Skip to main content

Singapura

BERITA+: Pengalaman berbilang deria di Minggu Seni SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jelajah dunia seni yang memukau dan penuh kreativiti melalui pelbagai acara di merata negara.

Daripada seni imersif yang membawa pengunjung ke dunia spekulatif bersama patung askar terakota hingga karya seni yang merangsang deria bau, Minggu Seni Singapura (SAW) menyajikan pengalaman unik selama 10 hari bermula 17 Januari.

SAJI PELBAGAI GENRE KESENIAN TERMASUK BAUAN DAN PATUNG TERAKOTA

"Kita biasa dengan karya-karya seniman yang melibatkan penglihatan atau visual. Tetapi terdapat banyak jenis lagi karya-karya yang melibatkan deria lain seperti bau-bauan, pendengaran, rasa, sentuhan," jelas seniman seni halus, Adeline Kueh yang fasih berbahasa Melayu.

Di ruang kegiatan dan runcit Oo La Lab yang terletak di Amoy Street, Adeline dibantu untuk mencipta dua wangian kreatif yang dihasilkan untuk Minggu Seni Singapura.
Seniman dan Pensyarah Seni Halus Maktab Seni LASALLE-UAS, Adeline Kueh dengan seni bauannya (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
"Saya sentiasa berminat untuk melihat bagaimana seni kontemporari dapat mencipta hubungan yang lebih bermakna untuk para penonton. Untuk Minggu Seni Singapura, saya menjadi salah seorang kurator untuk pameran yang berjudul dari Palais (istana) ke Pulau. Ia akan berlangsung di 125, Jalan Sultan, tingkat 2 dan kedudukan kita di bahagian dunia ini terkait dengan konsep Nusantara. Siapakah kita jika kita tidak mengetahui sejarah kita, latar belakang kita?" luah Adeline semasa ditemui wartawan Roslinda Rahmat di Oo La Lab.

MINYAK WANGI CEMPAKA BIRU, BAYU NOVEMBER ANTARA PAPARAN SENI DERIA

Seni olfaktori membuka peluang untuk menghargai bau sebagai medium artistik.

Eksekutif Kanan Oo La Lab, Thevva Puspanathan, menjelaskan:

"Proses mencampur cecair untuk mencipta bauan wangi boleh dianggap sebagai bentuk seni kerana satu, ia merupakan ekspresi kreatif. Seperti seni visual, penciptaan minyak wangi memerlukan kreativiti dalam memilih dan menggabungkan nota aroma untuk menyampaikan emosi atau konsep tertentu. Ini merupakan satu pengalaman berbilang deria di mana seni olfaktori menambah dimensi baharu kepada pengalaman seni. Ia membolehkan orang ramai berinteraksi dengan karya seni, melalui deria bau, yang dapat membangkitkan memori dan emosi dengan cara yang unik."
Eksekutif Kanan Oo La Lab, Thevva Puspanathan. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Minyak wangi karya Adeline untuk SAW mengandungi makna yang mendalam, dengan hasil yang berkait rapat dengan sejarah dan budaya Nusantara.

"Sebagai contoh, sejarah perdagangan sutera dan rempah-ratus yang didorong oleh monsun atau angin perdagangan kita. Wangi-wangian yang dihasilkan cuba menarik persamaan dan perhubungan dengan sejarah itu. Misalnya 'November Breeze' yang mengingatkan kita dengan wangi-wangian bayu laut. 'Cempaka Biru' mengambil inspirasi daripada lagu Pak Zubir Said, yang merayakan semangat merantau. Terdapat persamaan di antara Pak Zubir yang datang ke Singapura dari Minangkabau pada usia 21 tahun dengan saya yang sampai ke Singapura dari Sarawak pada usia yang sama," dedah Adeline.

Thevva, yang berasal dari semenanjung Malaysia menambah: "Bekerjasama dengan seniman seperti Adeline membolehkan Oo La Lab untuk meneroka cara baharu untuk menggabungkan seni olfaktori dengan seni visual, mencipta pengalaman yang lebih mendalam. Ia juga membolehkan kami mendidik orang ramai untuk mengenal pembuatan minyak wangi dan menginspirasi individu untuk menghargai rumitnya dan halusnya seni olfaktori."

PAHLAWAN TERAKOTA SG REKAAN PENDUDUK SEBAHAGIAN PENGALAMAN SENI IMERSIF

Menjelang pelancaran Minggu Seni Singapura (SAW), Kelab Jaringan Masyarakat Jalan Batu berubah menjadi medan perhimpunan bagi 30 penduduk Mountbatten, yang bergotong-royong untuk membentuk dan mengukir patung tentera daripada tanah liat.
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
Bengkel masyarakat ini dianjurkan oleh Kelab Seni dan Budaya Masyarakat Mountbatten, demi menyokong pameran seni interaktif yang unik, yang berlangsung di Pusat Pelawat, Hab Sukan Singapura, yang dahulu dikenali sebagai Stadium Kallang.

Seniman Raihan Harun, pencipta pengalaman seni imersif, berusaha membimbing dan memperkasa para sukarelawan yang terlibat dalam projek itu untuk menciptakan patung tentera yang menjadi sebahagian daripada Kawalan Kehormatan sewaktu acara Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di kawasan itu suatu ketika dahulu.
Seniman pencipta pengalaman, Raihan Harun dengan pahlawan terakota versi Singapuranya. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Melalui sesi interaktif itu, Raihan dan pasukannya,mencungkil kenangan penduduk sewaktu kawasan kediaman mereka menikmati NDP sehinggalah perayaan beralih tempat kerana pembinaan-semula.

"Kumpulan seniman kami, Temporal Displacement Agency, terpesona dengan seni berkaitan dengan warisan, sejarah dan cerita yang membentuk naratif Singapura. Untuk memperingati ulang tahun Singapura yang ke 60 yang jatuh pada tahun ini (2025), kami ingin meneroka peranan Perbarisan Hari Kebangsaan dalam memupuk perpaduan negara. Ini dilakukan menerusi lensa arkeologi, antropologi dan masa depan spekulatif - macam cerita 'sci-fi' (fiksi sains).

"Inspirasi untuk menganjurkan acara yang kami namakan National Antiquities Parade atau Perbarisan Peninggalan-Peninggalan Sejarah Kebangsaan ini berasal daripada sejarah unik kawasan perumahan Mountbatten sebagai satu-satunya kawasan kediaman yang menganjurkan Perbarisan Hari Kebangsaan dari tahun 1973 sehingga 2006," cerita Raihan.

Lebih dari 250 patung askar terakota diukir, membentuk diorama besar yang menggambarkan kontinjen Kawalan Kehormatan Perbarisan Hari Kebangsaan.

Antara peserta terpilih ialah mahasiswi Universiti Nasional Singapura (NUS), Sharifah Fatimatu Zahra Syed Khalid Alsagoff, 21 tahun, yang aktif dalam proses penciptaan patung-patung tersebut
Mahasiswa NUS (dua dari kanan) yang tinggal di Mountbatten ini turut mengukir sama. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
"Saya sedang mengukir askar daripada tanah liat dan ia akan digabungkan bersama askar-askar lain daripada peserta-peserta lain di dalam bengkel itu. Ia pengalaman berharga - dapat mempelajari beberapa teknik untuk mengukir dan bagaimana seni seperti ukiran patung terakota itu dapat mewakili dan juga meraikan sejarah serta warisan."

Penduduk Mountbatten berusia 62 tahun, Noorhawa Noordin, juga turut serta.

"Sekarang saya sedang buat kolar baju patung askar. Harap ia menjadi patung askar yang cantik, yang akan dipamerkan di Hab Sukan. Saya tidak sabar hendak tengok askar saya di kalangan hampir 300 askar tanah liat yang lain," ujar Cik Noorhawa.
30 penduduk Mountbatten berhimpun sejak pagi hari Sabtu untuk mengukir askar terakota bagi Singapore Antiquities Parade. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Pengalaman seni Raihan berlanjutan dengan pameran di Hab Sukan sempena SAW bersama PAssionArts dan berlangsung sehingga 26 Januari.

"Di pameran itu, pelawat akan bertemu dengan watak ahli arkeologi daripada Singapura zaman tahun 3000. Singapura yang akan datang itu mengalami krisis kewujudan yang amat teruk. Watak yang dimaksudkan, Profesor Farook, itu akan datang menyiasat kenapa dan bagaimana perbarisan ikonik NDP pernah mengekalkan semangat Singapura. Jadi pengunjung boleh datang mempelajari cara untuk memulihkan arca itu dalam bengkel lukisan mini yang dianjurkan.

"Pengunjung juga boleh menghantar surat kepada generasi akan datang tentang cara untuk menghidupkan semula rasa cinta kepada negara. Jadi, seni kami ada dua audiens. Satu audiens itu yang datang untuk mengukir patung-patung askar itu dan satu lagi audiens yang datang dalam tempoh Minggu Seni dan mengalami cerita 'sci-fi' kami. Jadi setiap patung yang diukir itu boleh dicat dalam Perbarisan Antikuiti Kebangsaan," dedah Raihan lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita