Skip to main content

Singapura

BERITA Mediacorp iktiraf perjalanan, perjuangan Dikir SG selama 50 tahun

BERITA Mediacorp mengiktiraf perjalanan dan perjuangan dikir barat di Singapura selama separuh abad dengan menerbitkan dua episod dokumentari tentang seni tersebut.
Anggaran Waktu Membaca:
BERITA Mediacorp iktiraf perjalanan, perjuangan Dikir SG selama 50 tahun
Di sebalik rakaman dokumentari 'DIKIR'. (Gambar: BERITA Mediacorp/Ruzaini Rashid)
SINGAPURA: BERITA Mediacorp mengiktiraf perjalanan dan perjuangan dikir barat di Singapura selama separuh abad dengan menerbitkan dua episod dokumentari tentang seni tersebut.

Nyanyian tradisional berkumpulan yang berasal dari Kelantan itu mula dipersembahkan dan dipertandingkan oleh anak-anak muda Singapura pada lewat tahun-tahun 1970an.

Setelah lebih 50 tahun, dikir barat versi Singapura yang digelar 'Dikir Singapura' mula diterima bukan hanya di tanah air tetapi di dunia Melayu rantau ini.

Dikir Singapura tetap mengekalkan bentuk asal dengan menerapkan ciri-ciri kesingapuraan.

Penerbitan dokumentari dua episod berjudul 'Dikir' merupakan prakarsa sulung pasukan dokumentari BERITA Mediacorp untuk menyelami dan memahami identiti budaya orang Melayu Singapura.

Penerbit Eksekutif dokumentari 'Dikir' Othman Bohari menjelaskan: “Kita sedar bahawa orang Melayu Singapura ada keunikan sendiri walaupun kita berasal dari rumpun Melayu yang lebih luas di rantau ini. Tradisi dan budaya kita Melayu, tetapi dengan identiti Singapura.

"Dikir Barat yang diperjuangkan dan dipersembahkan oleh anak-anak muda Singapura sejak lebih separuh abad adalah antara bukti nyata. Ia mempamerkan evolusi tradisi sesuai masa, tempat dan keadaan. Identiti budaya Singapura wujud.”

Penerbitan dua episod dokumentari 'Dikir' mengambil masa setahun – membawa penerbit dan kru ke Malaysia dan Thailand.

Di Singapura, pasukan penerbit mengambil pendekatan realiti TV dengan mengikuti perkembangan pasukan-pasukan yang menyertai pertandingan dikir, Mega Perdana.
Secara keseluruhan, lebih 20 individu ditemu bual yang terdiri daripada para pendikir tanah air dan serantau, ahli akademik serta para anggota keluarga pendikir.

"Sepanjang setahun mengikuti para penggiat Dikir Singapura, diharapkan dokumentari ini dapat membawa kesedaran lebih besar kepada umum untuk mendakapi seni ini sebagai sebahagian warisan kita setelah 50 tahun ia menapak.

"Selain nilai-nilai kesenian yang ada, wajar untuk masyarakat Melayu setempat akur bahawa Dikir Singapura merupakan satu peluang institusi sosial yang mana orang kita bukan sahaja dapat mengukuhkan bahasa dan budaya tetapi juga mengenali jati diri mereka," ujar Ruzaini Rashid, penerbit bagi dokumentari 'Dikir'.

Antara cabaran untuk menerbitkan dokumentari tersebut adalah kekurangan dokumentasi memandangkan kebanyakan sejarah berkaitan dikir barat diturunkan secara lisan.

Dalam pada itu, akses untuk merakam kegiatan dikir barat di Selatan Thailand juga membawa satu cabaran.

Mentelah lagi dengan ketegangan yang berlaku di kawasan itu, ia menambahkan lagi cabaran pasukan produksi.

Episod pertama akan menyusuri perkembangan Dikir Singapura sejak permulaannya serta kaitan dengan serantau manakala episod kedua pula meneliti perjalanan dan pengorbanan para pendikir kota Singapura.

Kedua-dua episod akan ke udara pada 15 dan 22 Januari di saluran Suria.

Orang ramai juga dapat menyaksikannya di platform meWatch dan YouTube BERITA Mediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/RU/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita