Skip to main content

Singapura

BERITA+ Pementasan berbilang genre tari pelajar RP sanjung kisah Zubir Said

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Daripada bergantung kepada buku teks tradisional, golongan muda diharap akan lebih tertarik untuk mendalami sejarah melalui pergerakan, muzik dan penceritaan yang imersif, atau berasa seolah-olah turut terlibat sama atau menjadi sebahagian daripada pengalaman itu.

Demikian usaha Politeknik Republic (RP) menerusi pementasan tarian asal yang melibatkan bukan satu tapi enam jenis tarian dan sukan bela diri sebagai tribut kepada seniman tersohor Zubir Said.

Ia mengambil bentuk sebuah penerokaan tari untuk menceritakan kisah cinta, kehidupan dan legasi komposer paling prolifik Singapura, Zubir Said, yang belum pernah diceritakan.

Begitulah inti persembahan tarian pelbagai genre diberi nama MUSE XIV: Zubir - oleh para pelajar Politeknik Republic, RP pada 1 November lalu.

Paparan perjalanan hidupnya dari Bukit Tinggi ke era penggubahannya dalam filem-filem Melayu, hingga ke zaman kemerdekaan Singapura - menggabungkan enam kumpulan tarian pelbagai genre.

Dan yang menariknya, apakah peranan tarian Brazil Capoeira dan seni bela diri tradisional Cina, Wushu, dalam menceritakan kehidupan pencipta lagu kebangsaan kita, Majulah Singapura?

6 KUMPULAN,1 CERITA DALAM PERSEMBAHAN

Ratusan pelajar Politeknik Republic punya tujuan yang sama, yakni untuk bercerita. Peminat dan aktivis tarian pelbagai genre itu bergabung di Pusat Budaya Republic kerana ingin secara aktif memelihara dan menceritakan kisah seorang ikon nasional.

Related article image
Ellysa (tengah, berdiri berbaju hitam) - pelajar-penerbit MUSE XIV: Zubir (Gambar: Roslinda Rahmat)
Ellysa, pelajar tahun 2 pengurusan acara di RP menjadi penerbit usaha besar ini, dengan bimbingan staf penerbit, Skyler.

"Topik Festival Seni Reflections tahun ini adalah untuk meraikan orang-orang yang membentuk seni dan budaya Singapura. Jadi saya rasa Zubir seorang yang kita harus raikan kerana sudah banyak tahun yang kita menyanyikan lagu-lagu dia. Zubir Said seorang yang ikonik.

Walaupun ramai orang tahu yang kerana lagu Majulah Singapura, saya rasa ada ramai lagi yang tidak tahu tentang cabarannya," ujar Pelajar-Penerbit, MUSE XIV: Zubir, Nur Ellysa Nasida Md Nassir, kepada wartawan Roslinda Rahmat.

"Kami mahu meneroka Zubir bukan sahaja tentang perjalanan hidupnya dari Sumatra Barat. Termasuk beberapa perkara yang mungkin ramai rakyat Singapura tidak mengetahui adalah Zubir berkata apabila beliau menulis lagu Majulah Singapura, beliau mahukan ia menjadi satu doa untuk kita maju bersama," tambah Skyler Tan, Staf-Penerbit, MUSE XIV: Zubir.

Menariknya, penceritaan secara visual ini dilakukan melalui gabungan kreatif seni bela diri, tarian kontemporari dan koreografi tradisional Melayu dalam persembahan enam kumpulan tari RP - Capoeira, Dharma Endari, Modern Dance, Selatra, Style Groovaz Crew dan Wushu.

Ellysa menambah, "Setiap kumpulan dalam produksi ini ada budaya sendiri. Sebagai contoh, ada hip hop, ada kontemporari, tarian Melayu dan juga seni bela diri. Jadi mereka harus cuba pamerkan budaya sendiri sambil juga mewakili Zubir Said."

PERSEMBAHAN PELAJAR RP RAIKAN LEGASI ZUBIR & SEMANGAT PERPADUAN SG
Related article image
Kiefer, tengah, berjaket merah, dalam aksi Wushu (Gambar: Roslinda Rahmat) 

Kiefer Lim, Pelajar-Penari dan Pereka Tari dari kumpulan tari Wushu, mengakui tidak pernah tahu tentang Zubir Said, namun kajian yang dijalankan ke atas tokoh itu dan pergelutan yang diharungi sehingga mencapai cita-citanya, membuat Kiefer kagum.

"Cabaran utama adalah kerana Wushu asal dari China namun kami cuba sampaikan apa yang beliau inginkan untuk Singapura dan masyarakat dan dirinya menerusi Wushu, menerusi pergerakan kami dan cuba membangkitkan emosi. Persembahan kami adalah tentang konflik dan tentang Singapura dalam era 1960an. Jadi ia mengenai beliau yang mengambil berat tentang masyarakat terutama bagi kami orang Cina dan mahu kita bersatu dengan aman," luah Kiefer.

Capoeira adalah seni bela diri dan permainan Afro-Brazil yang merangkumi unsur-unsur tarian, aksi akrobatik, muzik dan kerohanian.

Ia merangkumi gerakan akrobatik yang kompleks, selalunya melibatkan tangan di atas lantai dan tendangan secara terbalik. Ia menekankan pergerakan yang mengalir dan bukan posisi tetap; ginga, iaitu langkah berayun, biasanya menjadi tumpuan utama teknik ini.

Walaupun sering dikatakan sebagai seni mempertahankan diri yang menyamar sebagai tarian, Capoeira juga berperanan dalam mengekalkan kerohanian dan budaya.

"Penonton boleh lihat bagaimana anggota Capoeira menggunakan teknik-teknik Capoeira untuk menggambarkan pergelutan dan konflik sambil menyesuaikannya dengan bahasa tarian modern," jelas Skyler.

Persembahan dari Capoeira dan Tari Moden mengingatkan kita tentang doa Zubir Said bahawa demi memajukan negara, kita mesti menyatukan rakyat.

Related article image
Nadiah dari tarian modern (depan jurukamera, berbaju hitam lengan putih, sewaktu latihan. (Gambar: Roslinda Rahmat)

"Dalam persembahan kami, setiap penari adalah satu alat instrumen, alat muzik dan kami juga berdansa bersama-sama jadi penonton boleh nampak hubungan rapat antara Zubir dengan semangatnya iaitu muzik. Saya rasa yang hip hop dan open style ini adalah tarian yang sedang 'trendy'. Jadi saya rasa yang penonton akan merasa lebih atau memahami lebih tentang seni warisan Singapura dan Zubir Said, serta kesusahan dan kesenangan Zubir Said," ujar Nadiah Nazihah Mohammad Azhar, Penari, kumpulan Style Groovaz Crew Hip Hop Dance.

Gaya tarian yang berbeza membangkitkan emosi yang berlainan, terutama dalam menggambarkan pelbagai detik dalam kehidupan seorang tokoh.

SENI BELA DIRI YANG DIPAPAR MENJADI SIMBOL PERJUANGAN & SEMANGAT KEBANGSAAN

Seni bela diri silat pula menampilkan unsur keindahan, juga ketenangan, dalam setiap gerakan. Apabila digabung dengan tarian kontemporari lain, ia mencipta bentuk persembahan yang harmoni, kuat tetapi lembut, tradisional tetapi moden.

Related article image
Misha (tengah) pereka tari beraksi mengajar rakan sekumpulan Selatra. (Gambar: Roslinda Rahmat)

Bagi Misha Hannah Mohamed Fariq, Penari dan Pereka Tari, kumpulan Selatra, penyertaan dalam Muse XIV: Zubir memberinya banyak pengajaran dalam komunikasi, kepimpinan dan ekspresi diri.

"Silat menyampaikan kisah tentang perjuangan rasa hormat bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi juga terhadap budaya dan masyarakat. Ia menggambarkan semangat yang sama seperti yang ditunjukkan oleh Zubir Said dalam perjalanan hidupnya, bagaimana beliau terus berjuang sambil mengekalkan jati diri dan cintanya terhadap seni."

Tambah Misha, "Bagi saya, silat memainkan peranan penting dalam menunjukkan identiti budaya Melayu dalam MUSE XIV: Zubir. Ia bukan sekadar seni bela diri, tetapi satu bentuk ekspresi yang menggambarkan keanggunan, kekuatan dan juga semangat. Melalui silat, kita dapat menghubungkan tradisi lama dengan persembahan yang moden, menjadikannya satu gabungan yang unik dan bermakna."

Usaha menggalakkan penonton muda supaya berinteraksi dengan sejarah melalui pergerakan, muzik dan penceritaan yang imersif diharap memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berhubung dengan akar budaya dan sejarah muzik Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita