Skip to main content

Singapura

BERITA Mediacorp perkenalkan Kata BERITA; bantu perkaya kosa kata sambil ikuti ehwal semasa

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA Mediacorp perkenalkan Kata BERITA; bantu perkaya kosa kata sambil ikuti ehwal semasa

(Gambar: BERITA Mediacorp; REUTERS)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 10:54PM Dikemas Kini : 03 Oct 2026 09:04AM
BERITA Mediacorp introduces Kata BERITA to help enrich vocabulary while keeping up with current affairs
  • BERITA Mediacorp introduced Kata BERITA in Singapore on Sep 5 to help audiences understand terms that frequently appear in news reports.
  • Each weekly entry on its website and social media platforms features the meaning, English translation, usage context, etymology, unique Singapore terms and the original article reference.
  • Sujadi Siswo said the initiative enriches vocabulary and helps students master the Malay language while keeping up with current affairs at home and abroad.
  • Dr Mohamed Aidil Subhan said the initiative is useful for education, regional readers and the development of a Singapore Malay language corpus; five entries had been published as of Oct 3.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: BERITA Mediacorp memperkenalkan Kata BERITA untuk membantu audiens memahami perkataan dan istilah yang sering digunakan dalam laporan dan liputan berita.

Mula diperkenalkan pada 5 September lalu, usaha tersebut mengetengahkan kata-kata dan istilah-istilah yang relevan untuk menggabungkan pembelajaran Bahasa Melayu dengan perkembangan ehwal semasa dalam dan luar negara.

Ketua Editor BERITA Mediacorp Sujadi Siswo berkata: “Tujuan prakarsa ini adalah untuk mendedahkan kepada audiens BERITA Mediacorp kata atau istilah yang sering ditemukan dalam laporan berita. Ini bukan sahaja akan memperdalam pemahaman kita tentang topik yang dibaca, bahkan membantu memperkaya perbendaharaan kata kita."
Related article image
Ketua Editor BERITA Mediacorp, Sujadi Siswo. (Gambar fail: Mediacorp)
“Ini lebih-lebih lagi berguna untuk golongan pelajar yang bukan hanya perlu menguasai Bahasa Melayu dengan baik tetapi juga berupaya mengikuti perkembangan ehwal semasa dalam dan luar negara,” tambah beliau.

Setiap Kata BERITA, yang dimuat naik secara mingguan ke laman dan media sosial BERITA Mediacorp, memaparkan makna perkataan yang dipilih, terjemahan istilah dan juga maknanya dalam Bahasa Inggeris serta konteks penggunaannya dalam sesebuah laporan atau liputan berita.

Terdapat juga elemen etimologi atau asal usul kata yang berguna dan akan ada kata atau istilah unik yang hanya digunakan di Singapura.
Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp; Canva)
Pembaca kemudian boleh merujuk semula kepada artikel asal BERITA Mediacorp untuk melihat bagaimana perkataan tersebut digunakan dalam laporan sebenar.

"BERTEPATAN DENGAN KEPERLUAN PELAJAR DAN MASYARAKAT"

Pensyarah kurikulum dan pedagogi di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Dr Mohamed Aidil Subhan berkata inisiatif Kata BERITA bertepatan dengan keperluan pelajar dan masyarakat Melayu dan juga mungkin bukan Melayu yang mengikuti berita arus perdana.

"Selain daripada menjelaskan makna perkataan yang digunakan dalam konteks, ia juga menjadi bahan rujukan kepada penggunaan perkataan tersebut dan memperluaskan pemahaman pembaca.

"Dalam konteks pendidikan, penjelasan makna perkataan dan peluasan pemahaman penggunaan perkataan tersebut mengikut konteks amat berguna dalam penghayatan maksud teks yang dibaca," jelas beliau.
Related article image
Pensyarah kurikulum dan pedagogi di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Dr Mohamed Aidil Subhan. (Gambar: bookcouncil.sg)
Dr Aidil menambah inisiatif Kata BERITA penting dalam konteks penghayatan dan pengayaan Bahasa Melayu bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di peringkat serantau.

"Dalam era media digital ini, berita arus perdana seperti BERITA Mediacorp bukan sahaja dibaca atau dirujuk oleh pembaca Singapura sahaja, malah bahan BERITA Mediacorp merentasi sempadan.

"Pembaca luar negara juga dapat melihat dan mengikuti perkembangan penggunaan bahasa melalui penerangan kata yang digunakan sebab akan ada perbezaan penggunaan kata dari segi geografi juga antara Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei.

"Secara tidak langsung, ia menjadi koleksi korpus Bahasa Melayu yang digunakan di Singapura," kata Dr Aidil.

Sejak diperkenalkan pada 5 September, sebanyak lima Kata BERITA sudah diterbitkan setakat 3 Oktober, termasuk 'julat', 'tumbuk rusuk', 'penarafan' dan 'ranking'.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita