BERITA+: Masyarakat Muslim Jepun di SG tubuh Kelab Sakura, jaringan sokongan sesuaikan diri di rantauan
SINGAPURA: Kelab Sakura yang bermula enam tahun lalu sebagai kumpulan sembang WhatsApp dengan dua anggota kini berkembang dengan hampir 60 anggota yang merupakan mualaf berasal dari Jepun.
Malah akaun Facebook kelab itu, 'Japanese Muslims in Singapore', mempunyai lebih 500 pengikut sejauh ini.
Ada di antara mereka yang sudah menetap dan berumahtangga di Singapura selama hampir 30 tahun.
"Saya datang ke sini ketika berumur 26 tahun dan saya kenal isteri saya ketika saya memasuki program kelab beliau pada 1989. Jadi kami mula menjalinkan hubungan dan kemudian memulakan kehidupan di Singapura," terang antara anggota terdahulu Kelab Sakura, Encik Ahmad Zaki Yokoyama.
Kesemua anak Encik Yokoyama aktif berkecimpung dalam arena sukan sehingga mewakili negara dalam acara sukan berlayar dan bowling.
Bahkan anak keduanya, Elisa Yukie Yokoyama, pernah memenangi pingat emas dalam Piala Dunia Optimist 2009 di Brazil.
Ini menurut beliau adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan menjadi antara sebab utama mengapa beliau masih menetap di Singapura.
KELAB SAKURA SEDIAKAN SOKONGAN BUAT MUALAF JEPUN DI SG
Dengan tertubuhnya Kelab Sakura, masyarakat Muslim Jepun di sini dapat bertukar pendapat dan menyokong satu sama lain dalam perjalanan kehidupan mereka di negara asing.
"Apabila saya bernikah 30 tahun lalu, saya tidak ada kumpulan seperti ini dan saya tidak kenal warga Jepun beragama Islam lain jadi saya fikir saya keseorangan tetapi saya temukan kelab ini. Di Kelab Sakura ini, kami ada kumpulan sembang WhatsApp dan akan membincangkan masalah, minta bantuan, ada acara atau ingin tahu apa untuk masak.
Selain menyesuaikan diri di negara ini, Cik Maria Hiroko juga berdepan cabaran untuk memastikan makanan yang dimasak sesuai buat suami dan anak tersayang.
"Apa yang saya masak semuanya hambar dan mereka akan mengadu tapi Alhamdulillah, kakak ipar saya akan berkongsi masakan baladonya dengan kami jadi saya perlukan pertolongannya. Kami gembira tetapi sekarang tekak suami saya sudah jadi tekak Jepun, tak tahan pedas!," kata Cik Maria Hiroko dengan nada riang.
Anak-anaknya juga sudah terbiasa dengan masakan Melayu malah anak perempuannya lebih gemar masakan Melayu yang pedas.
"Saya suka makan Nasi Padang, lemak cili padi dengan terung balado dan rendang. Saya suka makanan pedas jadi kalau saya makan makanan Jepun daya akan letak lebih banyak cili kerana rasa makanannya hambar. Saya boleh tahan pedas lebih baik daripada bapa saya!" kata Hanan Todong Mulatua.
Cik Maria turut menarik perhatian lebih banyak pilihan makanan dan bahan-bahan Jepun halal di Singapura dengan berkembangnya peminat makanan Jepun di rantau ini.
Menyesuaikan diri di sini adalah antara cabaran yang perlu mereka hadapi selain menanggung rindu terhadap orang tersayang.
Ini lebih-lebih lagi pada waktu perayaan seperti Hari Raya Haji yang bakal menjelang.
"Saya rasa pengorbanan saya adalah apabila saya meninggalkan ibu bapa saya di Jepun jadi kesemua pengorbanan yang mereka lakukan untuk saya, apabila anda menjadi ibu anda akan tahu dan faham pengorbanan yang mereka lalui," kata Pengasas kelab itu, Keiko Soeda@ Khaiyisha Abdullah.
Mujur dengan peredaran zaman dan teknologi yang semakin canggih, hubungan dengan keluarga yang berjauhan terasa lebih dekat dan erat.
"Tentunya kami masih lagi berhubung dan kami berbual melalui Zoom atau panggilan telefon dan kini lebih mudah untuk kami lakukan. Kami jugs balik ke Jepun beberapa kali dalam setahun," kongsi Cik Keiko Soeda kepada BERITAMediacorp.
LESTARIKAN BUDAYA JEPUN DENGAN ANAK-ANAK DI SG
Selain Hari Raya Puasa dan Korban, anggota Kelab Sakura juga menyambut perayaan Jepun seperti Tanabata.
"Orang Jepun menyambut banyak acara dan kami sangat kaya dengan budaya jadi kami tidak mahu berhenti menyambut perayaan ini selagi ia tidak melanggar ajaran Islam. Misalnya kami menyambut Hari Wanita dan membuat Chirashi Zushi, pada Hari Lelaki pula kami akan makan Kashiwa Mochi. Kami juga menyambut Tahun Baru Jepun yang serupa dengan sambutan Hari Raya Puasa," kongsi Cik Keiko Soeda.
Ini demi melestarikan adat dan budaya tradisi dengan anak-anak mereka yang membesar di sini.
Antaranya adalah Cik Nur Maira Misato Yamada, yang mempunyai anak perempuan berusia empat tahun.
Beliau tidak khuatir jika anaknya membesar tidak mengenali adat dan budaya Jepun kerana selalu cuba untuk mempraktikkan ajaran Jepun dalam pembelajarannya.
"Kadang kala apabila anak saya ada tugasan rumah dan harus membuat arca seni dengan ibu dan ayah, kami akan membuat sesuatu yang berkaitan dengan budaya Jepun seperti origami. Kadang kala saya akan mengajarnya budaya Jepun secara bersahaja dan tidak memaksanya," kata Cik Misato.
Bagi Cik Nur Azlina Yasuko Sugaya pula yang mempunyai anak-anak di sekolah menengah dan sekolah rendah nasional, mereka cuba membahagikan masa untuk belajar bahasa Melayu dan Jepun.
"Apabila mereka kecil, mereka tidak ada masalah tetapi apabila mereka membesar mereka perasan banyak tugas rumah. Tugas rumah bahasa Melayu dan Jepun dan kadang kala mereka akan mengadu," kata Cik Yasuko Sugaya.
Ini juga menjadi antara topik perbincangan anggota kelab Sakura yang saling memberi sokongan.
Anggota terbaru, Cik Usami juga sempat berkongsi pengalamannya bernikah dan menyambut Ramadan dan Syawal di sini.
"Cara Jepun anda hanya harus hantar borang ke pejabat pernikahan namun ia sangat berbeza, jadi dalam cara Islam, anda harus ada kadi dan kami baru menjalankan acara 'pernikahan'. Syukur kesemua ahli keluarga saya tidak ada pandangan serong terhadap orang Islam dan ibu saya juga berkata berpuasa bagus untuk kesihatan," kata Cik Chika.
"Ramadan adalah pengalaman yang sangat baik buat saya. Saya bangun pada pukul 5.00 pagi dan berbuka puasa bersama dan solat bersama. Saya fikir ia sukar dan saya tidak boleh lakukannya tetapi dengan suami saya, saya boleh lakukannya," kongsi Cik Chika.
Kelab Sakura berhasrat untuk mengembangkan kelab mereka dan mengalu-alukan golongan muda Muslim Jepun untuk membina rangkaian supaya tidak rasa kesepian di rantauan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.