Skip to main content

Singapura

BERITA+: Makin ramai wanita diperkasa bukan saja tunggang motosikal bahkan mahir selenggara

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 07 Jun 2026 07:50PM Dikemas Kini : 13 Jul 2026 01:20PM
SINGAPURA: Sudah empat tahun sejak Putri Azman, 29 tahun, memperoleh lesen motosikalnya sebelum beliau menaik taraf kepada lesen Kelas 2.

Beliau yang bertugas sebagai pakar pemasaran dan acara, bukan sahaja aktif menunggang di Singapura malah turut menunggang di luar negara seperti Malaysia, China dan Jepun.
Related article image
Putri Azman menunggang motosikal di Kamakura, Jepun. (Gambar: Putri Azman)
Meski semakin ramai wanita menceburi dunia motosikal Putri mengakui stereotaip terhadap penunggang motosikal wanita masih lagi wujud.

“Cabaran utama yang saya hadapi ialah stigma masyarakat. Saya rasa ada yang masih rasa yang wanita itu tidak sesuai dengan bidang motosikal. Mereka rasa kami ini tidak kuat atau kami terlalu feminin," luahnya kepada wartawan Syazwani Sanep.

Bagi Putri, membuktikan kemampuan sebagai penunggang wanita turut memerlukannya untuk memahami selok-belok penjagaan dan penyelenggaraan motosikal.
Related article image
Putri Azman menunggang motosikal Triumph Speed Twin 900cc. (Gambar: Putri Azman)
Namun begitu, Putri akur bahawa mendalami aspek penyelenggaraan motosikal bukanlah sesuatu yang mudah, meskipun beliau sudah beberapa tahun menunggang motosikal, apatah lagi motosikal berkuasa tinggi.

"Apa yang memberi cabaran untuk saya memahami tentang penyelenggaraan motosikal ialah kerana motosikal ada banyak komponen. Ada minyak enjin. Ada cecair 'coolant' dan banyak aspek lain," jelas Putri.

BENGKEL PENYELENGGARAN MOTOSIKAL KHAS BAGI WANITA 'RUANG SELAMAT'

Menyedari keperluan itu, bengkel penyelenggaraan motosikal khusus bagi wanita anjuran Atan Motoring kini menjadi platform penting untuk memperkasa penunggang motosikal wanita.
 
Related article image
Para peserta berpeluang melakukan tampalan tayar bocor secara ‘hands-on’. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syazwani Sanep)
Peserta diajar asas pemeriksaan motosikal sebelum tunggangan termasuk memeriksa tekanan tayar dan brek, menukar tayar dan membaiki tayar pancit.

Pengarah Atan Motoring, Kenneth Tan Yong Wei juga akur bahawa masih wujud tanggapan bahawa wanita tidak mahir dalam aspek teknikal motosikal.
Related article image
Pengarah Atan Motoring, Kenneth Tan Yong Wei. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syazwani Sanep)
“Ramai beranggapan wanita tidak boleh melakukan kerja teknikal atau kerja 'hands-on' tetapi sebenarnya banyak perkara asas yang boleh dipelajari semua orang,” katanya.

Beliau turut mengakui suasana bengkel motosikal lazimnya boleh menjadi agak "menggerunkan" buat golongan wanita.

“Bengkel ini diwujudkan sebagai ruang selamat supaya mereka lebih yakin untuk menjaga motosikal sendiri,” tambahnya.
 
Related article image
Para peserta wanita saling menyokong antara satu sama lain sepanjang bengkel tersebut. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syazwani Sanep)
Sejak dimulakan awal tahun ini, tiga bengkel sedemikian telah dianjurkan buat hampir 30 peserta.

Yuran bagi bengkel selama sejam setengah itu diletakkan pada harga S$28.

Pesertanya pula kebanyakannya wanita dalam lingkungan usia 30-an hingga 40-an.

PERI PENTINGNYA BAGI SETIAP PENUNGGANG MOTOSIKAL PUNYAI PENGETAHUAN DALAM ASAS PENYELENGGARAAN

Menurut Encik Kenneth, kebanyakan peserta merupakan pelanggannya sendiri, memandangkan beliau sering menekankan kepentingan memahami asas penyelenggaraan motosikal kepada semua pelanggannya.

“Jika memandu kereta, besi melindungi tubuh tetapi apabila menunggang motosikal, tubuh pula yang melindungi besi. Sebarang kerosakan kecil boleh membawa kepada kemalangan serius, sebab itu pemeriksaan asas sangat penting,” tekan Encik Kenneth.
Related article image
Antara peserta yang menyambut baik bengkel khas sedemikian ialah Nur Ain Natasha Ghazali, yang sudah mempunyai tiga tahun pengalaman menunggang motosikal. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syazwani Sanep)
Antara peserta yang menyambut baik usaha mengadakan bengkel khusus sedemikian ialah Nur Ain Natasha Ghazali, 27 tahun, yang sudah mempunyai tiga tahun pengalaman menunggang motosikal.

Beliau terdorong untuk menyertai bengkel tersebut kerana sering berasa kurang yakin apabila berurusan di bengkel motosikal.

“Kadangkala mekanik memandang saya seolah-olah saya tidak tahu apa-apa tentang penyelenggaraan motosikal. Bengkel ini membantu saya menjaga motosikal dengan lebih baik supaya ia tidak cepat rosak,” katanya.
Related article image
Cahaya Puteri Mohd Jufri merupakan salah seorang daripada peserta bengkel penyelenggaran motosikal anjuran Atan Motoring itu. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syazwani Sanep)
Seorang lagi peserta yang dapat meraih manfaat daripada bengkel itu ialah Cahaya Puteri Mohd Jufri.

“Saya dapat mempelajari pelbagai aspek asas mengenai motosikal dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran orang ramai kerana pengetahuan ini amat penting ketika menggunakan jalan raya,” ujarnya.

Atan Motoring merancang untuk terus menganjurkan bengkel sedemikian pada masa akan datang.

KOMUNITI MOTOSIKAL WANITA KIAN BERKEMBANG; BINA SEMANGAT KEBERSAMAAN

Dalam dunia motosikal yang lazimnya sinonim dengan kaum Adam, komuniti motosikal wanita seperti Tippie Toes Club semakin berkembang sebagai wadah penting untuk membina semangat kebersamaan dan sokongan sesama penunggang wanita.
 
Related article image
Tippie Toes Club, sebuah komuniti motosikal wanita tempatan yang bermula dengan hanya lapan anggota, kini mempunyai lebih 400 ahli. (Gambar: Putri Azman)
Pandangan itu turut dikongsi Putri yang merupakan antara anggota terawal Tippie Toes Club.

Sejak ditubuhkan pada Mei tahun lalu, Tippie Toes Club yang bermula dengan hanya lapan anggota itu, kini mempunyai 444 anggota.

Setiap bulan, mereka akan berkumpul untuk menunggang bersama sambil meneroka lokasi baharu di sekitar Singapura.

"Tak kiralah kalau baru lulus lesen atau dah punya pengalaman bertahun-tahun, kami sebagai komuniti selalu membantu satu sama lain. Jadi, kita kongsi tips atau kita selalu memberi sokongan. Jadi, ia adalah ruang menjadikan penunggang motosikal wanita lebih yakin," jelas Putri.

LEBIH SEKADAR TUNGGANG MOTOSIKAL, WANITA PERLU BUKTI KEMAMPUAN, TEPIS STIGMA

Bagi kaum Hawa, dunia motosikal lebih daripada sekadar tentang kemahiran menunggang atau menyelenggara kenderaan itu.

Ia sebaliknya, memerlukan mereka untuk membuktikan kemampuan mereka dalam dunia yang masih didominasi lelaki itu.
 
Related article image
Putri Azman giat menimba pengalaman menunggang motosikal di luar negara, termasuk di China. (Gambar: Putri Azman)
"Bila saya menunggang motosikal, ia memberi saya keyakinan kepada diri saya sendiri, membuat saya lebih berdikari dan memberi saya kepercayaan yang walaupun perkara itu sukar, ia tidak mustahil," kongsi Putri.

Keyakinan yang berdasarkan pengetahuan dan pengalaman ini juga boleh membantu menjaga keselamatan pengguna jalan raya secara amnya tanpa mengira jantina mahupun stereotaip.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita