BERITA+: Para peserta veteran tidak sabar untuk menari dan berbaris dalam NDP 2023
SINGAPURA: Gigih berlatih untuk memastikan gerakan mereka kemas dan seiring dengan rentak irama.
Itulah yang dilakukan Cik Norrizah Noordin, 63 tahun dan rakan-rakan penari Persatuan Rakyat (PA) yang lain.
Mereka semua bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik di acara Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos nanti.

Ia merupakan tahun ke-24 Cik Norrizah membuat persembahan di bawah payung PA.
"Saya mula menyertai NDP daripada anak saya yang (pada ketika itu) berumur tujuh tahun. Bila beliau pergi NDP, beliau gembira dan memberitahu saya, Mama mesti sertai NDP tahun depan," kongsi Cik Norrizah.
"Jadi daripada situ, saya ikut serta sampai sekarang. Tetapi bila umur anak saya sudah meningkat usia bekerja, beliau sudah tidak ingin masuk tetapi sampai sekarang saya teruskan NDP" tambah beliau.
TETAP BERSEMANGAT DAN HARGAI PENGALAMAN DI PENTAS NDP

Meskipun sudah lama melibatkan diri, Cik Norrizah tetap bersemangat dan menghargai pengalaman di atas pentas NDP.
Lebih manis juga kerana dapat menghiburkan para penonton bersama teman-teman lama dan juga yang baru.
"Memang saya jumpa ramai orang daripada kaum lain seperti kaum Cina, Melayu, India. Semuanya berbilang kaum kita," ujar Cik Norrizah.
"Hari-hari ketawa sahaja, bergembira. Kami kongsi makanan bersama satu sama lain. Lepas itu bila ingin pulang, kita katakan jangan pulang dahulu. Kita makan tempat lain. Itu yang buat kita gembira dan seronok," tambahnya.
Pelbagai jenis tarian tradisional telah beliau dipelajari sejak menyertai NDP.

Menurut CIk Norrizah, beliau ghairah setiap kali membuat persembahan di NDP.
Beliau mengakui berasa terkesan dan kekosongan apabila tidak dapat menari pada 2020 semasa kemuncak pandemik COVID-19.
"2020 memang semua tutup. Sedih sebab selalu teringat-teringat NDP.. Kalau tidak (kerana COVID-19), kita di Padang," luah Cik Norrizah.
Namun rasa rindu untuk menari dalam NDP terubat jua setahun kemudian meskipun dilakukan secara virtual melalui rakaman video dari rumah.
TIGA BERANAK WAKILI KONTINJEN NTUC

Cik Siti Sa’diah Kemat, 62 tahun dan suaminya Johari Arwee, 64 tahun, juga tidak sabar untuk menyertai acara perbarisan kali ini.
Pengalaman tahun ini akan lebih manis bagi pasangan yang sudah lebih 10 tahun mewakili kontinjen Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Pada tahun ini, mereka akan berbaris bersama anak sulung mereka Mohammad Sha’ari, 38 tahun.
Tiga beranak itu mula berlatih seminggu sekali sejak April lalu.
"Teruja sebab dapat berbaris dengan ibu bapa saya. Rasa berbangga juga, sebab mereka sudah lebih 10 tahun berbaris untuk Hari Kebangsaan dan pada usia mereka sekarang ini, mereka masih kuat untuk berdiri begitu lama dan masih ada semangat," kongsi Encik Sha'ari..
BANGGA DAPAT SUMBANG KEPADA NEGARA,

Pada tahun ini, anak beranak itu akan berbaris di hadapan depan 27,000 penonton.
"Bangga dan juga ada sedikit gemuruh. Bangga sebab kita sebagai rakyat Singapura, ini salah satu di antaranya kita berbakti kepada negara. Memandangkan Perkhidmatan Negara (NS) untuk lelaki, jadi ini kita yang perempuan boleh lakukan iaitu berbaris.
"Dan gemuruh sebab takut kita buat salah dan penonton akan dapat lihat langkah kita yang salah itu," kata Cik Sa'adiah.
Cik Sa'diah yang sudah terlibat dalam NDP sejak 2004 berkata beliau seronok dapat berbaris bersama teman-teman yang sudah beliau anggap sebagai keluarga.

"Pada masa itu (anggota) kontinjen semua perempuan. Jadi daripada waktu itu sampai sekarang" kongsi beliau.
"Selain minat, ini juga salah satu cara untuk kita memberi sumbangan kepada Singapura. Itu yang membuatkan saya lagi bersemangat," tambahnya.
LIHAT ISTERI BERBARIS, ENCIK JOHARI TURUT TERGERAK HATI UNTUK TURUT SERTA

Semangat itu jugalah yang membuat Encik Johari teruja untuk mengambil bahagian.
"Saya lihat isteri saya menyertai NDP jadi saya dapat melihat beliau berbaris. Dalam diri saya, kenapa saya tidak boleh berbaris sedangkan isteri saya sudah boleh berbaris? Saya cuba untuk lebih bersemangat untuk berbaris," ujar Encik Johari, yang sudah 14 tahun terlibat dalam NDP.
Baginya, ia satu peluang yang baik untuk bertemu dengan rakan-rakan lama serta berkenalan dengan mereka daripada kontinjen-kontinjen lain.
IBU BAPA BERI NASIHAT KEPADA ANAK SULUNG YANG PERTAMA KALI AMBIL BAHAGIAN UNTUK NDP
Encik Sha’ari yang bertugas sebagai pegawai teknikal di SP Group perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang adakalanya mencabar.
Ini bagaimanapun dapat beliau atasi dengan nasihat oleh ibu bapanya.
"Apabila berdiri lama, perlu gerakkan jari kaki agar darah dapat bergerak di dalam dan juga minum lebih banyak air putih sebab panas," kongsi Encik Sha'ari.
"Jangan fikir panas. Hanya memandang ke hadapan, menarik nafas yang dalam dan mengeluarkan nafas, dan fikir yang positif sahaja," tambahnya.
Encik Johari berharap cucu-cucunya akan turut berminat untuk turut sama berbaris dalam NDP agar tradisi keluarga itu dapat diteruskan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.