Skip to main content

Singapura

BERITA+: Pasangan muda hasilkan jenama wangian tempatan, angkat warisan Nusantara melalui deria bau

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Di sebalik setiap botol haruman Aroma Nostalgia, tersembunyi sebuah kisah.

Jenama wangian tempatan ini diusahakan oleh pasangan suami isteri muda yang bertujuan untuk melestarikan warisan Nusantara melalui deria bau.

Semuanya bermula pandemik lalu apabila Cik Norazika Nazri, 27 tahun, mencari pengubat rindunya kepada keluarga di kampungnya yang terletak di Tanjung Pinang, Indonesia.

" Sebenarnya impian untuk memulakan Aroma Nostalgia berputik sejak trend lilin beraroma melonjak semasa pandemik yang lalu.
 

Related article image
Cik Norazika Nazri bersama almarhum datuknya di kampungnya yang berada di Tanjung Pinang, Indonesia. (Gambar: Norazika Nazri)
Pada masa yang sama, keluarga kami di Singapura terpaksa berjauhan dari keluarga di Indonesia dan malangnya kami juga kehilangan datuk di kampung. Kehilangan itu memberi saya inspirasi untuk memulakan sesuatu yang dapat memperingatkan saya kepada datuk saya, " luahnya.

Minyak wangi seperti 'Ombak' dari koleksi minyak wangi pertama Aroma Nostalgia contohnya mempunyai unsur-unsur yang memperingatkannya kepada kampung halamannya yang berdiri di atas laut.
Related article image
Rumah perkampungan Cik Norazika di Tanjung Pinang. (Gambar: Norazika Nazri)
Bermula dari sebuah impian kecil, Norazika bersama suaminya, Encik Muhd Raihan Mohd Yatim Marican, 29 tahun, melangkah penuh tekad, menyulam usaha dan harapan menjadi satu realiti yang kini harum dikenang.

DARI SEBUAH IMPIAN KECIL, KINI BERKEMBANG KE RUANG SENDIRI

Pada Mac lalu, Aroma Nostalgia akhirnya memiliki bilik pameran sendiri di mana beberapa acara atau bengkel bagi para pencinta wangian dapat berkumpul.

"Permulaan perjalanan kami membuat perniagaan ini agak sukar kerana kami memulakannya dari rumah kerana kami masih lagi mempelajari cara-cara untuk membina perniagaan.

Setelah masa setahun atau setahun lebih baru kami lebih yakin untuk adakan bilik pameran kami sendiri, " kongsi Encik Raihan.

Sebelum ini mereka hanya dapat menganjurkan buat dua orang setiap sesi kerana ia diadakan di rumah mereka sendiri sejak Jun 2025 yang lalu.
Related article image
Bengkel membuat minyak wangi yang diadakan di bilik pameran Aroma Nostalgia. (Gambar: Norazika Nazri)
Kini dengan bilik pameran Aroma Nostalgia, mereka dapat adakan bengkel buat hingga 10 peserta setiap sesi.

ACARA TEMU 1: RUPA & RASA JADI RUANG PARA PENCINTA WANGIAN BERCERITA

Ruang ini juga turut dijadikan sebuah platform yang menyatukan para pencinta haruman secara percuma.

Melalui acara Temu 1: Rupa & Rasa, mereka dihimpunkan untuk berkongsi minat dan bertukar cerita mendalami keindahan dunia wangian dalam suasana yang penuh kebersamaan.

" Program ini memberi saya peluang untuk memahami seni penciptaan haruman dengan lebih mendalam sambil mengekspresikan diri melalui sesuatu yang sangat peribadi.
Related article image
Acara Temu 1: Rupa & Rasa yang diadakan secara percuma pada 17 Apr.
Tetapi, ia telah berkembang menjadi sesuatu acara komuniti di mana semua peserta turut menyumbang dalam membentuk pengalaman tersebut, " kongsi seorang peserta acara itu, Cik Norfarizan Safarin.

Dari sebuah impian sederhana, terdorong daripada rasa rindu terhadap kampung halaman, Aroma Nostalgia terus berkembang—mengharumkan bukan sahaja ruang tetapi juga setiap kenangan yang tercipta bersama.

Mereka juga bakal mengeluarkan koleksi baharu mereka 'Scented Fragments' pada Mei ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/SF
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita