Skip to main content

Singapura

BERITA+: 'Lights, Camera, Action 2.0' - peluang peminat kenali bintang Studio Jalan Ampas secara dekat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Walaupun Studio Jalan Ampas sudah 56 tahun melabuhkan tirainya, minat terhadap tapak yang pernah menjadi pusat perfileman Melayu itu tetap tinggi.

Ramai yang masih berminat untuk menggali sejarah perfileman yang pernah berkembang di Singapura pada suatu ketika dahulu.

No. 8 Jalan Ampas - bak institusi perfileman Melayu era 50-an, 60-an. (Gambar: Roslinda Rahmat)

Pada 7 September lalu, lebih daripada 120 orang, 25 peratus daripadanya terdiri daripada selebriti, ahli akademik, dan peminat tegar dari Malaysia, mengunjungi tapak bersejarah tersebut untuk acara 'Lights, Camera, Action'.



STUDIO JALAN AMPAS TERUS TARIK MINAT ORANG RAMAI

Bangunan-bangunan bersejarah di Nombor 8, Jalan Ampas pernah berdiri megah dan menjadi saksi kepada zaman kegemilangan filem Melayu dan melahirkan banyak legenda layar perak.


Kini, hanya beberapa seniwati veteran yang masih tinggal.


"Peluang itu bukan selalu kita dapat sebab Jalan Ampas ini adalah hartanah milik peribadi, tempat yang agak tertutup. Untuk masuk, perlu buat permohonan dan sebagainya. Jadi apabila saya dapat peluang untuk buat acara Lights, Camera, Action di Jalan Ampas itu, saya rasa itu satu peluang yang agak berharga untuk sesiapa yang membeli tiket untuk datang meraikan acara pada Sabtu 7 September.

Mereka bukan sahaja meraih pengetahuan daripada para seniwati yang hadir tetapi juga dapat mengimbas kenangan tentang filem-filem, di mana tempat ini pernah dijadikan satu institusi perfileman Melayu," kongsi Cik Siti Aminah Ismail, Penganjur 'Lights, Camera, Action' & Pengasas Wadah Seni Entertainment kepada wartawan Roslinda Rahmat.


Walaupun zaman kegemilangan P Ramlee sudah lama berlalu, peminatnya masih tetap setia.

Baru-baru ini, seramai 50 peminat dari MAEC Kelab Masyarakat Frontier enggan terlepas peluang untuk menyertai lawatan berpandu ke beberapa lokasi penggambaran filem-filem popular Allahyarham P Ramlee yang terletak berdekatan Studio Jalan Ampas.

"Kita juga adakan Jejak Warisan ataupun berjalan-jalan di sekitar Jalan Ampas sendiri di mana saya tunjukkan di mana jambatan Madu Tiga, di mana perkampungan Boon Teck Road yang pernah menjadi perkampungan artis-artis. Banyaklah sejarah-sejarah yang kita kongsi," ujar Ukhti Aminah.


PERKONGSIAN TIGA SENIWATI UNDANGAN

Acara "Lights, Camera, Action" anjuran Wadah Seni Entertainment berjaya menarik lebih daripada 120 peserta berbayar.

Kemuncak acara adalah sesi perkongsian bersama pelakon-pelakon terkenal daripada era P Ramlee, termasuk Seniwati Zaiton, K Fatimah, dan Norlia Ghani, yang datang dari Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga mereka pernah memenangi gelaran Ratu Cantik dan Ratu Kebaya sebelum dipilih pada usia muda, sekitar 16 atau 17 tahun, untuk menjadi pelakon di bawah bimbingan P Ramlee.

Cik Norliah turut berkongsi tentang bagaimana nama anak sulungnya, serta dua lagi karyawan yang melahirkan anak sekitar waktu yang sama di Merdeka Films, Kuala Lumpur, diambil daripada nama "Rushdi" yang diilhamkan oleh P Ramlee.

"Sebagai salah seorang artis yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee selepas saya memenangi gelaran Ratu Cantik, Tan Sri merupakan salah seorang panel juri yang mengadili peraduan tersebut. Beliau kemudian menawarkan saya peluang untuk menjalani sesi uji bakat," kata Cik Norliah.

"Dulu dipanggil 'screen test', bukan? Jadi saya pergi 'screen test' pada sebelah pagi dan pada sebelah petangnya terus buat penggambaran. Waktu itu memang amat diperlukan 'orang-orang baharu'. Jadi saya bernasib baik mendapat arahan daripada Tan Sri. Saya masih ingat, dia kata apabila kita berlakon, kita perlu jujur dan ada jiwa. Skrip boleh dibaca oleh sesiapa sahaja, tetapi kita sendiri perlu memahami dan memasukkan penghayatan serta perasaan sewaktu berlakon," kongsi Cik Norlia, 76 tahun, kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Selain peminat tempatan dan golongan muda, 25 peratus daripada hadirin acara "Lights, Camera, Action" terdiri daripada pelawat dari Malaysia.

Dalam kalangan mereka adalah personaliti media dari Kuala Lumpur yang sanggup menaiki bas melintasi sempadan untuk berpeluang bertemu secara langsung dengan Seniwati Zaiton, yang mereka kagumi.

"Ini pertama kali saya menjejak kaki ke Studio (Jalan Ampas) kerana setiap kali lalu di depan pintu, gate hijau sentiasa tutup. Hari ini, saya sangat gembira. Dari jam enam pagi selepas Subuh, saya terus memandu hingga ke Johor Baharu. Saya letakkan kereta di sana dan naik bas untuk sampai ke sini. Saya rasa macam hendak menangis – kerana berjumpa dengan Seniwati Zaiton adalah antara figura yang saya memang sangat ingin jumpa," ujar Farah Fauzana Mohd Fadzil, selebriti dari KL, Malaysia.

Ada juga peminat dari Selangor yang begitu teruja sehingga mereka membuat tanda nama sendiri sebagai lambang penghargaan, semangat, dan kesyukuran.

"Sudah empat tahun saya mengikuti media sosial Wadah Seni Entertainment untuk cuba menyertai acara seperti 'Lights, Camera, Action'. Perjalanan lebih kurang tujuh jam. Dari pukul 10 malam, saya sampai di sini pukul 4 pagi. Saya singgah di Skudai dan tidur di situ, kemudian saya bertemu profesor tersebut. Kami berjumpa di hotel, dan dia membawa saya ke sini."

(Gambar: Roslinda Rahmat)
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita