Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+ MENU RAMADAN SELEBRITI: Usaha hidupkan semula warisan kulinari

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pada hujung minggu pertama Ramadan, mungkin ramai yang memilih berbuka di luar, menikmati sajian enak bersama keluarga.

Dalam BERITA+ malam ini, wartawan Rosalinda Rahmat meninjau restoran milik selebriti seperti Anna Belle Francis, Sheik Haikel, dan Cef Mel Dean, yang menghidupkan warisan kulinari dengan sentuhan inovatif, menggamit nostalgia dan membangkitkan selera.


RESTORAN HAI GE JI HIDUPKAN WARISAN KULINERI CINA DALAM SUASANA HALAL

Restoran nasi ayam Hainan di North Bridge Road bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi sebuah ruang untuk menghidupkan kembali warisan kuliner Cina dalam suasana halal.

Hai Ge Ji, yang dimiliki oleh pasangan personaliti Anna Belle Francis dan suaminya Sheik Haikel menawarkan pengalaman gastronomi yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk semasa bulan Ramadan.

Anna Belle Francis, pemilik-bersama restoran nasi ayam Hainan, Hai Ge Ji (Gambar: Roslinda Rahmat)


Bagi Anna Belle, Ramadan merupakan satu waktu yang penuh bermakna.

"Saya sekarang sudah jadi Muslim selama 25 tahun. Dan setiap Ramadan sangat istimewa bagi saya. Jadi, saya amat gembira dapat membuka restoran ini bersama Haikel. Supaya kita boleh terus hidupkan tradisi hidangan Cina. Dan dalam bulan Ramadan, kita boleh makan bersama mereka yang beragama apa pun. Aspek warisan sangat penting kerana kita membesar dengan nasi ayam, bukan? Sama ada anda Melayu atau India atau Cina, kita semua orang Singapura, bukan?"

Nama restoran Hai Ge Ji, turut mempunyai kisah tersendiri.

"Hai Ge Ji adalah nama suami saya, Haikel. Ada orang yang tidak boleh sebut namanya, seperti peminat Cinanya atau ada kakitangan kreatif yang berbangsa Cina, kadang-kala lucu lah. Mereka kata, 'Oh Hai Ge! Hai Ge!' Sebab tidak boleh sebut 'Haikel'. Akhirnya jadi lah Hai Ge Ji! Jadi Hai Ge nama Haikel, dan Ji bermakna ayam kalau diterjemahkan. Tetapi sebenarnya ada banyak makna Ji itu. Itulah keindahan bahasa Cina, kerana Ji juga boleh bermakna 'ingat', atau 'kedai', selain 'ayam'," jelas Anna Belle kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Restoran itu memberikan peluang kepada pelanggan untuk menikmati makanan tradisional Cina yang menepati keperluan halal, termasuk kepada mereka yang baru memeluk Islam.

"Ada orang Cina yang masuk Islam dan mereka boleh undang keluarga-keluarga mereka dan kita boleh adakan perbualan yang menyeronokkan di sini. Di kalangan mereka yang datang boleh bertanya saya, 'Bagaimana makanan halal ini boleh rasa macam makanan kita?' Sebenarnya mengapa kita buka restoran-restoran yang halal adalah untuk membolehkan orang-orang Muslim dapat mengalami atau merasa. Kerana kita tidak boleh makan makanan yang tidak halal, jadi mari jadikan makanan itu halal!" dedah Anna Belle Francis yang merupakan pemilik-bersama Hai Ge Ji.

Salah satu hidangan istimewa yang ditawarkan di restorannya adalah Gua Pao, yang mempunyai kisah menarik di sebaliknya.

"Salah satu daripada lauk khas kami dipanggil Gua Pao. Gua Pao adalah daging dada lembu yang direneh. Untuk memakannya, anda masukkan ke dalam pau dengan sayur-sayuran. Cerita di sebaliknya begini, pada satu hari, Haikel sedang buat persembahan. Terus dia lihat ada orang makan satu dulang besar gua pao. Tetapi itu Gua Pao kan sebenarnya perut khinzir. Jadi kita tidak boleh makan. Tetapi Haikel berniat dalam hati, 'Satu hari nanti saya akan buat Gua Pao yang halal!

"Jadi, alhamdulillah apabila kami buka restoran, Haikel dengan cef-cef kami pun duduk dan mereka Gua Pao menggunakan daging daripada bahagian dada lembu. Jadi ia amat-amat menyerupai tekstur perut khinzir. Kemudian sosnya semua kami reka-semula menyerupai rasa sos yang tidak halal. Kami buat sos itu dengan bahan-bahan yang halal, 100% halal. Ada orang Cina yang datang sini, mereka kata, 'Wah, ini tepat dan sama betul seperti versi asli yang tidak halal!' Bezanya, daging yang kami gunakan adalah halal. Lebih sehat dan mereka kata pun lebih enak," kongsi Anna Belle dengan senyum lebar.


SAJIAN ISTIMEWA YANG MELESTARIKAN SEJARAH DAN WARISAN KULINARI

Istimewa untuk Ramadan ini, menu khas Hai Ge Ji juga melestarikan sejarah dan makanan warisan.

"Kami mereka Set Ramadan untuk memudahkan iftar bersama keluarga, bersama kawan-kawan. Jadi ia Set Iftar untuk lapan orang. Ada ayam – anda boleh pilih yang dipanggang atau dikukus; ada dua jenis sayur - kailan atau taugeh, dan kami ada wantan, ada yutiao, kulit ayam digoreng garing dan kami ada Block One untuk dinikmati oleh lapan orang," ujar Anna Belle.

Menu Block One diinspirasikan daripada kenangan Sheik Haikel sewaktu kecil di Geylang.

"Haikel menceritakan bahawa sewaktu beliau kecil, beliau pergi ke Geylang Block One (Blok Satu). Ada seorang Cina - saya fikir beliau yang pertama membuka restoran Nasi Ayam Hainan, antara yang pertama menjadikannya halal. Ada satu lauk - hempedal goreng dengan bawang, dengan cili padi. Jadi kami memanggilnya Hati dan Hempedal Goreng Block One."

Cef Mel Dean turut memaparkan nasi lemak kepal yang berasal dari Kerajaan Mataram, Jawa Timur, Punten. (Gambar: Roslinda Rahmat)
HIDANGAN WARISAN DENGAN SENTUHAN INOVATIF

Di Restoran Permata pula, Cef selebriti Mel Dean yang bermula sebagai bakat kanak-kanak di televisyen, menyajikan lebih 50 hidangan warisan, termasuk makanan bersejarah yang sukar ditemui di tempat lain.

Hidangan-hidangan tersebut disajikan dengan sentuhan inovatif yang mengangkat kekayaan budaya Melayu dan Nusantara.

"Khususnya untuk bulan Ramadan, kami pastikan pilihan hidangan tradisional kami mencerminkan kepelbagaian warisan budaya makanan Melayu ataupun Nusantara. Walaupun kami menggunakan kaedah sentuhan inovatif ataupun progresif dalam hidangan kami yang berbentuk kontemporari, namun kami tetap memberikan penghormatan dari segi penggunaan bahan-bahan dan cara kami menyediakan masakan. Setiap hidangan itu ada cerita, ada warisan, ada budaya yang memberikan pengalaman yang unik apabila orang ramai berbuka di Permata."

Sesuai dengan kedudukannya di Gedung Kuning, Cef Mel Dean mahu menjadikan restoran Permata sebagai ruang untuk menghargai dan meraikan budaya Melayu serta Nusantara.
Cef Mel Dean sedang menyediakan hidangan warisan khas sempena Ramadan di Restoran Permata (Gambar: Roslinda Rahmat)

"Oleh kerana Restoran Permata bertempat di Gedung Kuning, bangunan yang bersejarah lagi kaya dengan warisan, jadi adalah satu amanah dan tanggungjawab besar kami untuk terus mengekalkan tradisi di sini. Dalam masa yang sama, selain daripada menggunakan aspek pencahayaan, hiasan dalaman dan sebagainya, estetik dalam segi muzik - muzik yang dialunkan di Permata juga adalah muzik-muzik tradisional Melayu. Kadang-kala, pekerja kami memakai kebaya dan sebagainya. Dan apabila kami gabungkan, ia menjadi satu pengalaman berbuka puasa Ramadan di Permata yang amat indah, amat nostalgik dan saya pasti ianya meninggalkan kesan yang mendalam kerana di Permata, itulah objektif kami. Bukan setakat satu restoran sahaja tetapi lebih - sebagai tempat pembelajaran tentang seni, warisan dan budaya Singapura," jelas Cef Mel.

Antara hidangan istimewa yang disajikan adalah Mi Maidin, yang berasal dari Kampung Bussorah sekitar tahun 1940-an.

"Di kampung Bussorah sekitar tahun 40-an, pendatang daripada India yang bernama Maidin telah mencipta makanan itu dan anaknya Hussein dahulu akan mengayuh basikal untuk menjual Mi Maidin. Ia seakan-akan Mi Rebus, tetapi ia lebih menggunakan udang geragau. Mi Maidin adalah salah satu makanan ikonik Kampong Gelam," jelas Cef Mel.

Selain Mi Maidin, restoran itu turut menghidangkan Mi Wak Katok yang terkenal pada tahun 70-an, serta Punten, nasi lemak dari Jawa Timur yang kini viral di Malaysia.

(Kiri-Kanan) Mi Maidin, Rawon Risotto, Punten dan pencuci mulut Koleh-Koleh (kanan) dan Bubur Som-Som (kiri sekali) (Gambar: Roslinda Rahmat)
"Punten telah menjadi viral di Malaysia. Ia adalah nasi lemak yang dikepal sehingga membuat bentuk bujur, dan cara makannya dicecah dengan sambal lada hijau," tambahnya.

Cef Mel juga menyajikan Bubur Lambuk Permata dan Serawa Durian bersama pulut, serta pencuci mulut seperti Bubur Som Som, kuih Koleh-Koleh yang disediakan secara progresif, dan kolak pisang dari Indonesia yang digabungkan dengan sagu.

"Ini semua disediakan dalam gelas kecil atau 'shot glass', tetapi rasanya tetap tradisional dan asli," katanya.

Salah satu hidangan yang menggambarkan keunikan masakan Melayu adalah Rawon Risotto.

"Rawon Risotto adalah hibrid atau kacukan daripada dua benua, iaitu daripada Jawa Timur, di mana ia adalah makanan daripada era kerajaan Mataram. Kuah rawon itu digabungkan dengan Itali, yakni Risotto. Istilah ‘progresif’ merujuk kepada makanan yang dihidangkan secara moden, inovatif, tetapi masih mengekalkan rasa asal. Rawon Risotto adalah gabungan yang agak unik, tetapi rasanya tetap asli. Tetap rasa rawon, kerana komponen-komponennya seperti tempeh, inang-inang, sambal belacan, serunding, dan telur burung pun ada," jelas Pengarah Kulinari Permata itu.

Landskap kulinari halal Singapura semakin kaya dengan sumbangan tokoh kreatif seperti Anna Belle Francis dan Cef Mel Dean, yang tidak hanya melestarikan warisan masakan, tetapi juga mengeratkan silaturrahim melalui hidangan-hidangan istimewa mereka.

Inovasi dalam menghidupkan tradisi kulinari ini turut menambah keceriaan dan makna kepada suasana Ramadan, menjadikannya lebih meriah dan bermakna.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan