Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Pengorbanan dan perjuangan 3 ibu atasi cabaran membesarkan anak-anak

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Sejak sedekad lalu, Cik Sarimah Amat, 55 tahun, sudah mengasuh sembilan anak titipan selain membesarkan tiga anak kandungnya.

Ada di antara mereka dibesarkan sejak berusia dua bulan lagi.

Anak kandungnya sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.

Baginya, kasih sayang yang diberikan kepada anak kandung atau anak titipan tidak berbelah bagi.

"Sebenarnya anak titipan dan anak sendiri tidak ada beza, kita bahagikan masa mengikut keperluan mereka," kata ibu titipan, Cik Sarimah Amat.

Beliau turut berkongsi bahawa pada satu ketika, 12 kanak-kanak pernah tinggal bersamanya di bawah satu bumbung.

"Pada mulanya mestilah ada sedikit ketidakserasian tapi lama-kelamaan mereka dah sesuai, dah tergolek-golek dan bergurau jadi dah tak ada masalah," kata Cik Sarimah.

Beliau turut menarik perhatian bahawa keputusan untuk mengambil anak titipan adalah keputusan sekeluarga.

Dengan tanggungjawab untuk menjaga anak-anak yang ramai, Cik Sarimah Amat juga harus menanggung kos perbelanjaan yang besar.

Namun cabaran yang paling berat untuknya adalah untuk memulangkan anak titipan yang dijaga kepada keluarga asal.

"Mereka sudah membesar dengan kami, dah jadi macam adik-beradik sendiri, macam anak saya sendiri jadi pasti berat hati nak berpisah dengan mereka tetapi kita dah sediakan diri, macam mana pun memang kita harus kembalikan mereka kepada keluarga kandung mereka," tambah Cik Sarimah.

Beliau sedar menjadi ibu titipan bukan mudah tetapi memberi kepuasan luar biasa.

"Anak ini ucapkan kepada saya yang dia nak jaga saya sampai tua nanti, jadi bila saya sakit dia nak rawat saya, memang kita tak tahu, ini anak orang yang kita jaga, tapi dia besar hati sampai boleh cakap yang dia sanggup nak jaga kita, mungkin dia nampak yang kita ikhlas jaga dia dari kecil, mungkin ia satu cara dia untuk balas jasa kita," tambah beliau dengan nada sayu.

Selain anak titipan dan anak kandungnya, beliau juga digelar "mama" oleh kanak-kanak lain kerana aktif sebagai relawan dalam masyarakat.

SANGGUP BERHABIS WANG SIMPANAN DEMI RAWATAN TERAPI ANAK

Seorang lagi ibu yang memberikan sepenuh jiwa dalam membesarkan anak-anaknya ialah Cik Nurul Dhamirah Adam.

Pada awalnya, beliau tidak tahu apa-apa tentang autisme sehingga anak lelakinya, Adam Rizq Muhammad Fazli dilahirkan.

"Dia tidak akan pandang kami, menyahut panggilan dan pada masa itu kami tidak tahu bahawa ia adalah tanda-tanda autisme. Jadi kami buat kajian di Google, membuat perbezaan dengan kanak-kanak lain dan bertanya soalan melalui media sosial," kata Cik Nurul Dhamirah.

Beliau berkongsi bahawa menjaga Adam Rizq tidak mudah dan mereka harus memberikan tumpuan sepenuhnya pada saat-saat sukar seperti ketika beliau mengalami "meltdown" teruk yang boleh berpanjangan sehingga hampir dua jam.

"'Meltdown' memang teruk, masa tu terutama sekali apabila beliau tidak boleh berbual. Tangisannya juga sangat nyaring dan dia akan tarik-tarik rambutnya," kata Cik Nurul Dhamirah.

Namun ini tidak mematahkan semangat beliau untuk berusaha dan meningkatkan pengetahuan mengenai autisme.

Dengan ini, beliau dan suaminya membuka akaun Instagram, adamautismawareness dan sekaligus membantu ibu bapa yang bergelut dengan masalah yang sama.

"Memang ramai orang tidak tahu tentang autisme seperti kami dulu. Alhamdulillah kami mernerima maklum balas positif dan ramai yang berkongsi pengalaman mereka dan membantu kami," kata beliau.

KASIH SAYANG TIDAK BERBELAH BAGI

Meskipun lebih tumpuan diberikan kepada Adam, kasih sayang yang diberikan kepada anak-anaknya yang lain tidak berbelah bagi.

"Memang saya tidak boleh nafikan yang ada anak autisme ini banyak tumpuan diberi kepadanya tapi Alhamduillah dengan pasangan saya, adik beradik dan keluarga saya, mereka dapat membantu Ayra supaya dia tidak rasa ketinggalan," kata Cik Nurul Dhamirah.

Untuk membantu Adam, Cik Nurul Dhamirah dan suami berhabis wang simpanan untuk rawatan terapi privet autisme sehingga mereka terpaksa membuka perniagaan di rumah di samping bekerja sepenuh masa.

"Kami tidak mahu harapkan dari sesiapa dan ingin kerja keras sendiri demi anak-anak kami. Dengan pertolongan kami, Adam akan dapat mempertingkatkan diri di masa hadapan juga. InsyaAllah ini semua untuk kebaikannya," katanya.

PERNAH HIDUP SEBAGAI GELANDANGAN DI TEPI PANTAI SEWAKTU HAMIL 3 BULAN

Pernah menjadi gelandangan sewaktu hamil tiga bulan, Cik Liyana Dhamirah membuktikan bahawa keputusan untuk mengubah fikiran negatif berjaya "menyelamatkan" diri dan keluarganya.

Pengalaman terpaksa hidup di pantai Sembawang selama tiga bulan tidak menjadi penghalang buat beliau bangkit dan teruskan kehidupannya demi memberikan masa hadapan cerah buat anak-anaknya.

Mohammad Fitri dan Mohammad Ian Fiqri baru berusia 4 dan 6 tahun pada ketika itu.

"Saya fikirkan bila keadaan ini akan berakhir. Kadang saya rasa saya kemurungan. Saya sangat sedih dan tak nak makan pun waktu tu. Saya mengalami kesedihan yang teramat sangat," kata Cik Liyana.

Cuaca yang tidak menentu di pantai Sembawang juga adalah antara pekara yang paling menakutkan ketika hidup sebagai gelandangan pada waktu itu.

"Apabila hujan lebat, ranting-ranting pokok akan jatuh dan akan timpa atas khemah kita dan daripada situ, semua yang kita sudah bina akan runtuh," kata Cik Liyana Dhamirah.

Selama tujuh tahun beliau terpaksa menyara anak-anaknya bersendirian. Beliau mula untuk membuat produk-produk sendiri seperti anting-anting menggunakan barangan terpakai untuk mendapatkan sedikit pendapatan.
Beliau tidak boleh bekerja sepenuh masa kerana harus menjaga anak-anaknya yang masih kecil dan tidak cukup wang untuk meletakkan mereka di pusat jagaan kanak-kanak.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran dan hampir putus asa, beliau bangkit semula untuk memastikan anak-anaknya diberikan peluang untuk masa hadapan yang lebih cerah.

"Saya rasa kalau saya tidak ubah nasib saya siapa lagi yang akan ubah nasib saya. Jadi apa yang saya buat adalah untuk mengubah pemikiran saya dulu untuk mengambil sikap yang lebih positif. Saya cuba dapatkan pengajaran daripada apa pun cabaran yang saya lalui dan selalu akan berfikir untuk mencari solusi," katanya.

Cik Liyana yang berpisah dengan suaminya ketika itu, kini sudah memulakan semula hidup dengan pasangan baru.

Beliau berharap pengalamannya bangkit daripada kemurungan dan kesusahan dapat menjadi pembakar semangat dan inspirasi kepada ibu-ibu lain yang sedang bergelut dengan cabaran.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan