Skip to main content

Singapura

BERITA Mediacorp anjur bengkel pertama bagi pelajar Bahasa Melayu Lanjutan, bimbing cara kenal pasti, elak berita palsu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, BERITA Mediacorp mengadakan bengkel mengenai penerbitan dan penulisan berita bagi pelajar-pelajar yang mengambil Bahasa Melayu Lanjutan, dengan bengkel tersebut diadakan di kampus Mediacorp pada pagi Sabtu (8 Nov).

Bengkel selama empat jam itu dihadiri sekitar 20 pelajar, sebahagian besarnya daripada Sekolah Menengah Tanjong Katong (TKSS).

Ia juga diadakan bagi membimbing dan mendidik kumpulan pelajar itu mengenai cara-cara mengenal pasti berita palsu dan video yang dijana kecerdasan buatan (AI) serta mempelajari bahasa yang sesuai digunakan dalam penerbitan berita di laman web dan media sosial.

Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp Sujadi Siswo berkata usaha tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar dalam pembelajaran Bahasa Melayu di luar bilik darjah.

"Kami lanjutkan program ini kepada murid-murid yang mengambil Bahasa Melayu di peringkat lanjutan kerana kami dapat tahu bahawa mereka perlukan pendedahan yang berbeza untuk mendalami bahasa itu sendiri dan dalam dunia sebenar seperti dunia penyiaran.

"Jadi, mereka boleh bawa pulang ke bilik darjah dan ia dapat dipraktikkan dalam situasi sebenar."

Bengkel yang dijalankan pada Sabtu itu juga bermatlamat sebagai percubaan bagi melihat bagaimana program itu dapat dimanfaatkan oleh kumpulan pelajar yang mengambil Bahasa Melayu Lanjutan, yang mempunyai penguasaan bahasa lebih baik.

"Kami berharap pelajar-pelajar ini akan terdorong untuk melihat bagaimana Bahasa Melayu yang mereka belajar di sekolah itu ada penggunaan dalam dunia sebenar, lebih-lebih lagi dalam dunia penyiaran, dan apakah cabaran-cabaran yang dihadapi kami dalam menggunakan Bahasa Melayu kerana menggunakan Bahasa Melayu dalam dunia yang dominan Bahasa Inggeris itu tidak mudah," tambah Encik Sujadi.

KEGIATAN DAN LAWATAN

Antara kegiatan yang dijalankan untuk kumpulan pelajar ini termasuk membaca dan menyampaikan berita serta menghasilkan kandungan berita bagi platform media sosial.
Seorang pelajar melakukan latihan penyampaian berita. (Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
Kumpulan pelajar itu juga berpeluang melawat bilik berita dan studio di mana BERITA disampaikan secara langsung pada pukul 8.00 malam setiap hari.
Para pelajar melakukan lawatan di sekitar bilik kawalan dan studio BERITA Mediacorp. (Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
Ini di samping berpeluang menyinggah ke konti radio WARNA 942 dan RIA 897 sebagai sebahagian daripada lawatan ke kampus Mediacorp.

Salah seorang pelajar yang menyertai bengkel ini ialah pelajar TKSS Adam Fahyim Choo Bin Choo Mohamed Johari yang berkongsi keterujaannya dengan pengalaman menyampaikan berita.

"Ia adalah satu pengalaman yang autentik dan membuat saya lebih menghargai kerja kakitangan bilik berita.

"Selain itu, saya juga akan mengongsi ilmu tentang pengesahan berita dengan keluarga saya di rumah supaya kami akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab apabila melungsuri laman media sosial dan juga berkongsi maklumat."

Seorang lagi pelajar TKSS Alya Azzahra Mohamed Imran berpeluang menghasilkan berita bagi laman media sosial.

"Saya telah mempelajari bagaimana untuk menghasilkan berita secara kreatif dan dengan menggunakan aplikasi Canva yang agak menyeronokkan," katanya.

Guru TKSS Sri Nabilah Basri berkongsi pendapatnya: "Saya yakin bengkel seperti ini boleh mendidik anak-anak kita supaya lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk menyebarkan sebarang maklumat, terutama sekali apabila menggunakan media sosial mereka sendiri.

"Melalui bengkel seperti ini, para pelajar kita diingatkan supaya menjadi penerima dan juga penyebar berita yang lebih bertanggungjawab."
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita