Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Nana Karia & Badarudin Hassan terajui pembangunan bakat seni tempatan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tugas seorang guru melangkaui sekadar mengajar dan menyampaikan ilmu kepada anak didik mereka; mereka juga memainkan peranan penting sebagai pembimbing dalam perkembangan individu.

Peranan itu tidak terbatas hanya kepada guru di sekolah biasa.

Sempena Hari Guru, BERITA+ memberi sorotan kepada dua pendidik dalam bidang seni, budaya, dan hiburan yang menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan

PENGHARGAAN KEPADA GURU VOKAL DAN GURU TARI

Setelah mengukir nama sebagai penyanyi, antaranya dengan memenangi SG Mania musim kedua pada tahun 2016, Nana Karia diberi gelaran Ratu genre muzik Soul dalam pertandingan Singapore Idol tahun 2004.

Kini, beliau lebih dikenali sebagai Ratu Rock Singapura.
(Gambar-gambar: Roslinda Rahmat)

Mulai mengajar secara sambilan sejak tahun 2007, Nana mendapat pentauliahan sebagai guru vokal pada 2017 untuk mengajar muzik dan persembahan seni suara.

Dalam kalangan pelajar Nana, terdapat beberapa yang sudahpun mencipta nama dalam persada muzik Singapura dan serantau.

Seperti penyanyi Indonesia Rhea Asmara, yang 'single' pertamanya memasuki carta Billboard Indonesia.

Seorang lagi ialah penyanyi dan penganjur konsert yang berjaya di bawah jenama SAH Entertainment, Sufi Rashid.

"Kak, lagu ini sesuai tidak, dengan suara Sufi?" Dan Kak Nana akan kongsi pendapatnya sebab dia lebih berpengalaman dalam nyanyian, dalam industri ini. Jadi, bila kita mendengar lalu kita terapkan, dan benda itu menjadi cantik, maka kita sudah mendapat satu ilmu baharu. Itu salah satu contoh pentingnya perlu ada guru," kongsi Sufi dari Kuala Lumpur, kepada wartawan Roslinda Rahmat.
(Gambar: sufierashid/Instagram)

Nana berkata beliau mendapat inspirasi untuk menjadi guru vokal daripada salah seorang ustazahnya.

"Nana mendapat ilham daripada salah seorang ustazah yang mengajar Nana, kerana Nana dahulu sebenarnya macam susah hendak mendengar kata-kata nasihat. Jadi terdorong hendak menjadi cikgu daripada ketika sekolah dahulu. Nana memang lulusan Trinity College of London. Jadi daripada situlah saya mula mengajar menyanyi, khususnya Muzik dan Persembahan Vokal,"dedah Guru Vokal, komposer dan Pemilik-Bersama Soulitaire Productions, Nana Karia.

Daripada lebih 50 pelajarnya, Nur Umairah Mohammad Shafiq, penyanyi muda mengikuti jejaknya sebagai guru vokal.

"Sewaktu saya mula mengajar Umairah, beliau baru berumur 10 tahun. Jadi lebih mudah untuk saya memperbaiki kelemahannya. Penguasaan melodi Umairah juga sangat semulajadi. Jadi saya lebih mengajar dia kepada cara memilih nota yang sesuai dan kesedaran pentas. Dia rajin dan ada inisiatif. Jadi amat memudahkan kerja saya sebagai cikgu," ujar Nana.

Hasil usaha tersebut, Umairah memenangi beberapa pertandingan nyanyian.

"B-dazzled, pada tahun 2014. Beritahu sahaja Kak Nana lagu apa saya ingin nyanyi untuk pertandingan, nanti beliau akan tolong saya dengan teknik pernafasan - seperti di bahagian mana saya hendak tarik nafas, macam mana saya hendak nyanyikan seni kata tertentu," kata Umairah.

"Pada umur saya lima tahun sebenarnya saya sudah mula menyanyikan lagu Kak Nana. Jasanya yang paling, paling besar pada saya adalah, Kak Nana yang menawarkan untuk mengasah bakat saya daripada kecil. Dan sampai sekarang, itulah yang sebenarnya membentuk diri saya pada hari ini. Dalam segi vokal dan juga dari cara saya bertutur pun banyak saya belajar dari Kak Nana. Beliau juga mengajar saya macam mana cara menjawab wawancara media dan sebagainya. Kalau Kak Nana tidak terokai kebolehan saya, saya rasa saya tidak akan ada di sini,” tegas Umairah, penuh penghargaan.

MEMPERKASA PELAJAR UNTUK MENGAJAR

10 tahun kemudian, Umairah bekerja sambilan sebagai guru vokal, berbekalkan tunjuk ajar Nana.

"Sampai sekarang saya pegang ajaran Kak Nana bahawa 'Practise Makes Permanent' - latihan yang konsisten bukan hanya meningkatkan kemahiran tetapi juga membentuk kebiasaan yang tetap. Untuk kekalkan apa yang kita sudah berlatih itu adalah sesuatu yang lebih susah, pada saya. Para pelajar saya bertanya, 'Bukan latihan menjadikan sesuatu itu sempurna, ke?’ Tidak lah, saya belajar dari cikgu saya tau, 'latihan menjadikan sesuatu tetap kekal',” luah Umairah.

Apabila ditanya apa yang mahu beliau lakukan untuk membalas jasa guru vokalnya itu, Umairah berkata, "Saya hendak banggakan Kak Nana dengan mengeluarkan 'single'."

CURAH ILMU DALAM SENI TARI

Di dewan tari yang terletak di Woodlands pula, para anggota kumpulan Artistari Gentari gigih berlatih.

Jurulatihnya, Ainin Sofiyah Ahmad Rizal, dahulunya menerima bimbingan daripada pengasas kumpulan itu, Badarudin Hassan atau Bada.

Ketegasan Bada sebagai guru tari, membentuk kekentalan semangat Ainin.

"Sebelum saya menganggotai Artistari Gentari, saya mudah berputus asa, senang menangis. Abang Bada dengan sifat-sifat yang telah dia curahkan kepada saya, saya dapat merubah pesona saya. Untuk mempunyai jiwa kental itu sangat penting sebab untuk kita sebagai penari, apa yang orang tidak nampak adalah pengorbanan, dedikasi dan disiplin yang diperlukan untuk memperbaiki karya kita. Dan ini sahaja boleh makan masa bertahun-tahun lamanya!" dedah Ainin, Penari Senior dan Pengurus, Artistari Gentari.

TARIAN TRADISIONAL CERMINAN KEHIDUPAN, LAMBANG KESANTUNAN

Bagi Bada, 35 tahun, yang menari tarian tradisional Melayu sejak di sekolah rendah, tarian bukan sekadar seni, tetapi cerminan kehidupan dan simbol kesantunan Melayu.

"Tarian dapat mengajar anak-anak tari itu untuk menjadi orang yang berbudi. Dan nilai-nilai itu memang harus diterapkan di dalam seni tari Melayu kerana itulah lambang kita sebagai orang Melayu. Begitu juga disiplin dan ketabahan. Kerana dalam konteks menari di Singapura, ia agak sukar kerana kita harus berjuang untuk mempertahankan kedudukan kita," luah Bada, Guru Tari, Penari dan Pengasas Artistari Gentari.

Antara contoh pergelutan yang dimaksudkan adalah usahanya menubuhkan kumpulan tari Artistari Gentari sejak 11 tahun lalu pada 2013 dengan biaya sendiri.

Kini berbekalkan pensijilan dari Institut Kesenian Jakarta, Bada tidak jenuh mencurahkan ilmu kepada lebih 200 pelajar sekolah rendah, menengah serta ITE.

"Di Singapura ini, ramai murid-murid saya tahu bahawa saya seorang yang tegas. Ini demi membuat mereka faham betapa pentingnya disiplin dan untuk mengajar mereka nilai-nilai yang ada di dalam kesenian Melayu, di dalam tari Melayu khususnya. Sambil itu, saya mendorong mereka untuk membuat persembahan profesional, untuk berusaha menjadi jurulatih dan teruskan peninggalan saya." Demikian ungkapan yang lahir dari hati Guru Tari Bada.

Ainin Sofiya pula berkongsi luahan terima kasih yang tidak terhingga dan cita-citanya untuk membalas jasa.

"Saya sangat menghargai kepercayaan yang Abang Bada berikan kepada saya. Beliau tidak pernah putus asa dalam mencurahkan ilmu kepada saya, biarpun dalam tarian ataupun dalam kehidupan. Jadi semenjak saya berumur 18 tahun sehingga saya berkahwin dan kini menjadi seorang ibu. Jadi saya tidak bolehlah lupakan jasanya. InsyaAllah, kalau dipermudahkan, saya ingin membina kelas untuk penari-penari cilik. Supaya saya dapat mewariskan ilmu yang Abang Bada telah curahkan kepada saya untuk membina generasi penari yang baharu."

Semoga ilmu bermanfaat yang dicurahkan para guru ini dapat membentuk generasi seni, budaya dan hiburan hari muka yang bersantun lagi berbudi.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan