BERITA+: Penari tradisional Melayu 'hidupkan' kisah wanita cantik Cina kerajaan purba Laluan Sutera
SINGAPURA: Menghidupkan dua kisah legenda menerusi tarian dengan susunan muzik Cina yang diterapkan dengan elemen tarian Melayu.
Itulah yang dipersembahkan Orkestra Cina Singapura (SCO) untuk konsert 'Seamless" sempena musim konsertnya untuk 2024/2025.
Pereka tari Melayu veteran, Osman Abdul Hamid diberi penghormatan untuk menghidupkan dua kisah legenda kisah legenda Pulau Subar Laut dan Pulau Subar Darat yang kini dikenali sebagai Sisters' Islands dan kisah wanita cantik Cina kerajaan purba Laluan Sutera menerusi tarian dengan susunan muzik Cina yang diterapkan dengan elemen Melayu.
PERSAHABATAN SEJAK REMAJA, KINI ADAKAN KOLABORASI DUA BUDAYA
Persahabatan mereka terjalin sejak mereka berusia 15 tahun.
Kini hampir lima dekad kemudian Pengarah Artistik, Teater Tari Era, Encik Osman Abdul Hamid dan Encik Quek Ling Kiong, peneraju utama SCO mematri kerjasama yang bukan 'biasa-biasa'.
Ia menggabungkan muzik orkestra Cina dengan tarian tradisional Melayu dalam konsert tanpa sempadan, berjudul 'Seamless' anjuran SCO.
Buat pertama kalinya, sekumpulan 18 penari Teater Tari Era diundang untuk menghidupkan kisah legenda Pulau Subar Laut dan Pulau Subar Darat yang kini dikenali sebagai Sisters' Islands.
Menurut legenda, adik-beradik kembar yang yatim-piatu bernama Minah dan Linah dipisahkan secara paksa oleh sekumpulan lanun.
T Ini apabila ketua lanun itu memaksa untuk berkahwin dengan Linah.
Demi menyelamatkan kembarnya, Minah cuba berenang ke kapal lanun tetapi kecundang dan mati lemas.
Akibatnya, Linah juga terjun dan lemas bersama-sama kembarnya.
Dua buah pulau yang kemudian dikatakan muncul di situ dinamakan Pulau Subar Laut (atau Sisters Island yang besar) dan Pulau Subar Darat (Sisters Island yang kecil).
Konsert di Dewan Persidangan Singapura itu merupakan percubaan Pemimpin Utama SCO Encik Quek Ling Kong untuk memberi nafas baharu kepada gubahan lagu yang sudah dipentaskan sebanyak 74 kali oleh orkestra-orkestra di serata dunia sebelum itu.
Lagu itu antara lain menggunakan alat muzik serupa jenis gamelan untuk menghasilkan jalinan bunyi nusantara.
"Dari segi melodinya memang menggunakan skala muzik Melayu. Ditambah dengan ritmanya serta di antara alat muzik yang kami gunakan seperti rebana, gong dan gong agung Melayu. Kadang-kala kami perlu ubah sedikit tempo, yakni berapa lantang atau perlahan kerana, apabila para penari masuk, mereka sudah terbiasa dengan tempo tertentu. Kita juga perlu ubah dinamika lagunya, yakni berapa kuat atau berapa perlahan bunyinya, supaya boleh menyokong tarian itu dan menghasilkan gambaran yang lebih baik untuk dihargai penonton," dedah Encik Quek.
Mereka tarian untuk pentas konsert yang sempit bukan satu-satunya cabaran bagi Encik Osman yang merupakan penerima Pingat Budaya 2023.
"Cabaran juga terletak pada komposisi lagu kerana nada alat-alat muzik Cina sangat berbeza. Juga ada pendekatan bahawa alat muzik tertentu mewakili watak yang tertentu. Seperti ada bunyi serupa cengkerang ditiup, seperti bunyi ombak, bunyi seseorang sedang merayu. Jadi penari itu harus merasakan dalam menggayakan gerak rayuan. Itu harus dengan muka, dengan perasaan, dengan rasa."
Tambah Encik Osman, "Lazimnya, kita menari mengikuti kiraan dalam lagu. Kalau lagu Melayu, kita kenal rentak inang ke, joget ke, zapin ke. Memang dalam komposisi ini ada bahagian yang rentaknya seperti lagu Melayu asli dan juga zapin. Tetapi selain melihat sinopsis, kami juga perlu meneliti bahagian-bahagian lagunya - misalnya yang ini, dia sedang berlari. Bahagian ini pula, lanun masuk. Yang ini pula ombak besar. Bahagian ini, dia jatuh."
Cabaran bagi pihak SCO pula adalah untuk menghasilkan bunyi lenggok Melayu yang mendayu-dayu.
Ini cuba dicapai menerusi penggunaan teknik Glissando.
"Kami menggunakan kebanyakannya alat muzik Cina, contohnya seruling bambu Dizi. Kami cuba meniru bahasa Melayu menerusi teknik Glissando, untuk mengalunkan bunyinya. Sehingga bunyinya menjadi indah. Bukan lurus sahaja tetapi sebaliknya berlenggok, seperti gaya nyanyian lagu Melayu," kongsi Encik Quek kepada wartawan Roslinda Rahmat.
"Kita harus keluar daripada ruang tarian Melayu itu. Perlu mengimprovisasi. Apabila sudah dapat warnanya, baharu kita tentukan pergerakan dan peralihan gerak tersebut. Mengadunkan dua perkara ini sangat tergantung kepada keahlian penari itu," sorot Encik Osman pula.
Beliau yang terkenal mengadunkan pergerakan silat ke dalam karyanya, kali ini menerapkan pula beberapa aksi lasak.
HIDUPKAN KISAH WANITA CANTIK CINA KERAJAAN PURBA LALUAN SUTERA
Satu lagi persembahan dalam kolaborasi SCO-Era, tidak kurang cabarannya.
Noormaya Abdul Rasiad antara penari mapan dari Teater Tari Era.
Namun sejak berhijrah ke Perak mengikut suami sebelum COVID-19 melanda dunia, tawaran kolaborasi dengan SCO sukar ditolak.
"Saya menari secara solo. Jadi saya berlatih sendiri, berurusan dengan Abang Osman melalui panggilan video WhatsApp. Dari situlah beliau memberikan idea dan kami bertukar-tukar pendapat. Rasa berat juga. Lagi-lagi dengan keadaan saya yang berada jauh. Saya pun harus fikir tentang perjalanan, tentang anak saya.. Tetapi kerana sudah lama tidak menari, jadi semangat itu berkobar-kobar untuk menjayakan konsert ini," luah Cik Noormaya dari Teater Tari Era.
Penari Melayu ini merasa tercabar untuk menghidupkan persembahan muzik orkestra Cina yang mengisahkan gadis cantik dari Kroran.
Ia gubahan popular komposer tersohor dari Taiwan, Zhong Yaoguang.
"Judulnya 'A Girl From Kroran'. Kroran itu adalah di Laluan Sutera di Xinjiang, China. Pada 1980-an, mereka terjumpa mumianya yang masih utuh. Saya harus menunjukkan perwatakan gadis cantik daripada Kroran itu dengan iringan alat muzik bernama Yangqin. Kalau lagu Melayu, kita menari ikut irama dan kiraan. Kalau Yangqin itu, agak payah, tidak tahu bila hendak masuk menari. Jadi untuk mengatasinya, naluri pemain Yangqin dan naluri saya harus bersatu. Saya rasa bangga sebab saya seorang Melayu diberi kepercayaan untuk menarikan watak wanita Cina," luah Cik Noormaya.
KOLABORASI SENI PERKUKUHKAN IKATAN BERBILANG BUDAYA
Encik Quek ingin mendalamkan lagi silang pemahaman menerusi kerjasama seperti itu
"Kami harap untuk meneroka lebih banyak kolaborasi. Tetapi kita perlukan masa untuk membolehkan para pemuzik dan para penari untuk membuat kajian, berbincang, adakan bengkel. Sebagai contoh, para pemuzik Cina boleh cuba belajar tarian tradisional Melayu dan para penari Melayu boleh sentuh dan pelajari tentang alat muzik Cina. Barulah dapat kita pupuk persefahaman yang mendalam."
Jelas, perpaduan dapat dicapai melalui tarian dan muzik yang memerlukan kerjasama pasukan, sekali gus meraikan keharmonian dan keunikan masyarakat kita yang pelbagai bangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.