Skip to main content

Singapura

BERITA+ NDP SG60: Pentas Gergasi, Persembahan Silang Generasi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Aug 2025 09:54PM Dikemas Kini : 02 Aug 2025 09:56PM
SINGAPURA: Di setiap perayaan ulang tahun negara 9 Ogos, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) menjadi acara yang paling ditonton.

Dan segmen pertunjukan NDP antara yang paling mendapat perhatian, dengan persembahan yang direka khas dan menonjolkan pelbagai hiburan dan penceritaan yang memukau perhatian penonton.

Apa lagi bila ia disajikan khusus untuk Jubli Intan Singapura tahun ini.

Namun, SG60 mahupun tidak, segmen pertunjukan NDP menjadi wadah mengasah dan menonjolkan bakat kepada seramai 27,000 penonton di Padang dan mungkin jutaan yang menonton di rumah dan alam maya.

Berita+ meninjau sambil mengetengahkan antara tarikan yang mesti ditonton pada 9 Ogos nanti.

PENTAS IMPIAN NDP: PELUANG EMAS UNTUK BAKAT MUDA SG

Sejak Februari lagi, kumpulan anggota koir dan penari dari Sekolah Menengah Greendale berhimpun setiap Sabtu bagi latihan NDP. Namun bagi sebahagian mereka, seperti Mira, pelajar menengah dua, segala susah-payah bukan setakat kegiatan ko-kurikular (CCA) sekolah. Ia umpama latihan yang boleh membawanya selangkah lebih dekat kepada cita-citanya.

"Bapa saya sebenarnya juga seorang penyanyi dari kumpulan Konspirazy dan dari kecil saya minat untuk menjadi seorang penyanyi. Saya juga memegang peranan ketua seksyen dalam koir dan saya sangat seronok untuk menyertai NDP," ujar Mira Khalisha Araffat, Anggota kumpulan Koir Sekolah Menengah Greendale.
Related article image
(Depan, dari kanan) Mira Khalisha dan Syafiqah Amelia di sebelahnya: dua peserta persembahan kali pertama dari Sekolah Menengah Greendale, teruja dapat menyumbang kepada perayaan SG60 NDP. (Gambar: Roslinda Rahmat)

Mira dan lebih 100 rakan pelajar dari Sekolah Menengah Greendale menyertai Koir Gabungan NDP.

"Saya sangat menghargai erti perpaduan dan semangat orang lain sebab kita semua dari latar belakang yang berlainan. Dan saya sangat bersyukur untuk berbual dengan orang lain," tambahnya.

Seorang lagi, pelajar Menengah 3 Greendale, Syafiqah Amelia Mohamad Anuar, dari CCA Tari yang membuat persembahan bersama kumpulan koir pula berkongsi, "Ini adalah kali pertama saya mengambil bahagian. SG60 - saya berasa sangat bangga dan gembira untuk diberi peluang untuk menyertai acara sebesar seperti ini. Tahun ini istimewa dan saya dapat membuat persembahan di depan warga Singapura dengan rakan-rakan saya".

Lagu tempatan berentak perlahan, berjudul ‘I Will Walk With You’, dipersembahkan dalam Babak Persembahan Kedua NDP, menggalakkan penonton untuk merenung harapan dan impian peribadi masing-masing, lantas menyentuh hati kedua-dua pelajar.

"Langkah-langkah yang saya suka adalah daripada lagu “I Will Walk with You”, kerana lagunya ada banyak emosi dan liriknya memberi semangat kepada para penari. Ia menunjukkan saya semangat cinta negara dan mengajar saya disiplin, bekerjasama dan menjadi rakyat Singapura. Saya harap persembahan kami dapat membanggakan sekolah saya dan ibu bapa saya dapat lihat saya di televisyen. Selain itu, saya harap kami dapat menyentuh hati rakyat Singapura," luah Syafiqah, penuh harap.

"Saya sangat suka seni katanya dan ia sangat bermakna. Iramanya juga sangat perlahan dan juga menenangkan saya," celah Mira pula.

Begitu juga dengan seorang pelajar diploma muzik LaSalle. Walaupun bukan pertama kali mengambil bahagian, ini kali pertama penyanyi dan penggubah berusia 19 tahun itu menyanyi solo di NDP.

Menurut Heema Izzati,
"Saya merasa amat teruja dapat mempersembahkan lagu “Room at the table” oleh Charlie Lim. Lagu ini amat bermakna dan saya harap saya boleh memberi inspirasi kepada ramai belia untuk mencapai impian mereka.

Related article image
Heema Izzati mentanyikan tiga buah lagu termasuk lagu solo yang dinyanyikannya buat pertama kali di pentas NDP. (Gambar: Roslinda Rahmat)
"Dr Sydney Tan, Pengarah muzik NDP tahun ini memberi saya peluang ini. Sebenarnya ini adalah kali ketiga Heema membuat persembahan untuk Hari Kebangsaan. Harap persembahan ini akan membuat orang lebih ingin tahu tentang diri saya sebagai seorang artis baru. Baru-baru ini saya mengeluarkan beberapa lagu 'original'. Lebih penting daripada itu, saya harap rakyat Singapura akan betul-betul mendengar liriknya, 'I’ll be Living for the day where our differences make us whole.' - Ertinya, 'Saya menantikan sebuah Singapura yang bersatu padu'. "

Dilahirkan dalam keluarga yang menceburi muzik, Heema mula bermain piano sejar umur tiga tahun, belajar bermain cello pada umur enam tahun dan gitar pada umur 16 tahun.

Persembahan awam pertamanya adalah ketika berusia empat tahun dan sejak itu Heema Izzati tidak pernah berhenti. Beliau pernah bekerjasama dengan JJ Lin, Stephanie Sun, Dick Lee, Jacintha Abisheganaden dan ramai artis tersohor lain. Heema juga pernah membuat persembahan di banyak pentas bertaraf dunia seperti Teater Resorts World Sentosa, Teater MBS, Dewan Konsert Esplanade dan banyak lagi.

Sebagai artis muda, Heema memuat naik video-video pengalamannya di media sosial.

"Kerana saya tahu platform ini semakin besar, saya mahu memberi inspirasi kepada para belia Singapura untuk mencuba. Dan saya mahu membawa mereka ke latihan-latihan saya untuk NDP. Diberi platform sebesar ini, saya harap dapat berkongsi kepentingan dan keterangkuman kepada khalayak ramai. Saya sebagai seorang remaja yang membesar di Singapura, harap lebih ramai belia akan merebut peluang untuk menyebarkan impian mereka untuk Singapura juga," tambah Heema.

Daripada tiga persembahannya, yang terakhir paling menyentap naluri.

"Amat bertuah dapat diberi peluang untuk memulakan lagu kebangsaan adalah tanggungjawab yang amat besar dan penting. Walaupun saya rasa sedikit gementar, apabila saya di atas pentas dan saya boleh rasa tenaga dari rakyat Singapura. Saya rasa amat bertenaga dan teruja," ujar Heema.

Mengimbau bagaimana beliau membuat beberapa kenalan baharu semasa latihan NDP, Heema tidak dapat mengelak rasa geli hatinya mengenang salah satu sesi latihan NDP yang tidak dapat dilupakannya, "Satu insiden yang mencuit hati adalah kali pertama Heema dapat memakai kostum untuk Babak Kedua. Ada ramai pelajar di kalangan penonton yang memekik 'Elsa, Elsa!' kerana baju saya berwarna biru. Dan rambut saya juga biru."

Penonton di Padang boleh menantikan satu pengalaman yang mengasyikkan dengan pentas tengah 360 darjah yang direka khas — pentas mudah alih terbesar dalam sejarah NDP. Ia berukuran diameter sepanjang 15 meter dan tiga aras yang menjulang setinggi tujuh meter, pentas ini membawa para penghibur lebih dekat kepada penonton, sekali gus mentakrifkan semula hubungan tradisional antara penonton dan penghibur.

Pentas-pentas tambahan yang terletak di sekeliling serta skrin LED turut mengelilingi kawasan persembahan, menjadikan persembahan dan visual lebih dekat kepada penonton berbanding sebelum ini.

DARI PADANG KE MARINA BAY – PERSEMBAHAN SG60 MENYATUKAN RAKYAT

Buat pertama kalinya, pertunjukan secara langsung akan diadakan di atas kanvas yang diperluas - dari Padang hingga ke Marina Bay - bagi membolehkan lebih ramai rakyat Singapura turut serta dalam sambutan Hari Kebangsaan.

Pertunjukan di Marina Bay, yang merangkumi perarakan bot berhias di atas air, persembahan di pentas terapung mudah alih yang baharu, serta pencahayaan langit bandar melalui bunga api dan pancaran cahaya, akan diselaraskan dengan pertunjukan langsung di Padang. Ini akan mewujudkan pengalaman yang mengasyikkan bagi para penonton secara langsung di Padang dan Promontory, mahupun penonton di rumah.

Segmen Pertunjukan NDP SG60 menampilkan 39 artis dan lebih 3,000 peserta.

Penghormatan diberikan kepada biduanita Rahimah Rahim yang dipadukan dalam persembahan silang-generasi bersama penyanyi lagu tema NDP tahun lalu, Benjamin Kheng.

Ben dan 12 penari beraksi di pentas terapung mudah alih NDP yang pertama seumpamanya di Marina Bay.

Pentas terapung berukuran 9 meter itu seberat 4.5 tan dan dipasang pada Kapal Utiliti Kenderaan Pantas Tentera Laut Republik Singapura (FCU) sepanjang 22 meter.

Pada masa yang sama, Rahimah berada di Padang dan dijulang ke puncak pentas mudah-alih yang menyerupai kek harijadi negara setinggi tiga tingkat.

"Paling mencabar, dengan usia saya yang begini, bukan? Pada awalnya saya menggeletar. Tetapi, bila saya pergi latihan, itu yang membuat kita boleh stabil apabila berdiri. Jadi, bila saya masuk mahu nyanyi kan, anda nampak pentas itu naik satu tingkat. Apabila saya menyanyi, ia naik lagi satu tingkat! Sewaktu hendak menyanyi itu, saya nampak di skrin, Ben di perairan Marina Bay, bukan? Tetapi penggambarannya hebat! Mereka satukan visual langsung saya dan Ben, cantik, pada permukaan bangunan pula. Terkejut saya!" akui biduanita Rahimah.

Persembahan yang bukan sahaja sebagai sumbangan penyanyi dan pelakon legenda yang masih bertenaga pada usia mencecah 70 tahun Disember nanti, tetapi bagi Cik Rahimah yang pertama kali menyertai NDP pada usia 58 tahun, peluang menghiburkan penonton juga bak meremajakan-semula dirinya.

"Di Perbarisan Hari Kebangsaan ini, memang muzik baru, bukan? Tidak salah kalau kita, walaupun kita berusia, tapi dengan generasi sekarang, mereka ada pembaharuan yang lain, cara mereka nyanyi lain. Jadi, kadang-kadang seronok juga ikut. Sebagai satu terapi dengan usia saya begini. Jadi, bila hendak menari itu, bukan kita suka-suka hendak melonjak di situ. Harus buat latihan, ikut apa yang penerbit mahu. Apa yang pereka tari buat, kita harus ikut. Bukan saya hendak suka-suka terkinja-kinja. Penat tahu? Jadi, itu adalah satu senaman dan terapi untuk diri saya," jelas Cik Rahimah.

Persembahan silang-generasi, beserta penceritaan dengan gabungan elemen lama dan baharu - mengisi segmen persembahan NDP sempena SG60, 9 Ogos ini.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita