Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+ MAS 100: Adiguru bahasa dan budaya yang tiada pengganti, patut dihargai

Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Pendeta MAS, meninggalkan legasi luar biasa.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Pendeta MAS, meninggalkan legasi luar biasa.

Digelar sebagai ensiklopedia bergerak dan 'Bapa Bahasa, Sastera, dan Budaya Melayu' di Singapura, sumbangan Almarhum yang merakyat menjadi tonggak bagi perkembangan bahasa, sastera dan budaya masyarakat Melayu tempatan serta Nusantara.

Dalam memperingati 100 tahun kelahiran Allahyarham, Berita+ mengupas warisan dan impaknya menerusi perspektif dua seniman generasi baharu: Asnida Daud dan Sanif Olek.

KERJAYA SENI DIBENTUK ADIGURU BAHASA DAN BUDAYA YANG TIADA PENGGANTI

"Benarkah, yang benar, itu benar?
Benarkah, yang benar itu, benar?
Benarkah, yang benar itu benar?
Tidak benar!"

Bait sajak 'Benarkah' hasil karya Allahyarham MAS kembali hidup melalui deklamasi seniman Asnida Daud.
Sejak remaja, Asnida sudah menjadikan Allahyarham sebagai sumber rujukan dan teladan dalam perjalanan seni dan pendidikan beliau.

“Allahyarham Cikgu Ariff adalah narasumber dan contoh teladan bagi saya sebagai penggiat seni dan pendidik. Sejak kecil lagi saya sudah tahu siapa Cikgu Ariff dan ingin jadi seorang guru bahasa Melayu sepertinya,” ujar Asnida.

Beliau berkongsi pengalaman pertamanya dengan Allahyarham ketika menyertai pertandingan dikir barat, di mana Cikgu Ariff menjadi salah seorang pengadil.

Teguran Allahyarham tentang kepentingan sebutan betul meninggalkan kesan mendalam yang kekal sehingga hari ini.

"Saya tidak pernah berbual mesra, menghabiskan masa ataupun pergi 'mengeteh' dengan beliau. Beliau yang selalu saya jumpa pada acara-acara bahasa dan budaya, pernah mengadili peraduan dikir barat yang saya sertai.

"Waktu itu kami menyanyikan lagu Wau Bulan, yang seni katanya berbunyi, 'Eh wau bulan, eh wau bulan, eh wau bulan teraju tiga' dalam apa yang kami sangka loghat pantai timur. Semasa ulasan pengadil, beliau menegur, 'Kalau nak sebut teraju - tigo ke teraju tega ke teraju tegar ke apa, mesti sebut dengan betul, kerana setiap konsonan itu membawa makna yang berbeza'," kongsi Asnida Daud kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Puisi Allahyarham juga menjadi panduan kerja Asnida.

"Saya juga menggunakan puisi-puisi beliau dalam kerja saya. Puisi-puisi beliau sangat ekonomis, sangat cantik, sangat padat. Nampak macam mudah, tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam. Itu kerja saya sekarang sebagai seorang penggiat seni. Kita tidak boleh ambil lapisan atasnya sahaja."

Asnida berkongsi bagaimana gerakan ASAS50, yang diasaskan oleh Allahyarham MAS, menjadi ilham bagi kolektif seni yang beliau tubuhkan bersama rakan-rakannya.

"Inspirasi kami datang daripada gerakan beliau, ASAS50. Kami pergi ke Malaysia, kami membuat persembahan, kami menulis, kami berlakon, kami membuat makalah dan sebagainya kerana kami ingin tiru pemikir-pemikir hebat seperti Cikgu Ariff," dedah Asnida.

Selain itu, nasihat Allahyarham MAS terus tersemat dalam jiwa Asnida, terutama kata-kata mendalam yang sering dikongsikan beliau.

"Satu lagi yang saya ingat pesanannya: 'Kalau hendak jadi orang baik, banyak mendengar. Kalau hendak jadi orang pandai, banyak membaca. Kalau hendak jadi orang bijaksana, banyak menulis.' Ini mengajar saya, 'Kalau engkau belum menulis buku ke, belum ada ISBN, jangan cakaplah kau itu bijaksana!' Pesanan itu menggalakkan kami sebagai penggiat seni. Karya kita bukan sahaja harus berada di atas pentas, tetapi juga di atas kertas," jelasnya.

KHAZANAH DAN PEMIKIRAN PROGRESIFNYA JADI INSPIRASI GENERASI AKAN DATANG

Antara bukti pemikiran progresif Allahyarham MAS adalah buku kecil 'Sarah Pengarang Kechil' (1960), yang memperjuangkan hak asasi wanita - langkah berani yang menjadikan beliau penulis tempatan pertama menyentuh isu itu.
Allahyarham turut menggalakkan pemikiran kritikal tentang wanita dan kerjaya.

Novel 'Mail Mahu Kawin' (1974) pula, jauh mendahului zamannya, mengangkat penggunaan komputer dalam mencari jodoh.
Ia juga menekankan kepentingan institusi keluarga sebagai tunjang masyarakat.

Semangat progresif itu diteruskan oleh Asnida, yang menerapkan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dalam deklamasi puisinya.

Bahkan, meski berada di luar negara, beliau tetap terlibat dalam pementasan puisi sempena acara Syarahan Perdana Memperingati MAS dan pelancaran program Kursi MAS pada 30 November 2024, menerusi aplikasi canggih.

"Kita manfaatkan teknologi, gunakan teknik hibrid, gunakan video, saya gunakan suara saya dan korusnya adalah daripada pelajar yang berada di atas pentas waktu itu, kongsi Asnida yang memilih puisi-puisi 'Benarkah' dan 'Jadi Apa Aku'.

"'Benarkah' yang ditulis oleh Cikgu Ariff pada zaman beliau, mungkin membawa makna yang berbeza. 'Benarkah' pada era saya ini mempersoalkan berita-berita palsu, berita yang kita dengar di media sosial. Ini membuktikan bahawa Dr Ariff Ahmad sangat progresif dan menerobosi zaman. Beliau kekal relevan hingga ke saat ini.

"Saya amat tertarik dengan cara beliau menulis kerana beliau mahu puisinya dibaca oleh orang ramai. Beliau tidak membuat puisinya hanya untuk golongan intelegensia sahaja."

TIADA KRITIKAN, HANYA PEMAHAMAN MENDALAM DAN NASIHAT YANG BERBEKAS

Hab Kajian dan Sumber MAS, seluas 42 meter persegi di tingkat dua perpustakaan NIE-NTU, dilancarkan pada 2021 untuk menempatkan pelbagai khazanah dan karya Allahyarham Dr MAS.
Hab itu menjadi sumber rujukan penting, memberi inspirasi kepada generasi seterusnya yang ingin memahami dan meneruskan legasi Almarhum.

Antara generasi penerus yang menjadikan Allahyarham sebagai rujukan ialah sutradara Sanif Olek.

Beliau merasa amat bertuah dapat menghabiskan dua minggu bersama Almarhum pada 1997 sempena kajian untuk dokumentari sulungnya, 'Wajah'.

"Saya kurang bercampur dengan orang Melayu. Kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Perbualan pertama saya, 'Cikgu, how are you?' Cikgu tenung muka saya. Katanya, 'Sanif, tidak apa. Awak boleh cakap dengan saya guna bahasa Inggeris.' Saya pun mula berbual dengannya, bertanya soalan untuk dokumentari saya."
Namun, pada hari kedua, nasihat Allahyarham mengubah .perspektifnya.

"Beliau kata, 'Sanif, biar kurang bertutur dalam bahasa Melayunya tetapi jangan kurang jiwa dan bahasanya.' Saya berpegang kepada kata-kata Cikgu Ariff itu sebab saya rasa bukan saya seorang sahaja orang Melayu yang kurang fasih. Sebab kita dibesarkan di Singapura dan bahasa pertama kita adalah bahasa Inggeris," akui Sanif ketika diwawancara di Hab Kajian dan Sumber MAS.

Sebagai seorang pengarah, penerbit, dan pembuat filem bebas, Sanif terus memastikan karya-karyanya membawa jiwa Melayu yang dapat difahami oleh masyarakat antarabangsa, sekaligus merangkul sifat universal.

"Saya tidak boleh dibandingkan dengan Royston Tan contohnya, atau Eric Khoo, sebab penulisan saya adalah daripada dunia Melayu," kata Sanif.

Baru-baru ini, beliau menghasilkan dua filem pendek untuk Kementerian Pertahanan (MINDEF).

"Saya paparkan pengalaman obek-obek atau pakcik-pakcik keturunan Bawean yang bekerja sebagai drebar, dan juga masukkan cerita tentang seorang komando Melayu. Mereka bertemu di pusat penjaja Changi. Saya rasa itulah cara untuk menghidupkan nasihat Cikgu Ariff. Cerita Singapura, tetapi berjiwa dan berbahasa daripada masyarakat Melayu," dedah beliau.
Pengajaran awal daripada Allahyarham Dr MAS memberi kesan mendalam pada kerjaya Sanif, mencorakkan karya-karya yang kini diiktiraf dengan pelbagai anugerah.

Kejayaannya itu adalah manifestasi kebijaksanaan dan bimbingan Allahyarham.

"Kalau arwah Cikgu Ariff masih hidup, saya ingin tunjukkan dia filem pendek pertama saya, 'Lost Sole', sebab saya menggunakan bahasa Bawean. Cerita itu diilhamkan daripada bapa saya yang kehilangan selipar semasa pulang dari solat Jumaat," kongsi Sanif dengan penuh rasa bangga.

Filem panjangnya, 'Sayang Disayang', turut mengangkat masyarakat Melayu Nusantara dengan pendekatan unik.

"Saya campurkan Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia, dan Bahasa Inggeris. Saya rasa itulah filem yang saya banyak bereksperimentasi. Walaupun filem Melayu dari Nusantara, tetapi pandangannya daripada luar Nusantara," katanya.

Sempena 100 tahun kelahirannya, banyak kearifannya yang terus dihidupkan.

Semangat dan sumbangan luar biasa yang kekal relevan, oleh Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan