Skip to main content

Singapura

Berita palsu, penipuan & pandangan pelampau: Haruskah kita prihatin terhadap kegiatan online orang tua kita?

Apa yang akan anda lakukan apabila seorang anggota keluarga lanjut usia mengongsikan berita palsu dengan anda atau apabila anda mendapat tahu mereka menerima maklumat terkini daripada sumber-sumber yang meragukan?

Anggaran Waktu Membaca:
Berita palsu, penipuan & pandangan pelampau: Haruskah kita prihatin terhadap kegiatan online orang tua kita?

Seorang warga tua sedang menggunakan telefon bimbit. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 01:56PM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 01:59PM

SINGAPURA: Apa yang akan anda lakukan apabila seorang anggota keluarga lanjut usia mengongsikan berita palsu dengan anda atau apabila anda mendapat tahu mereka menerima maklumat terkini daripada sumber-sumber yang meragukan?

Menyedari bahawa mereka mungkin tidak celik Internet seperti anda, bagaimana pula anda memastikan mereka tidak terpedaya dengan penipuan atau membeli produk palsu?

Sarah (bukan nama sebenar) mendapat tahu bapanya membuat komen-komen xenofobia, berbaur perkauman dan bersemangat nasionalisme di Facebook. Selepas melihat notifikasi di telefon bimbit bapanya, beliau juga mendapati bapanya mengikuti laman-laman sangat konservatif dan lelaman berita.

Wanita berusia 26 tahun itu mendaftar masuk ke dalam akaun bapanya dan mengikuti lebih banyak laman lebih progresif untuk menjadikan paparan berita di Facebooknya lebih seimbang.

Bapanya juga membeli barangan online daripada iklan-iklan yang ditaja di Facebook tanpa menyelidik terlebih dahulu tentang produk berkenaan dan sering kali mengongsikan berita palsu kepada keluarganya. Beliau meluangkan masa sekitar satu hingga tiga jam di wadah media sosial itu setiap hari.

“Saya tidak rasa beliau mempunyai keupayaan untuk menyelidik dan memeriksa fakta. Oleh itu, satu-satunya alternatif adalah untuk percaya bulat-bulat apa yang dibacanya secara online," kata Cik Sarah.

Sewaktu membesar, golongan milenial seperti Cik Sarah kerap diberi amaran tentang bahaya Internet.

“Berhati-hati tentang apa yang anda tekan. Jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Anda tidak tahu apa yang berlaku di luar sana", kata ibu bapa mereka ketika itu.

Namun sebaliknya kini, golongan yang membesar dengan akses kepada Internet dan wadah media sosial pula yang lebih prihatin terhadap apa yang dijumpai ibu bapa mereka ketika melungsuri online - berita palsu, pandangan pelampau, penipuan online dan tawaran yang tidak masuk akal.

BERITA PALSU

Satu kajian oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) tahun lalu mendapati lebih dua pertiga rakyat Singapura tidak boleh membezakan antara berita sahih dengan berita palsu, terutama golongan warga tua dan mereka yang tinggal di flat-flat awam lebih kecil.

Para penulis kajian itu mewawancara 2,011 responden, yang ditunjukkan rencana berita yang dimanipulasi dan mereka diminta untuk menentukan kesahihannya.

Hanya 32.5 peratus responden dapat mengatakan dengan tepat bahawa rencana itu tidak boleh dipercayai bulat-bulat.

Dalam kajian itu, responden dibahagikan kepada empat kumpulan - terlepas dari maklumat, terlalu yakin dengan maklumat, kurang yakin pada maklumat dan memahami maklumat.

Kumpulan pertama, yang mempunyai penggunaan dan kepercayaan paling rendah terhadap media dan kadar pengesahan berat sebelah adalah kedua terbesar, mempunyai jumlah paling ramai warga tua. Daripada kumpulan ini, 73.1 peratus percaya pada rencana yang dimanipulasikan itu.

Para pakar yang diwawancara Mediacorp bersetuju bahawa generasi lebih tua nampaknya mempunyai masalah untuk mengesahkan maklumat online.

Ini mungkin kerana generasi lebih tua lebih mudah percaya secara amnya manakala generasi lebih muda lebih sangsi, kata Profesor Madya Edson Tandoc Jr dari Sekolah Perhubungan dan Penerangan Wee Kim Wee, Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

“Satu perkara menarik yang kami dapati adalah mereka yang tidak percaya pada media tradisional juga berkemungkinan besar akan mempercayai berita palsu... Jika anda lihat profil mereka yang tidak mempercayai media tradisional, ia lazimnya warga tua," tambah beliau.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna warga lebih muda yang celik digital tidak mudah terpedaya dengan berita palsu.

"Saya rasa kadangkala (kita) terlalu yakin dengan kemahiran kita... Pada asasnya apabila kita membandingkan persepsi kita mengenai kemampuan kita untuk mengesan berita palsu dengan kemampuan sebenar kita, kadang-kadang terdapat ketidakpadanan di mana sebilangan orang memandang tinggi terhadap kemampuan mereka untuk melindungi diri daripada kepalsuan", jelas Prof Madya Tandoc.

Beliau menambah orang lebih tua lebih terdedah kepada masalah seumpama itu kerana kurang kemahiran teknikal.

Rangkaian sosial mereka juga lebih kecil dan kurang rencam dari segi pandangan serta kepakaran, kata Profesor Lim Sun Sun, yang mengajar media dan perhubungan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Related article image
Seorang warga tua di Singapura mempelajari cara bagaimana untuk menggunakan telefon bijak. (Gambar: Silver I.T. Fest/Facebook)

Warga tua yang tinggal dengan anggota keluarga lebih muda mempunyai akses kepada "pakar" yang boleh membantu mengesahkan maklumat, kata beliau.

Ini tidak berlaku bagi mereka yang tinggal sendirian dan terutama mereka yang tidak mempunyai banyak rangkaian sosial, kata Prof Lim. Ini adalah "halangan yang paling dasar" bagi pembelajaran mereka mengenai platform media sosial, Internet dan amalan terbaik dalam talian, tambahnya.

Dalam satu tinjauan 2020, Agensi Keselamatan Siber (CSA) mendapati warga tua, atau mereka yang berumur 55 tahun dan ke atas, secara amnya mempunyai tahap kesedaran lebih rendah dan kurang mengamalkan amalan siber yang baik seperti mempunyai kata laluan yang kukuh selain pengesahan dua faktor.

Ia meninjau 1,052 rakyat dan penduduk tetap Singapura (PR) berusia 15 tahun dan ke atas mengenai sikap dan tingkah laku mereka terhadap amalan serta insiden keselamatan siber.

Walaupun kesedaran keseluruhan tentang pemancingan data meningkat, sekitar sepertiga responden berusia 55 tahun dan ke atas tidak sedar apa itu pemancingan data, menurut agensi tersebut.

Dalam kalangan warga tua, mereka amat bergantung kepada rakan-rakan atau kumpulan-kumpulan sebagai cara untuk mengesahkan sesuatu maklumat, kata Prof Madya Tandoc.

Orang lebih muda akan mengesahkan maklumat dengan mencarinya melalui Google dan membaca rencana media tradisional namun, warga tua akan memeriksa dengan rakan-rakan atau anggota keluarga tentang sama ada sesuatu maklumat itu benar, tambah beliau.

Kebergantungan kepada kumpulan kawan dan rangkaian sosial inilah yang meningkatkan pendedahan golongan warga tua kepada berita palsu, jelas Prof Madya Tandoc.

Maklumat palsu berkaitan pandemik COVID-19 juga satu punca keprihatinan. Satu tinjauan pada 2020 oleh Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) mendapati 60 peratus rakyat Singapura menerima berita palsu tentang COVID-19 di media sosial, menurut Majlis Celik Media.

Dengan lebih ramai orang meluangkan masa di rumah dan secara online di tengah-tengah pandemik, pendedahan mereka kepada risiko online semakin meningkat, menurut majlis itu ketika menjawab pertanyaan Mediacorp.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN?

Related article image
Duta SG Digital membantu warga tua dengan telefon bimbit mereka. (Gambar: Grace Yeoh)

Program Keselamatan Siber Warga Emas SG dilancarkan pada Jun lalu dengan tujuan untuk menjangkaui 50,000 warga tua dari 2021 hingga 2023 untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai keselamatan siber selain menggalakkan amalan-amalan siber yang baik, menurut CSA dalam kenyataannya.

Program itu masih lagi di peringkat awal namun CSA sudahpun "menyaksikan maklum balas positif" berhubung kempen tersebut. Agensi itu tidak memberikan perangkaan mengenai kadar pengambilan program berkenaan.

Sejak 2013, Majlis Celik Media sudahpun menerbitkan sumber-sumber seperti video dan lembaran maklumat untuk "memberi panduan" mengenai isu-isu seperti penipuan online, perlindungan data, jejak digital, mengongsi kandungan secara bertanggungjawab serta mengenal pasti maklumat palsu.

Ia juga bekerjasama dengan Pejabat Digital Singapura (SDO) di bawah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk menyebarkan panduan dan sumber kepada warga emas.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita