Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Menyesuaikan tawaran produk dan tabiat berbelanja di tengah-tengah inflasi

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Produk "House brand" atau jenama sendiri yang dikeluarkan rangkaian pasar raya besar menawarkan para pengguna pilihan untuk mendapatkan barangan pada harga yang berpatutan.

Ia dipasarkan di bawah jenama-jenama pasar raya seperti "FairPrice", "Meadows", "Tasty Bites", "Heritage Farm", "Happy Family" dan "Red Mart Private Label".

Produk-produk sedemikian pernah dianggap sebagai kurang bermutu namun rangkaian pasar raya dan peruncit e-dagang yang dihubungi BERITAmediacorp menyatakan, mereka kini menyaksikan jualan rancak bagi produk-produk sedemikian, didorong tabiat pengguna yang semakin sensitif pada harga ketika berbelanja.

"Sejak pandemik COVID-19 melanda tiga tahun lalu, kami telah melihat peningkatan secara beransur-ansur dalam penjualan produk jenama kami dalam kalangan para pengguna," kata Encik Marcus Wong.
(Gambar: Rosli A Razak)
"Penjualannya meningkat lebih 20 peratus. Untuk produk Halal kami, kami melihat peningkatan jualan yang lebih baik hampir 40 peratus," kata Encik Marcus Wong, Pengarah Kanan dan Ketua Jenama Sendiri (Runcit) FairPrice Group.

Ketua RedMart dan Barangan Runcit, Lazada Singapura, Cik Jolin Huang pula berkata: "Apabila pandemik COVID-19 melanda, kebanyakan pengguna berbelanja secara online untuk mendapatkan barangan dapur mereka. Satu kategori produk RedMart yang paling popular sewaktu pandemik adalah produk Sedia-Untuk-Dimakan (RTE) atau Sedia-Untuk-Masak (RTC) yang dijual di bawah jenama "Red Mart Private Label."

KENAIKAN INFLASI DORONG PENGGUNA LEBIH HEMAH BERBELANJA
(Gambar: Rosli A Razak)
Namun, dengan kenaikan inflasi sekarang, kos menjadi semakin penting dalam menentukan pilihan pengguna dan ini antara kelebihan jenama pasar raya.

"Inflasi adalah suatu perkara yang menjejas semua orang.Jadi, para pelanggan yang membeli produk jenama kami dapat jimat kira-kira 20 peratus berbanding produk yang berjenama," menurut Encik Lee Yik Hun, Pengarah Pemasaran bagi Asia Tenggara (Makanan) Kumpulan Runcit DFI.

Jurucakap Pasar Raya Seng Shiong pula berkata, penjualan produk jenamanya meningkat kira-kira lima peratus dalam separuh pertama tahun ini.

"Peningkatan kos sara hidup akibat inflasi menjadikan pengguna lebih sedar tentang kos apabila membeli-belah untuk barangan runcit mereka. Harga produk jenama kami lebih kompetitif dan menawarkan penjimatan sekurang-kurangnya antara lima peratus hingga 20 peratus jika dibandingkan dengan produk berjenama lain dengan kualiti yang sama," menurut jurucakap tersebut.
(Gambar: Rosli A Razak)


PERUNCIT TAWAR LEBIH BANYAK PRODUK JENAMA SENDIRI

Permintaan yang semakin meningkat mendorong para peruncit untuk meningkatkan tawaran produk masing-masing, merangkumi barangan makanan asas, keperluan rumah, pakaian dan barangan elektronik.

NTUC Fairprice yang pertama melancarkan produk jenama sendiri "Fairprice" pada 1985, kini mempunyai lebih 2,000 produk manakala DFI mempunyai kira-kira 2,500 produk di bawah jenama "Meadows", dengan 50% daripadanya Halal.

Pasar raya Sheng Siong pula mempunyai 1,300 produk yang dipasarkan di bawah pelbagai jenama seperti "Tasty Bites", Heritage Farm" dan "Happy Family".

Menurut NTUC Fairprice, jenama-jenama sendiri yang diperkenalkan memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan produk segar, bermutu tinggi dan cita rasa berbeza dengan harga yang berpatutan.

Kategori produk kami yang paling popular, jelas sekali adalah barangan asas seperti beras, minyak, tepung dan gula. Selain itu, barangan beku seperti sosej ayam, prata beku, kerepek kentang dan makanan ringan kami juga sangat popular," kata Encik Wong.

HARGA KOMPETITIF

Di rangkaian pasar raya NTUC, mutu barangan pada harga yang kompetitif dapat dicapai dengan mencari pembekal yang tepat untuk menawarkan kos serendah mungkin.

"Sering kali, kami pergi terus kepada pengilang untuk mengatasi orang tengah. Ini juga membantu kami mengurangkan kos. Kami juga mengurangkan kos operasi. Walaupun kami mempunyai kakitangan yang menguruskan jenama sendiri, kami hanya melakukan pemasaran secara asas. Jadi penjimatan kos daripada produk dan kos operasi membantu kami mengurangkan kos dan dapat kami salurkan penjimatan ini kepada pelanggan dengan menawarkan harga yang lebih rendah," kata Encik Wong.

Kumpulan Runcit DFI turut memanfaatkan rangkaian antarabangsanya yang luas.

"Kita mempunyai rangkaian gedung pasar raya di banyak negara dan ini membolehkan kami membeli produk yang bagus, pada harga yang rendah dan menyalurkan penjimatan tersebut kepada para pelanggan kami.

"Kami juga memahami kehendak pelanggan yang mahu membeli pek barangan yang lebih besar pada harga yang berpatutan," tambah Encik Lee.

Cik Jolin Huang menjelaskan lebih separuh barangan jenama RedMart dihasilkan oleh pembekal tempatan.

"Kami memotong orang tengah dan bekerjasama secara langsung dengan pembekal. Ia membolehkan kami mempunyai kawalan yang lebih ketat ke atas mutu dan harga. Tambahan pula, lebih daripada 50 peratus pembekal kami adalah pembekal tempatan dan ini mengurangkan kos berkaitan pengangkutan.

Ini membolehkan kami menyalurkan penjimatan kepada pelanggan, dan menghasilkan lebih banyak produk premium atau bukan keperluan harian pada harga berpatutan.

(Gambar: Rosli A Razak)
UBAH IMEJ PRODUK JENAMA SENDIRI

Para peruncit memberitahu BERITAmediacorp, meskipun mereka tidak membuat pelaburan tinggi untuk memasarkan produk jenama sendiri, pembungkusan produk penting untuk menambat hati pelanggan untuk mencuba.

"Pembungkusan adalah salah satu isyarat di mana para pelanggan boleh mendapatkan maklumat tentang rumusan produk dan di mana dihasilkan.

"Kedua, yang sangat penting adalah kita meletakkan produk ini dalam kategori serupa di mana pelanggan membeli produk berjenama. Kalau dia biasa beli produk jenama "A", oh di sini ada satu rumusan baru, produk Meadows, dan harganya amat menarik. Perbezaan harga merupakan salah satu faktor pelanggan memilih jenama pasar raya," jelas Encik Lee.

NTUC Fairprice menyatakan ia telah menjalankan tinjauan untuk memahami tabiat membeli para pelanggannya.

Encik Marcus Wong berkata: "Apabila kami melakukan tinjauan dua hingga tiga tahun lalu, pengguna memberitahu kami bahawa sebab mengapa mereka memilih jenama Fairprice adalah kerana harga. Tetapi sebab mengapa mereka tidak memilihnya adalah kerana persepsi tentang mutu.

Apabila bercakap tentang mutu, ia mempunyai dua aspek yang berbeza, iaitu mutu produk sebenar itu sendiri, sama ada ia cukup baik dan juga sama ada pembungkusan menyampaikan mesej mutu yang betul yang ingin disampaikan kepada pengguna. Oleh itu, kami telah mengemas kini kebanyakan produk kami kepada rupa dan rasa baru kepada contoh pembungkusan yang lebih moden, mudah dikenal pasti dan mesra pengguna."

Ia termasuk label tentang negara produk dihasilkan, maklumat khasiat dan label Halal bagi produk mesra Muslim.

BANDING HARGA DENGAN MUDAH DENGAN APLIKASI "PRICE KAKI"
Aplikasi Price Kaki (Gambar: Aqil Haziq Mahmud/CNA)
Ada satu lagi cara untuk membantu pengguna lebih berjimat dalam keadaan inflasi yang tinggi sekarang.

Seperti dengan menggunakan Aplikasi "Price Kaki" yang dirintis Persatuan Pengguna Singapura (Case).

Ia membolehkan para pengguna untuk berkongsi maklumat tentang harga barangan atau hidangan, sambil membandingkan dan memantau naik turun harga.

"Kita telah dapat menarik penyertaan daripada lima rangkaian pasar raya yang terbesar di Singapura. Jadi mereka sendiri faham bahawa dengan adanya "Price Kaki" ini, ia memudahkan bukan sahaja para pengguna, tetapi para peruncit. Sebab kadangkala pasar raya pun ada menjalankan promosi harga, informasi tersebut dapat disebarkan kepada lebih ramai para pengguna," kata Ahli Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Case, Encik Faizal Wahyuni.

"Price Kaki" sudah dimuat turun lebih 113,000 kali sejak ia dilancarkan pada 2019.

Selalunya kalau kita pergi berbelanja di pasar raya bukan hanya satu barangan sahaja yang kita beli. Kita akan juga membeli barangan keperluan dapur. Kalau kita mengambil contoh kalau misalnya susu, kita dapat jimat 20 sen 30 sen dan juga mungkin beras atau roti dan sebagainya. Saya yakin bahwa penjimatan pada para pengguna itu amat berbaloi," tambah beliau.

Case berharap dapat menambah jumlah barangan dapur kepada 10,000 barangan menjelang akhir tahun ini, berbanding 5,500 sekarang.

Jumlah gerai makanan masak di aplikasi itu akan ditambah kepada 200 pusat makanan dan kedai kopi, daripada 114 pusat penjaja sekarang.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan