Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: 'Mari Kita Main Wayang' beri penghormatan kepada bentuk seni teater Peranakan

Selepas hampir tiga dekad, pementasan teater Baba Peranakan "Mari Kita Main Wayang" dipentaskan semula.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas hampir tiga dekad, pementasan teater Baba Peranakan "Mari Kita Main Wayang" dipentaskan semula.

Wartawan Syawal Yusoff ke belakang tabir untuk meninjau sesi latihan yang sedang giat dijalankan.

Karya Felix Chia itu pertama kali dipentaskan pada 1994.

Ia mengisahkan sekumpulan orang Peranakan yang mahu mementaskan sebuah bangsawan bertajuk "Empat Bini".

Karya asal diolah semula penulis Zulfadli Rashid untuk menepati penonton masa kini.

"Dramanya ada unsur 'pementasan dalam pementasan'. Kita akan sama-sama menonton sebuah pementasan tentang Raja Cheekopak dan pulaunya, Pulau Anak Tikus. Persembahan ala-ala Bangsawan tentang Raja Cheekopak yang berkahwin sampai empat orang isteri," kata Penolong Pengarah, Aidli 'Alin' Mosbit.


Pementasan kali kedua ini diarahkan oleh pengarah, Alvin Tan dan persiapan sudah dimulakan sejak setahun yang lalu.

Dipersembahkan dalam bahasa Melayu Baba dan Inggeris, "Mari Kita Main Wayang" memberi penghormatan kepada bentuk seni teater Peranakan.

"Mesej utamanya adalah karya tradisional, karya yang bentuk tradisional ini seperti drama karya Peranakan ini, masih lagi boleh dinikmati oleh kaum muda sekarang. Saya percaya dengan olahan yang baik sesebuah pementasan yang berbentuk tradisional masih boleh dapat digarap dan masih dapat diterima oleh penonton," tambah Alin.

BERHIBUR SAMBIL BELAJAR BUDAYA PERANAKAN

Antara barisan pelakon lama dan baharu yang menjayakan pementasan kali ini termasuk Cynthia Lee, Frederick Soh, Karen Tan, Kimberly Chan, Loong Seng Onn, Masturah Oli, Munah Bagharib dan veteran yang sudah tidak asing lagi dalam dunia teater Baba Peranakan, Baba GT Lye.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Mula aktif dalam teater Baba Peranakan sejak 1984 lagi, beliau kembali beraksi untuk pementasan ini, memegang watak seorang Nyonya bernama 'Kechoot'.

Antara tugas penting yang perlu dimainkannya ialah sebagai 'extra turn' di mana beliau membuat kemunculan sepanjang pementasan dua jam itu untuk berkongsi trivia menarik tentang budaya Peranakan kepada penonton.

"(Saya akan) Berkongsi bersama penonton tentang budaya Baba Peranakan, saya keluarkan banyak yang penonton mungkin tidak tahu. Seperti upacara perkahwinan, upacara hari ulang tahun, dan selain-lainnya," kata Baba GT Lye, 84 tahun.

Selain lakonan yang mencuit hati, pementasan itu turut mengandungi elemen 'live-band' pimpinan Riduan Zalani, Ahmad Shahruddin Bin Safari, Azrin Abdullah, Hafiz Jamat, Ismahairie Putra Ishak dan Julian Wong.

Baba Lye juga turut mencipta enam buah lagu untuk pementasan itu dengan sentuhannya tersendiri.

"Saya ambil kesempatan mengarangkan lagu Baba dalam nota bangsawan dulu-dulu. Bangsawan kuno. Saya mengambil lagu dulu dan masukkan Bahasa Baba Peranakan," tambahnya.


Bagi Baba Lye yang aktif dalam dunia lakonan teater Baba Peranakan sejak 1984 lagi, beliau berharap pementasan ini sedikit sebanyak dapat melestarikan budaya Peranakan.

"Sekarang terus terang, orang Baba Peranakan, yang usia seperti saya mungkin tidak terlalu banyak. Ada juga orang seperti saya yang tidak boleh cakap Bahasa Peranakan sama sekali.

"Kita ini kalau punya pengalaman, kalau kita tidak kongsi bersama yang muda, waktu kita sudah tiada, ketinggalan, tidak bawa pergi. Jadi yang bagus sebelum kita pergi, kita kongsi dengan orang muda," ujar Baba Lye.

MUNAH BAGHARIB MAHU DALAMI BIDANG NYANYIAN

Antara 'orang muda' yang dapat belajar dari Baba Lye dalam pementasan ini ialah personaliti TV dan media sosial, Munah Bagharib.

Meskipun sudah banyak menjayakan pelbagai persembahan teater sebelum ini, beliau tertarik kepada pementasan itu disebabkan konsep dan jalan ceritanya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya memainkan dua watak. Seorang intern yang baru saja masuk dalam kumpulan persembahan ini dan sebagai orang gaji dalam wayang dalam persembahan ini. Bukan sangat cabaran tapi ia lebih seperti sebuah pembelajaran untuk betul-betul faham apanya Peranakan dan apakah budaya menjadi Peranakan. Saya nak kena betul-betul faham apanya yang membuat seorang Peranakan," kata Munah, 34 tahun.

Selain berlakon, beliau juga akan mencabar dirinya untuk bernyanyi dalam pementasan itu.

Bahkan, pengalamannya itu telah memberinya keyakinan untuk mengasah lagi bakat nyanyiannya.


"Saya ingin mahu cuba menyanyi tetapi belajar menyanyi. Dalami lagi dan mungkin mengambil kelas-kelas (vokal)," kata Munah, yang buat masa ini juga sibuk menjadi antara pengacara rancangan Talking Point di CNA.

'Mari Kita Main Wayang' berlangsung dari 17 hingga 19 November ini di Teater Dermaga Singtel di Esplanade.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan