BERITA+: Pemain penstriman online, masyarakat LARP SG semakin popular
SINGAPURA: Video yang dimuat naik pencipta kandungan TikTok Farah Nur Azra membuat suara watak kartun Jepun atau anime menjadi tular sehingga mendapat 1.8 juta tontonan.
Jumlah pengikut akaun TikTok Farah turut melonjak secara mendadak dengan lebih 200,000 pengikut baru dari Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Amerika Syarikat.
MINAT DALAM ANIME JEPUN BERPUTIK PADA USIA MUDA
Minatnya terhadap Anime Jepun bermula pada usia sepuluh tahun selepas diperkenalkan kepada siri Anime popular, 'Naruto'.
Dari situ, beliau juga mula meniru suara-suara watak anime.
Farah Nur Azra juga gemar melukis berkata beliau, lukisan dan animasi Jepun sangat menakjubkan dan unik.

'CHOA CHU KANG KILLJOY' TULAR DI MEDIA SOSIAL
Beliau kini memanfaatkan populariti dan pengaruh media sosialnya untuk permainan video penstriman Volarant.
"Saya sebenarnya suka 'gaming' itu sudah lama tetapi sejak saya gunakan TikTok untuk membuat suara watak-watak anime Jepun, saya pun rasa 'eh mungkin ia baik jika saya cuba 'livestreaming' juga untuk mencapai lebih ramai penonton dan peminat," kata Farah Nur Azra.

Dari situ beliau mendapat gelaran 'hijabi streamer' dan 'Chua Chu Kang KillJoy' dalam kalangan masyarakat anime dan permainan video di sini.
LATIH SUARA WATAK DENGAN MENONTON ANIME
Farah Azra turut mengongsikan beliau berlatih suara dengan sering menonton anime dan membuat cabaran duet dengan pembuat suara latar lain.
Selain menggunakan suara watak anime semasa sesi 'livestreaming' di Twitch TV, Farah Azra juga gemar bertutur dalam bahasa Jepun di luar media sosial.
Bahkan beliau juga sering mendapat permintaan daripada peminatnya untuk meniru suara pelbagai watak lain.

Meskipun bekerja sepenuh masa sebagai seorang pereka produk di sebuah syarikat swasta, beliau cuba untuk meluangkan masa untuk hobinya ini.
"Kalau saya tidak ada projek yang penting untuk dihabiskan, saya akan 'stream' hampir setiap hari. Jadi setiap Isnin sampai Jumaat selama dua jam," kongsi Farah Nur Azra.

Namun beliau akur, menjadi seorang pencipta kandungan online bukan sesuatu yang mudah.
Beliau pernah terkilan dengan komen-komen negatif yang pernah ditulis di ruangan komen akaun TikToknya.
"Komen yang sangat menyakiti hati saya, ada komen ini dia kata “awak sangat merinding, padamkan saja aplikasi TikTok" itu, Ada orang ini kata yang “ 'livestreamer' mesti tidak ada kerja lain, mesti cuma duduk rumah, lepak, main 'game', lepas itu minta duit, minta duit derma" kongsi beliau.
BERHABIS WANG KERANA COSPLAY
Selain gemar melukis watak-watak anime, Farah Azra juga 'menjiwai' watak-watak tersebut melalui 'cosplay'.
"Saya tidak tahu mengenai 'cosplay' sehingga saya berumur 16 tahun. Namun kerana agama, saya tidak boleh menggunakan rambut palsu. Ini berubah selepas saya terjumpa dengan seorang cosplayer yang memakai hijab, 'Sindi' yang membuat watak cosplay sendiri," kongsi Farah Azra.
Beliau pernah membelanjakan hampir S$150 dolar untuk membeli baju watak "KillJoy" dari permainan video kegemarannya, 'Valorant'.

BUKAN SEKADAR HOBI
Penstriman menjana pendapatan sampingan kira-kira $400 sebulan buat Farah Nur Azra.
Ia juga membuka peluang kolaborasi dengan syarikat-syarikat ternama seperti Razer dan Sony Production.
LIVE ACTION ROLE PLAY SINGAPORE
Berbeza dengan para penggiat 'cosplay' yang memainkan watak dalam anime, penggiat Live Action Role Play Singapore (LARP Singapore Community) pula mencipta watak mereka sendiri.
LARP sebenarnya bermula di luar negara pada tahun 1970-an dan semakin popular pada tahun 1980-an, terutamanya di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.

LARP SG mempunyai 200 anggota berbilang usia dan bangsa.
Para peserta mengenakan kostum dan cuba menghidupkan watak-watak mereka dalam dunia nyata sambil meniru persekitaran dunia fantasi.
"Dalam komuniti ini, kami mempunyai pelbagai aktiviti seperti berkhemah, mendaki, 'cosplay', 'role play' dan seperti sekarang, kami mengadakan ‘Sparring’. Untuk ‘sparring’ anggap ia sebagai pertempuran pedang dengan senjata 'latex' dan penjelasan peraturan yang mudah difahami. Kadang-kadang kami lakukan semua aktiviti itu dalam satu acara, kata Shafiq Rahman, 26 tahun.



SESUAI BUAT PELBAGAI LAPISAN USIA
LARP SG juga menekan keselamatan supaya setiap acara dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.
"Sesiapa sahaja boleh menyertai, namun mereka yang di bawah umur 16 tahun harus mendapatkan keizinan daripada ibu bapa dan berada dalam pemantauan ibu bapa mereka," kongsi Shafiq Rahman lagi.
Ahli termuda masyarakat ini, Hannah Gezali, 19 tahun turut teruja dapat 'bertempur' dengan ahli-ahli lain.
"LARP sememangnya memakan tenaga dan kadang kala ia boleh menjadi sedikit ganas tetapi dengan peraturan keselamatan yang ditetapkan, permainan kami selalu dikawal. Sebagai seorang gadis dan seorang ahli termuda dalam hobi ini, saya bersaing dengan ahli yang lebih berpengalaman dan cergas, kerap berlatih dengan mereka dan mendapatkan nasihat daripada mereka," kata beliau.
Ada pemain seperti Ilyas Suratmin yang cuba memainkan watak seorang pahlawan Melayu.


Semua kegiatan dibuka kepada sesiapa yang berusia 16 tahun dan ke atas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.