Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Pelan Seni SG semarakkan lagi sektor seni, budaya dan warisan tempatan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA : Bermula tahun lalu (2023), satu pelan induk dilakarkan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) untuk menyemarakkan lagi sektor seni, budaya dan warisan tempatan bagi lima tahun akan datang

Ia merentasi pelbagai inisiatif seperti projek seni di ruang awam, membangunkan tenaga kerja seni yang berkemahiran, dan penggunaan teknologi yang meluas dalam tempoh lima tahun mendatang.

MENGHIDUPKAN RUANG AWAM & MELIBATKAN PENYERTAAN MASYARAKAT

Persis di tengah-tengah barisan rumah-rumah kedai di Upper Thomson Road yang bertentangan dengan kawasan perumahan Sin Ming, terdapat mural tangga yang pertama sepertinya di Singapura.

Lukisan menggunakan warna-warna ceria itu bukan sahaja menceriakan suasana kawasan yang sering digunakan penduduk dari Yew Lian Park yang terletak dari atas tangga; ia malah seolah sebuah kapsul masa yang merakam pelbagai mercu tanda yang wujud dalam kejiranan di sekitarnya.

Diberi nama 'Hidden Gem', ia hasil karya seniman visual Muhammad Izdi Nordin, bersama penduduk Yew Lian Park, di Upper Thomson Road.

"Setiap langkah merakamkan satu elemen sejarah daripada Yew Lian Park ini. Jadi ada gambaran tiket daripada panggung wayang lama 'Imperial', ada merakamkan reka bentuk rumah pertama di sini, binatang-binatang yang selalu berkeliaran di sini seperti monyet, burung-burung dan babi hutan, kerana lokasinya dekat dengan hutan simpanan dan kolam air tertua Singapura, MacRitchie," kongsi Encik Izdi kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Mural tangga itu dihasilkan di bawah daya usaha program 'Lively Places' sebuah inisiatif bersama Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) serta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Inisiatif selama tiga tahun itu menggalak dan menyokong masyarakat untuk sama-sama mewujudkan inisiatif dan projek seni, terutama di ruang-ruang seharian seperti estet perumahan dan kawasan ulang-alik, seperti pusat tukaran bas dan stesen-stesen MRT.

"Ia adalah satu peluang untuk mendedahkan bakat dan juga untuk menyumbang kepada masyarakat. Ia juga memberi peluang untuk memperkukuhkan ikatan sosial," tambah Encik Izdi.

Program yang dilancarkan pada 2016 itu sudah menyokong lebih 220 projek masyarakat di merata estet perumahan HDB dan akan diluaskan.

NAC akan menyuntik dana tambahan sebanyak S$5,000 kepada S$20,000 yang diperuntukkan sekarang bagi setiap projek.

RANGKA KERJA KEMAHIRAN SENI KINI SERTAKAN SENIMAN BEBAS

Program 'Lively Places' merupakan antara lapan usaha rangka kerja lima tahun Pelan Seni Singapura NAC untuk menyegarkan lagi sektor seni, budaya dan warisan tempatan.

Antara matlamatnya adalah untuk mematangkan industri kreatif dengan lebih banyak peluang pekerjaan dan tingkatkan kemahiran.
Pengurus Kanan, Pembangunan Pendidikan & Tenaga Kerja, NAC, Cik Irdawati Roslan menjelaskan, "Terdapat lebih 19,000 pekerja dalam sektor seni dan lebih daripada 30 peratus antara mereka adalah pekerja bebas. Fokus kami bagi rangka kerja kemahiran seni kali ini adalah untuk pendidikan seni dan juga teknikal serta produksi teater kerana di dalam sektor ini adalah di mana terdapat lebih banyak mereka yang bekerja secara bebas."

Segala peningkatan yang diharapkan itu akan dilakukan menerusi latihan kemahiran bagi lebih 40 bidang dalam semua aspek Pendidikan Seni, Teater dan Penerbitan yang dibangunkan bersama SkillsFuture Singapore, para penggiat seni, institusi-institusi pengajian tinggi dan rakan-rakan industri.

Antaranya, dengan menyenaraikan informasi mengenai sektor seni, pekerjaan-pekerjaan seni, skop pekerjaan dan juga laluan kerjaya dalam sektor seni.

"Lebih banyak peluang untuk mereka adakan latihan amali ataupun praktikal, latihan menerusi perantisan ataupun pementoran. Memberi lebih banyak sokongan latihan subsidi kepada mereka untuk menggalakkan mereka meningkatkan kemahiran," tambah Cik Irdawati.

Rangka kerja kemahiran seni ini boleh didapati di laman web NAC dan SkillsFuture Singapore.
Laman web NAC juga memaparkan maklumat tentang bagaimana seseorang yang baru saja tamat sekolah boleh menggunakan rangka kerja ini untuk menilai diri sendiri, untuk mendapat tahu apakah kemahiran yang perlu mereka ada bagi sesuatu peranan yang mereka minati.

Untuk tujuan ini, NAC bekerjasama dengan badan-badan seperti Akademi Esplanade dan juga Persatuan Jurulatih dan Tenaga Pengajar Kebangsaan (NICA) untuk memberi lebih banyak sokongan latihan bersubsidi kepada mereka untuk menggalakkan para pekerja seni meningkatkan kemahiran.

Dalam usaha NAC untuk menyediakan program-program latihan yang relevan buat sektor seni, ia juga bekerjasama dengan Backstage Affair untuk mengadakan 'The Backstage Affair’s Apprenticeship Programme' - sebuah program selama 12 bulan yang menawarkan pengalaman bekerja sambil belajar.

"Ia juga memberi contoh bagaimana seorang pekerja di pertengahan kerjayanya atau seorang yang mungkin sudah lama berkecimpung dalam bidang seni tetapi mungkin ingin cuba suatu peranan yang berbeza.

"Bagaimana beliau dapat menggunakan rangka kerja ini untuk meningkatkan kemahiran dalam peranan yang dia minati juga. Salah satu mesej utama di dalam Pelan Seni Singapura yang kedua ini adalah ekonomi kreatif. Jadi di bawah ekonomi kreatif adalah di mana NAC akan bekerjasama dengan industri kreatif secara lebih meluas lagi supaya kita dapat membuka lebih banyak peluang untuk penggiat seni," jelas Cik Irdawati.

FOKUS PADA TEKNOLOGI

Satu lagi yang disambut baik dalam Pelan Seni Singapura adalah sokongan bagi meneroka teknologi baharu.

Sepanjang sedekad, pengkaji seni tari, Dr Noramin Farid telah membangunkan teknologi yang diberi nama Verge, yang mengkaji pergerakan tarian yang digabungkan dengan teknologi interaktif.
"Verge 1.0, kita membuat satu alat di mana setiap pergerakan seseorang penari itu boleh memanipulasikan bunyi dan juga mengawal cahaya.

"Ini adalah satu cara di mana kita memberikan kuasa kepada sang penari untuk berkarya dengan elemen-elemen yang lain."

Kini, Verge 2.0 merupakan antara projek yang menyertai Performing Arts x Tech Lab 2023.

Ia menggalak para pengamal seni untuk meneroka kemungkinan memanfaatkan teknologi untuk mengubah dan memperkaya penciptaan artistik mereka.

"Saya memang sungguh ingin tahu tentang bagaimana teknologi boleh membantu seorang pengkarya seperti saya. Sebenarnya kalau kita lihat, dalam seni tradisi pun menggunakan teknologi. Kalau kita membuat tarian tentang tanaman, bagaimana kita menggunakan cangkul? Cangkul itu pun teknologi. Jadi ini bukan tentang tradisional menentang kontemporari, tetapi saya melihatnya sebagai satu sambungan, perluasan.. memikirkan, baiklah, ini ada teknologi moden. Kerana kita sudah ada semangat inovasi, bagaimana kita boleh menggunakannya?

"Bagi Verge 2.0 pula, kita percaya yang alat ini boleh kita mengemaskinikan lagi, kita memperbaiki lagi dan ingin melihat lebih mendalam bagaimana penari yang bukan dari tari tradisional Melayu, yang dari tari tradisional yang lain boleh juga menggunakan alat ini untuk karya mereka.Yang kedua juga, kita kali ini ingin menggunakan visual juga, bagaimana sang penari selain boleh mengawal bunyi, cahaya, boleh juga kawal visual atau gambaran, latar belakang," kata Dr Noramin.
Tambahnya ini adalah satu peluang untuk melihat bagaimana ia boleh digunakan sebagai alat pendidikan untuk seorang penari yang baru ingin memahami bagaimana untuk berkarya, tentang penggunaan cahaya, penggunaan bunyi atau muzik dan seterusnya.

"Jadi kita melihatnya sebagai satu cara di mana mereka dapat menggunakan alat ini untuk kenal tubuh mereka, untuk kenal elemen-elemen yang lain yang harus ada dalam satu pementasan dan juga tidak kekok untuk kenal pasti elemen-elemen yang ada ini," jelas Dr Noramin.

Satu lagi inisiatif yang dilancarkan di bawah Pelan Seni Singapura adalah wadah digital 'Catch' yang membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat dan membuat tempahan untuk menyaksikan acara-acara seni dan budaya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan