BERITA+: Penduduk Ang Mo Kio kenang jasa PM Lee, jadi Anggota Parlimen Teck Ghee lebih 3 dekad
Masih jelas di ingatan Encik Aziz Ahmad ketika beliau memberikan 'hadiah istimewa' kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong hampir 7 tahun lalu.
Pada ketika itu, Encik Aziz bersama dengan keluarganya hadir ke majlis penyampaian Dermasiswa Merit Edusave Kementerian Pendidikan (MOE) anak lelakinya, Adam Zafran Aziz, yang disampaikan Encik Lee.
"Semasa saya pergi ke acara anugerah dermasiswa untuk anak saya, saya menunjukkan beliau gambar. Gambar yang selalu arwah mak saya banggakan iaitu gambar saya menerima dermasiswa daripada beliau (Encik Lee), jadi saya tunjukkan kepada beliau (Encik Lee)," kongsi Encik Aziz kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Anugerah yang diterima Encik Aziz pada 1986 itu merupakan dermasiswa Kesatuan Sekerja SBC (Perbadanan Penyiaran Singapura) yang disampaikan oleh Encik Lee juga.
Bapa kepada Encik Aziz, Ahmad Azali pada ketika itu masih bertugas sebagai tukang kebun di SBC.
"Mana ada menteri yang boleh katakan 'Oh saya beri anugerah kepada bapa dan anak, dua-dua selang beberapa tahun. Jadi tujuan saya adalah untuk memberikan kegembiraan.
"Saya pula tidak sangka beliau akan menggunakan kisah itu dan menerapkan nilai untuk kerja keras keluarga dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos tahun itu," kata Encik Aziz.
Dengan dermasiswa yang diberikan, ia membolehkan individu seperti Encik Aziz untuk melanjutkan pelajaran sehingga meraih ijazah sarjana dalam pengurusan kejuruteraan.
Meskipun sudah berpindah, Encik Aziz masih lagi kembali ke Teck Ghee untuk menyumbang kembali sebagai relawan.
Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Perundingan Rakyat Teck Ghee (Teck Ghee CCC).
Sebagai bekas penduduk Teck Ghee, Encik Aziz juga hargai jasa Encik Lee sebagai seorang Anggota Parlimen.
Encik Lee sudah menjadi Anggota Parlimen Teck Ghee sejak mula-mula menyertai bidang politik pada 1984 dan kini sudah mencecah lebih tiga dekad lamanya.
USAHA BANGUNKAN BANDAR DALAM TAMAN
Bukan sahaja kebajikan penduduk, kebersihan dan kehijauan di kawasan Ang Mo Kio ini juga menjadi keprihatinannya.
Sebagai usaha beliau memupuk minat masyarakat kepada kehijauan, kawasan undi itu menganjurkan Hari Menanam Pokok dan PM Lee sendiri menanam pokok Cratoxylum formosum di kawasan Blok 325 pada 20 November 2021.
"Pada pandangan saya, menanam pokok ini adalah salah satu daripada warisan ayahnya, Encik Lee Kwan Yew, untuk memastikan negara kita ini bersih dan hijau kerana ia adalah sesuatu kelainan yang ketara negara kita berbanding dengan negara lain.
"Kerana apabila ketua kami mengambil serius perkara ini, yang lain (penduduk) juga mengambil serius perkara ini. Kalau anda tanya orang yang bijak, kita tanam pokok bukan untuk kita sendiri tetapi untuk kenikmatan generasi yang akan datang," kongsi Encik Aziz.
Ini juga visi PM Lee untuk menjadikan kawasan Ang Mo Kio dan seluruh Singapura sebuah bandar dalam taman.
TINGKATKAN PEMBANGUNAN DI KAWASAN GRC ANG MO KIO
Di bawah kepimpinannya, para penduduk seperti Encik Aziz dan Cik Juma’iah Samian dapat menikmati pelbagai peningkatan dari segi prasarana di sini.
Ini termasuk khidmat bas 71 daripada Teck Ghee Court ke kawasan bandar dan projek naik taraf terbaharu Pusat Bandar Ang Mo Kio yang bakal dilancarkan pada Jun ini.
"Pusat Bandar di Ang Mo Kio itu agak lama, ada barang yang buruk jadi bila ia akan selesai bulan enam tahun ini, tempat itu akan jadi tempat yang selesa, ada laluan moden untuk kami menikmati jadi tempat itu akan menjadi tempat yang menarik dan selesa untuk orang jalan," kongsi Encik Aziz.
Beliau sempat memuji keprihatinan dan keihsanan Encik Lee untuk memastikan kesejahteraan penduduk terjamin.
"Dia sendiri ambil perhatian dan prihatin, dia turun padang dia selesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk seperti masalah tong sampah, dia sendiri turun mendengar maklum balas penduduk di sini dan dia ambil tindakan untuk menyelesaikan masalah itu," kata Encik Aziz.
Bagi Cik Juma’iah, 81 tahun yang sudah menetap di rumah sewa di blok 420 di kawasan itu selama lebih dua dekad, bersyukur mempunyai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

"Dengar dia nak berhenti, nak tukar pun dengar macam hati tu... memang betul ini memang hati ke hati... memang sedih jugalah pasal dia jaga kita betul walaupun kita macam begini, tidak kerja, tidak ada apa tapi makan kita tidak pernah tak ada, Alhamdulillah. Semuanya bagus dekat sini, kalau suruh pindah pun cik tidak mahu," ujar Cik Juma’iah.
PM LEE PRIHATIN AKAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM
PM Lee turut menunjukkan keprihatinannya terhadap masyarakat Islam di kawasan itu.
Warga kerja Masjid Al-Muttaqin amat menghargai jasa dan kepimpinan beliau.
PM Lee sudah kunjungi masjid yang terletak di Ang Mo Kio itu beberapa kali termasuk untuk sesi berbuka puasa beramai-ramai.

Semasa lawatannya ke masjid itu, Encik Lee menyanjung kerja keras kakitangan masjid untuk memastikan kesejahteraan para jemaah terjamin semasa pandemik COVID-19.
"PM merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh kakitangan masjid, relawan dan juga masyarakat Islam kerana mereka memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan keamanan masyarakat terjaga.
"PM juga telah memuji dan juga menghargai usaha-usaha pihak masjid dan juga masyarakat Islam secara umumnya untuk melakukan kegiatan kemasyarakatan dalam kita membina masyarakat Singapura yang majmuk dan juga harmoni," kongsi Encik Fairus.
Encik Fairus juga memuji kepimpinan Encik Lee yang memastikan masyarakat Islam dapat terus maju.
"Bila kita tinjau sepanjang 20 tahun ini, Alhamdulillah ekonomi negara kita, Singapura, membangun dengan pesat, sejajar dengan pembangunan ekonomi ini, kita lihat juga peningkatan masyarakat Islam juga agak ketara daripada segi ekonomi dan juga daripada segi sosial," kata Encik Fairus
"Daripada segi masjid kita lihat apabila pembangunan yang pesat ini, kita lihat sumbangan daripada masyarakat juga agak meningkat. ini membolehkan kami untuk melakukan lebih banyak kerja-kerja yang lebih baik untuk kami menyantuni masyarakat di sekitar kawasan Ang Mo Kio. Ini secara tidak langsung dapat mewujudkan atau menjadi pemangkin kepada kejayaan masyarakat yang kalau kita lihat kejayaannya makin meningkat daripada segi ekonomi, akademik, sukan dan sebagainya" tambahnya.
Seorang pemimpin untuk semua, tidak mengira latar belakang atau kedudukan, jasa Encik Lee sebagai Anggota Parlimen dan Perdana Menteri akan terus kekal terpahat di hati mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.