Skip to main content

Singapura

BERITA Mediacorp, NTC, MOE jayakan lawatan belajar ke Kampus Mediacorp buat penuntut MLEP di Maktab Rendah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jan 2026 07:27PM Dikemas Kini : 15 Feb 2026 10:02AM

SINGAPURA: Penterjemahan bukan sekadar mengalihkan bahasa seperti yang boleh dilakukan dengan mesin atau kecerdasan buatan (AI) tapi perlu dilakukan mengikut konteks, kegunaan dan nuansa. 

Demikian yang dapat didalami seramai 59 pelajar maktab rendah dalam lawatan belajar ke kampus Mediacorp  pada pagi Sabtu (24 Jan). 

Pelajar-pelajar yang mengikuti Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) itu diberi pendedahan tentang penggunaan bahasa Melayu serta penterjemahan mengikut konteks dalam platform berbeza bagi bidang kewartawanan dan penerbitan ehwal semasa. 

Lawatan selama empat jam itu dianjurkan hasil kerjasama antara BERITA Mediacorp, Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Kementerian Pendidikan (MOE). 

Related article image
Pelajar-pelajar yang mengikuti Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP).

Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Sujadi Siswo berkata program tersebut bertujuan memperluas pendedahan pelajar terhadap penggunaan bahasa Melayu di luar bilik darjah.

“Kami memperkasa para pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu perlu diberi peluang untuk bekerjasama dengan agensi dan pihak lain supaya kami dapat memahami dan memberi pengalaman ataupun mungkin pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan secukupnya. 

"Jadi bersama NTC dan MDDI, kami dapat saling melengkapi dalam menyediakan pengalaman yang berbeza pada para pelajar yang lebih menyeluruh dan bermakna, khususnya bagi pelajar yang hanya belajar bahasa Melayu kebanyakannya di dalam ruang sekolah Sahaja,” kongsi Encik Sujadi.

Sebelum ini, BERITA Mediacorp sudah menganjurkan beberapa program untuk para pelajar sekolah rendah dan menengah. 

Ini merupakan kali pertama program lawatan seumpama itu dianjurkan khusus untuk penuntut maktab rendah.

“Kami ingin menjangkaui seberapa ramai pelajar di setiap peringkat. Peringkat ini adalah peringkat yang kami rasa lebih tinggi sedikit berbanding sebelum ini kerana mereka sudah dekat dengan penggunaan bahasa di luar peperiksaan. Mereka harus mengerti penggunaan bahasa yang dipelajari ini,” kata Encik Sujadi.

Related article image
Lawatan pelajaran ke studio layar hijau Mediacorp.

LAWATAN KE KAMPUS MEDIACORP

Program lawatan tersebut dibahagikan kepada dua sesi utama.

Dalam sesi pertama, para pelajar mengikuti perkongsian bersama kakitangan bilik berita BERITA Mediacorp dan CNA. 

Selain perkongsian lebih lanjut tentang peranan wartawan dan penerbit, mereka juga dapat memahami tentang laras bahasa yang digunakan dalam bilik berita serta kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang tepat, jelas dan berkesan dalam penyampaian berita merentasi pelbagai platform.

Sesi tersebut turut menyentuh cabaran penggunaan bahasa Melayu dalam era kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan.

“Dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan dan aplikasi terjemahan, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada teknologi semata-mata. Penterjemahan memerlukan kefahaman terhadap nuansa bahasa, budaya dan konteks tempatan. Ada istilah tertentu yang tidak dapat diterjemahkan dengan tepat oleh mesin,” kata peserta dari Maktab Rendah Kebangsaan, Nur Sabrina Shahmudin.

Dalam sesi kedua pula, para pelajar dibawa meninjau beberapa bahagian utama kampus Mediacorp bagi melihat secara langsung operasi penyiaran dan penerbitan. 

Antara lokasi yang dikunjungi termasuk bilik berita, konti radio RIA 897 serta studio layar hijau sekali gus memberi gambaran kerja di balik tabir industri media.

Bagi pelajar Indah Khalisah dari Maktab Rendah Tampines Meridian, lawatan tersebut telah mengubah persepsinya terhadap bidang media.

“Saya tidak pernah terfikir bahawa saya mungkin berminat dalam bidang media kerana saya sangka media hanya apa yang ditonton di kaca televisyen. Saya tidak sedar bahawa terdapat ramai individu di sebalik tabir yang bekerja keras menyiapkan bahan berita sebelum ia disiarkan,” kongsi Indah.

Guru Kanan Bahasa Melayu dari Raffles Institution, Mohamad Ali Hanifiah, menyifatkan kerjasama bersama Mediacorp sebagai satu platform penting dalam memperlihatkan potensi bahasa Melayu kepada para pelajar, khususnya dalam konteks dunia pekerjaan sebenar.

“Pendedahan yang diberikan oleh Mediacorp kepada para pelajar ini amat luas dan mereka memahami bahawa peranan bahasa Melayu amat penting dalam memastikan penggunaannya terus berkembang. Harapannya ialah pelajar mengetahui potensi bahasa Melayu yang lebih luas selain menjadi guru bahasa Melayu,” kongsi Encik Ali.

Selain lawatan belajar, BERITA Mediacorp juga telah menganjurkan beberapa bengkel kewartawanan dan peraduan penyampaian berita untuk mendekati golongan pelajar di pelbagai peringkat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FT/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita