Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Pantang larang orang tua. Nasihat atau mengarut?

“Jangan potong kuku pada waktu malam, kerana ia bagai memanggil hantu”.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: “Jangan potong kuku pada waktu malam, kerana ia bagai memanggil hantu”.

Namun, bagi anak-anak Melayu zaman sekarang, mereka mungkin tidak pernah mendengarnya atau menganggapnya sebagai karut.

Itulah yang dialami pendidik teater tempatan Encik Adi Jamaludin.

"Anak saudara saya bertanya, “Pak Long, Pak Long, kenapa Nenek dengan Atuk berbual mengenai perkara bohong, perkara karut-marut?

“Nenek dengan Atuk selalu berkata, "Kalau hendak bermain di taman permainan, tidak boleh pada waktu Maghrib, sebab nanti diculik hantu. Macam tidak logik sahaja!"

"Lama-kelamaan, anak-anak saudara saya pun sudah tidak mahu mendengar kata Atuk dan Nenek mereka. Dan selepas itu, ikatan kekeluargaan itu macam renggang," kongsi beliau.

Namun pantang larang digunakan orang tua-tua bukan sekadar untuk menakut-nakutkan.

Di sebaliknya, terselindung nilai-nilai yang boleh diamalkan masyarakat khususnya generasi muda dalam kehidupan seharian mereka.

Itulah yang cuba ditonjolkan encik Adi dalam pementasan teater untuk kanak-kanak, berjudul 'Kata Orang Tua-Tua' di Play Den, The Arts House pada Ogos lalu.

Menurutnya kata-kata orang tua yang diluahkan adalah berunsur nasihat dan diberikan atas dasar kasih sayang.

Lantaran itu pementasan 'Kata Orang Tua-Tua' meneroka pentingnya ikatan keluarga dan rasional di sebalik pantang-larang atau kata-kata orang tua.

"Supaya mereka tahu, sebab kata orang tua-tua ini wujudnya kerana orang tua-tua dahulu hendak mencegah anak-cucu mereka daripada membuat sesuatu yang boleh membahayakan diri mereka," kata beliau

Menjadi amalan Encik Adi selepas persembahan untuk berbual dengan murid-murid sekolah yang datang menonton, untuk mendapatkan maklum-balas.

"Mereka pun berkata, “Sekarang kita tahu, sebab Atuk dan Nenek sayang kita orang.”

Kira-kira 400 kanak-kanak menyaksikan lima pementasan yang dipersembahkan selama dua hari.

Manfaatnya turut dirasakan pelakon termuda dalam pementasan itu Nurul Jannah Jamaludin.

"Ada, memang ada pengajarannya. Dialog saya sendiri, tentang jangan menyanyi sambil memasak di dapur itu. Sebab bila kita khayal-khayal menyanyi itu, bukan sebab nanti kena kahwin dengan orang tua, tetapi kalau kita khayal memasak, mungkin kita tidak tahu nanti dapur itu terlebih berasap. Kita sendiri pun akan terkejut dan akan membahayakan diri kita," kata beliau

Meskipun ia menerapkan banyak unsur kasih sayang, ungkapan-ungkapan sedemikian boleh juga disalahertikan.

"Negatifnya sebab mungkin ia menakut-nakutkan budak itu. Budak itu tidak akan berani mencuba, membuat sesuatu untuk mereka mengembara ataupun memahami sesuatu situasi. Biarkan perkara itu berlaku pada mereka. Kalau tidak, mereka tidak dapat hendak belajar ataupun faham kenapa kena begini, kenapa tidak boleh begitu," jelas beliau.

PEMENTASAN 'KATA ORANG TUA-TUA' DIHARAP DAPAT PUPUK PEMAHAMAN, GALAK PERBINCANGAN

(Gambar: ADI Concept)

Encik Adi berharap pementasan seperti ini akan dapat meningkatkan pemahaman serta menggalak perbincangan di antara generasi.

Menurutnya, "Cerita-cerita lama ini banyak mengandungi unsur-unsur moral yang baik. Jadi, kita sepatutnya ingat kembali dan memberi nafas baru supaya generasi muda mendapat pendedahan kepada cerita-cerita ini. Dan sekali gus, mereka juga dapat tahu cerita-cerita ini masih relevan dalam konteks hari ini."

Sebelum ini Encik Adi pernah mementaskan cerita lama seperti "Bawang Puteh, Bawang Merah" (2015) dan kisah "Si Tanggang" (2014).

Sumber : BERITA Mediacorp/RL
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan