saiz dan 'perisa' sabun.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan