Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Pelbagai makna dan lambang di sebalik amalan sambutan Deepavali

Deepavali atau juga dikenali sebagai "Pesta Cahaya" ialah perayaan paling penting bagi penganut Hindu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Deepavali atau juga dikenali sebagai "Pesta Cahaya" ialah perayaan paling penting bagi penganut Hindu.

Setiap kali menjelangnya Deepavali, kawasan Little India pasti menjadi tumpuan.

Dari keperluan ibadah, hiasan hinggalah manisan - semuanya ada.

MAKNA DI SEBALIK MENGHIDANGKAN MANISAN

Antara kemestian pada waktu Deepavali adalah manisan-manisannya.

Laddoo, Halwa dan Gulab Jamun adalah antara puluhan jenis manisan yang dihidangkan pada Deepavali.

Bukan sahaja indah di mata, manis dirasa, sebenarnya ada makna di sebalik amalan menghidangkan manisan seperti itu.

Cik Indra Ramaiah seorang pembuat manisan-manisan tradisional India berkongsi pengertian dan lambang di sebalik amalan tersebut.

"Kebiasaannya makanan manisan selalunya menjadi pembuka untuk kaum India sebab ia membawa kegembiraan dan nilai positif dan kesejahteraan berpanjangan. Jadi pasal itu kita selalu gunakan makanan manisan sebagai pembuka upacara," kongsi Cik Indra.

Antara upacara yang dimaksudkan adalah upacara sembahyang bagi memperingati datuk dan nenek moyang yang sudah meninggal dunia.

Bagi upacara yang diadakan pada malam Deepavali itu, manisan biasanya disediakan berserta bunga malai, kelapa dan daun sirih.

"Selalunya kita minta restu daripada arwah ibu bapa kita atau nenek moyang kita dan saudara mara sebab restu daripada mereka penting sangat untuk memberi kemakmuran dalam kehidupan kita," ujar Cik Indra lagi.

UPACARA JALAN ATAS BARA API

Selain mengenang mereka yang telah pergi, penghargaan juga tidak dilupakan bagi insan-insan tersayang yang masih hidup.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, upacara berjalan atas bara api yang diadakan hujung minggu lalu di Kuil Sri Mariamman, diadakan pada skala lebih kecil.

Seramai 950 penganut Hindu yang mengambil bahagian dalam upacara itu perlu divaksin sepenuhnya atau menunjukkan hasil negatif Ujian Pra-Acara (PET) masing-masing.

Lebih 15,000 batang kayu digunakan bagi menyediakan bara api dan sebelum upacara itu, para peserta tidak boleh makan sebarang bahan daging dan perlu membersihkan diri.

Menurut seorang penganut Hindu yang mengambil bahagian dalam upacara itu, ia adalah caranya untuk menunjukkan penghargaan buat ibunya kerana telah menjaga anak-anaknya.

Jiwa dan tubuh badan yang suci juga penting bagi diri penganut Hindu untuk mencapai kemakmuran.

'MANDI MINYAK' PADA PAGI DEEPAVALI

Jika di India, para penganut akan berhijrah ke Sungai Ganges, di pelosok lain dunia pula, para penganut lazimnya mengamalkan 'mandi minyak' pada pagi Deepavali.

Ini dilakukan dengan menyapu minyak bijan di atas kepala dan badan sebagai lambang penyucian badan dan semangat.

Selepas itu, barulah mereka akan menyarungkan pakaian baru kerana memakai busana baru pada Deepavali adalah satu kewajipan bagi mereka.
Ini kerana pakaian baru melambangkan permulaan yang baru.

Bagi hiasan pula, hiasan ikonik iaitu Rangoli biasa disiapkan atau dipasang di depan pintu rumah para penganut Hindu.

LAMBANG BAGI WARNA-WARNA PADA RANGOLI

Rangoli dipercayai boleh membawa kesejahteraan, kekayaan dan kemakmuran bagi penghuni rumah.

Namun bentuknya kian berubah dan menurut para penjual di kawasan Little India, jenis yang diperbuat daripada bahan plastik lebih kerap digunakan kini.

Meskipun kini terdapat pelbagai jenis Rangoli moden yang tidak kurang menariknya, namun ada yang masih tetap melestarikan seni lukisan Rangoli tradisional meskipun ia boleh mengambil masa berjam-jam bagi menyiapkannya.

Cik Anuradha Viswanath dan rakannya Cik Chelvi Sarathi, antara yang masih menggunakan tepung beras untuk membuat hiasan Rangoli secara tradisional hingga ke hari ini.

Warna-warna pada tepung beras yang digunakan mereka itu juga dari pewarna-pewarna asli seperti kunyit dan kelopak-kelopak bunga.

Amalan menyediakan hiasan Rangoli ini juga dianggap sebagai waktu meluangkan masa bersama anggota keluarga seperti Cik Anuradha dan suaminya Encik Bala Visnawath.

"Kami menggunakan semua warna terang, Secara amnya, warna hijau melambangkan kemakmuran, warna putih bermakna keamanan, warna merah kadang-kadang melambangkan dewa. Apabila anda melihat Rangoli, anda patut berasa gembira," jelas Encik Bala, 61 tahun.

Menurut Encik Bala lagi, meskipun motif bunga lazim digunakan bagi hiasan Rangoli, corak lain termasuk merak juga dilukis.

Dari segi kepercayaan agama Hindu, Rangoli bukan sahaja membawa kesejahteraan dan menghiasi ruang kediaman, ia juga bertujuan sebagai makanan bagi burung dan serangga di sekitar rumah.

Malahan, para penganut Hindu percaya bahawa Rangoli dapat menghalang sebarang kemalangan daripada menimpa ahli keluarga mereka.

Oleh demikian, Rangoli selalunya disiapkan di luar rumah.

Meskipun proses menghasilkan Rangoli bukanlah mudah kerana memerlukan banyak kesabaran dan ketelitian, ia memberi satu kepuasan yang tidak ternilai apabila ia sudah terbentang indah.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan