Skip to main content

Singapura

BERITA+: Pempengaruh mualaf sambut Tahun Baharu Cina, Ramadan serentak

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tahun Baharu Cina dan Ramadan hadir hampir serentak pada tahun ini.

Bagi mualaf Cina, ia membawa dua suasana berbeza dalam satu waktu yang sama.

Tahun Baharu Cina membawa kemeriahan tradisi, manakala bulan Ramadan pula membawa erti ketenangan, keberkatan dan muhasabah diri.

Wartawan Roslinda Rahmat bertemu dengan seorang pempengaruh mualaf untuk memahami cara beliau menyeimbangkan budaya dan tuntutan agama.

PEMPENGARUH MUALAF CINA LALUI PENGALAMAN BERPUASA SAMBIL RAI TAHUN BARU CINA
Related article image
Setiap Tahun Baharu Cina, Loh Xuan Min atau yang lebih ringkas dipanggil Xuan, tidak pernah terlepas kunjung-mengunjungi anggota keluarga dan sanak saudara.

Tidak lupa untuk membawa sepasang buah limau - sebagai simbol tuah dan kemakmuran dalam budaya Cina.

"Dari usia muda, kami akan melakukan 'bai nian' seperti kunjung-mengunjung, memberikan buah limau kepada orang tua dan menyapa mereka. Ada juga banyak snek dan gula-gula. Kita kemudian akan menerima Hong Bao. Saya rasa itulah antara kenangan terindah buat saya, dan kami akan mengira duit di dalamnya," kenang Xuan, kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Sejak enam tahun lalu, Xuan memilih jalan hidup baharu sebagai mualaf dan kini dikenali sebagai Sharmin Abdullah.

Namun, semangat Tahun Baharu Cina masih diraikan, dengan cara yang lebih bersesuaian.

Maknanya tetap serupa - untuk mengeratkan ikatan keluarga.

"Kerana Xuan kini Muslim, saya masih mahu dia terus sambut Tahun Baharu Cina dengan kita. Selalunya saya akan sediakan hidangan Tahun Baharu Cina dan 'Steamboat'. Kita gunakan semua perkakas untuk halal, semuanya kita siapkan khas untuknya dan ketepikan dalam ruang khas untuknya. Tahun Baharu Cina masa yang baik untuk kita berkumpul dan bersembang. Jadi sekarang ada Sharmin sebagai Muslim, kita gembira dia boleh rayakan bersama," luah Susan Lim, ibu saudara Sharmin.

"Sebagai Muslim, kita diajar untuk terus menghormati keluarga, ibu bapa dan digalak mengekalkan akar dan budaya kita, bukan? Jadi ia buat saya lebih menghargai budaya Cina. Ia tidak berubah walaupun saya kini Muslim. Ia membuat saya semakin menantikannya. Dan saya dapat berkumpul dengan semua ahli keluarga, tetapi kini dengan berhijab", celah Sharmin yang merupakan seorang pempengaruh sepenuh masa di Instagram, di bawah nama @Mintydollz.

KELUARGA BIMBANG LUNTURNYA BUDAYA DAN WARISAN
Related article image
Sebagai seorang mualaf, Sharmin kini menyeimbangkan agama Islam dan budaya Cina.

Namun, dalam keluarganya, usaha mengekalkan tradisi juga telah menjadi satu perjuangan.

"Budaya Tahun Baharu Cina amat penting bagi kita kerana ia diturunkan orang tua dan kita menghormati mereka. Semoga cucu saudara kita akan ikut apa yang kita turunkan padanya. Supaya masa depan nanti dia boleh teruskan budaya Cina dan Melayu yang sama", luah Susan, penuh harap.

Manakala bapa saudara Sharmin, Peter Lim pula berkongsi keprihatinannya dalam bahasa Melayu yang agak fasih.

Encik Lim berkata: "Saya takut! Saya ada ajar, tetapi mereka mudah lupa. Contoh musim Tahun Baru Cina, tak boleh cakap benda tak baik. Ada pantang-larang lagi - tak boleh sapu lantai selama tujuh hari. Tak boleh mop juga. Tapi sekarang punya budak sudah pakai penyedut vakum lah. Macam mana itu?"

BERPUASA MASA UNTUK BERMUHASABAH DIRI, TUMPUAN PADA KEAGAMAAN

Tahun ini, sambutan perayaan Cina itu bertemu Ramadan.

Suasananya kian berubah - daripada kemeriahan, kepada ketenangan.

Ramadan membawa sama keberkatan, ruang untuk bermuhasabah diri dan beribadah buat Sharmin.

"Ramadan bagi saya amat kerohanian, lebih muhasabah diri, lebih peribadi. Ia lebih seperti saya. Kemudian, bersama seorang lagi Muslim, kami dapat solat bersama, tarawih bersama. Sangat berbeza berbanding Tahun Baharu Cina yang lebih menyeronokkan dan lebih bising, lebih tentang semua orang. Manakala Ramadan benar-benar bersifat peribadi, tetapi kami masih dapat berada dalam satu kumpulan".

Ramadan juga membawa bersamanya erti menghargai waktu, meluangkan masa bersama keluarga.

Buat Sharmin, perkara itu paling dirasakan sewaktu berbuka puasa bersama.

"Berbuka puasa bersama mereka, ada satu momen kekeluargaan yang sangat indah yang saya tidak mahu lepaskan. Saya sangat sangat menyukainya. Ia antara pendorong saya untuk memeluk agama Islam dan bersuamikan seorang Melayu."

"Sebagai orang Cina, kami hanya dapat mengalami makan semeja sekali atau dua kali setahun. Tetapi sebagai Muslim, kami dapat mengalami Ramadan setiap hari, apabila saudara-mara atau keluarga terdekat berkumpul, duduk bersila di lantai atau di kerusi-meja, dengan hidangan satu meja penuh dengan makanan, dan kami makan beramai-ramai menggunakan tangan. Di situ memang terasa sangat berbeza," dedah Sharmin kepada BERITA Mediacorp.

MASAKAN IFTAR BUAT SUAMI: 'DUMPLING' SIMBOL KEMAKMURAN KERANA BENTUKNYA MENYERUPAI JONGKONG EMAS

Semasa iftar bersama suaminya, Sharmin menyesuaikan cara masakannya.

Memandangkan perayaan Tahun Baru Cina masih berlangsung, Sharmin tidak ingin melepaskan peluang untuk memasak hidangan kegemarannya buat iftar.

"Saya tidak pandai memasak makanan Melayu - agak sukar untuk saya. Saya orang Kantonis. Banyak minum sup, makan bubur. Tetapi saya memang rindu makan 'dumpling', jadi saya buat sendiri dari semasa ke semasa," kongsi Sharmin.

Menyaksikan Sharmin membuat rakaman pengisian untuk media sosialnya, kedengaran suara cerianya berseloroh, "Inilah sup 'dumpling' yang saya masak untuk suami. Ia biasanya dihidangkan berserta mi. Tetapi oleh kerana suami tidak suka makan banyak karbohidrat, dia sebaliknya memakannya dengan banyak kurma.

Sharmin berkata bahawa bentuk 'dumpling' itu menyerupai jongkong emas iaitu membawa simbol kemakmuran dalam budaya Cina.

"Sebenarnya saya tidak pandai membuat 'dumpling'. Asalkan masuk ke dalam perut suami, saya rasa dia okay sahaja!" kata Sharmin sambil ketawa.

Menunggu waktu azan bergema sebagai petanda masuk waktu berbuka puasa, di meja yang sama di rumah Sharmin, kelihatan 'dumpling' dan kurma berkongsi ruang.

Tahun Baharu Cina dan Ramadan mungkin berbeza suasananya.

Namun buat Sharmin, kedua-duanya membawa pesanan yang serupa — yakni untuk menghargai akar, memelihara iman, dan jangan pernah membelakangkan keluarga.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita