Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Nilai tambah prasekolah privet kepada sektor pendidikan awal kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Kemahiran hidup, emosi dan sosial penting dalam pembangunan awal kanak-kanak.

Inilah pendekatan yang diambil oleh beberapa prasekolah privet untuk menawarkan pendidikan menyeluruh.

Ia memberi nilai tambah kepada sektor pendidikan awal kanak-kanak tempatan.

Di Enfant Educare, tumpuan untuk memberi kanak-kanak peluang membesar secara menyeluruh melibatkan seluruh tenaga pengajarnya.

"Kami mengambil berat, memberi mereka pengalaman secara fizikal dan 'hands-on learning'. Kami juga mengambil berat tentang mutu guru-guru kami termasuk guru pembantu. Sifat kerja secara berpasukan adalah sesuatu yang kami tetap terapkan dalam guru-guru kami dan juga para pembantu di sekolah," kata Cik Nurliza Mohd Shah, Ketua Pusat Enfant Educare.

Dedikasi yang ditunjukkan para pendidik mendorong pasangan ibu bapa, Encik Mohd Fares Mohd Zyainal dan Cik Sarifah Samat untuk menghantar empat anak mereka ke prasekolah itu.

"Sekolah ini mendisiplinkan anak-anak dengan program yang sistematik dan cikgu-cikgu di sekolah ini sering bekerjasama dengan ibu bapa," kata Encik Mohd Fares.

BELAJAR MELALUI BERMAIN

Di sebuah lagi prasekolah privet, Shaws Preschool, cara mempersiapkan kanak-kanak untuk kehidupan sedang mereka meningkat usia dilakukan menerusi kegiatan bermain.

"Di Shaws kami berpegang kuat pada pendapat bahawa cara yang paling berkesan adalah menerusi permainan supaya kanak-kanak akan dapat menimba ilmu sama ada ilmu pengetahuan ataupun kemahiran dalam mata pelajaran dan juga kecenderungan dan nilai yang baik," kata Cik Imeelia Ismail-Tan, Ketua Shaws Preschool.

Kurikulum Shaws menekankan bahawa kanak-kanak yang kerap bermain dalam proses pembesaran mereka akan menjadi lebih pintar.
Mereka juga lebih berkeyakinan dan bermotivasi dan ini adalah ciri-ciri yang dapat menyiapkan mereka untuk kehidupan masa depan.

Lantaran itu, kaedah pengajaran di sini dicipta menggunakan pelbagai jenis permainan yang berbentuk fizikal, membina dan melatih deria.

PEMBELAJARAN DI DALAM DAN LUAR BILIK DARJAH

Sungguhpun begitu kegiatan bermain tetap diseimbangkan dengan pembelajaran di dalam kelas yang menyiapkan kanak-kanak untuk pendidikan di sekolah rendah.

Ini termasuk bidang-bidang pembelajaran bahasa dan kegiatan membaca, matematik dan juga memahami dan menghargai dunia sekeliling.

Terdapat juga program pembangunan yang memupuk sikap ingin tahu murid-murid.

Sesuatu yang diterapkan di kedua-dua prasekolah privet.

"Pelajaran dan aktiviti akan dirancang untuk menarik minat kanak-kanak dan mengembangkan potensi mereka melalui pelajaran interaktif berdasarkan minat mereka. Kami juga memupuk mereka dalam suasana yang mengarahkan rasa ingin tahu dan membangunkan pemikiran kritikal. Bagi saya, saya selalu mengadakan sesi tunjuk dan kongsi dan berkongsi isu semasa melalui akhbar atau berita online," kata Cik Noor Aidha Ahmad, Pendidik Kanan Enfant Educare.

KESESUAIAN SEKITARAN SEKOLAH

Di kedua-dua prasekolah, kemahiran hidup menerusi pengalaman sebenar dalam sekitaran pendidikan di dalam dan luar bilik darjah dititik beratkan.

Namun selain kurikulum, banyak lagi yang perlu dipertimbangkan oleh ibu bapa sebelum memilih prasekolah paling sesuai untuk anak mereka.

"Di Singapura terdapat banyak jenis prasekolah walaupun ada garis panduan oleh kementerian, tiap-tiap tadika atau tajaka mempunyai ciri-ciri tersendiri. Ibu bapa harus bertanya pertama sekali adakah sekolah itu sesuai dengan gaya pembelajaran anak mereka. Adakah falsafah, ataupun etos sekolah itu sejajar dengan matlamat yang mereka inginkan untuk anak mereka," jelas Cik Imeelia.

Selain itu para ibu bapa amat digalakkan membawa anak mereka untuk melawat sesebuah sekolah.

Ini agar mereka dapat melihat sama ada anak mereka berasa selesa dengan guru-guru dan persekitaran di sekolah itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan