Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+ LASALLE40: Maktab Seni LASALLE lahirkan seniman silang seni dengan 'faktor X'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan sejarah 40 tahun, Maktab Seni LASALLE, yang diasaskan pada 1984 oleh mendiang Brother Joseph McNally, terus menjadi peneraju seni dan pendidikan kreatif di Singapura.

Diiktiraf sebagai institusi seni khusus tertinggi di Asia Tenggara oleh QS World University Rankings 2024, LASALLE menawarkan 35 program seni dan reka bentuk, dari diploma hingga pos-siswazah.

Persekitarannya yang menyokong dan silang disiplin membimbing generasi kreatif masa depan melalui fakulti bertaraf dunia.

Bagaimana nilai-nilai yang dipupuk oleh LASALLE berjaya melahirkan seniman pemenang anugerah seperti seniman tembikar Ahmad Abu Bakar, guru genderang Riduan Zalani, seniman elektronik Adi Yadoni, dan ramai lagi dari pelbagai genre?

LAHIRKAN SENIMAN DENGAN FAKTOR 'X'

Muhammad Al-Hafiz Hosni adalah seorang seniman serba boleh yang yang menggabungkan tari tradisional dan kontemporari, sekaligus memberi nafas baru dalam dunia teater dan bangsawan.

Dengan jiwa yang berani dan suara yang lantang, Muhammad Al-Hafiz Hosni mencabar norma seni dengan penuh perwatakan.

Jejaka peramah dan penuh keyakinan itu mempunyai gaya unik yang membezakannya daripada rakan seangkatan daripada institusi seni yang lain.

"Nilai-nilai LASALLE – keberanian, kelincahan, kecemerlangan, kolaborasi, dan juga penglibatan. Kami digalakkan untuk berani bersuara dan saya rasa itu yang membuat saya sedikit berbeza," jelas Hafiz yang meraih ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Teater Muzikal dari Maktab Seni LASALLE pada tahun 2021.

Seperti Hafiz, Mohammed Zulkarnaen Othman (Zul), atau lebih dikenali dengan nama seninya, ‘Zero', turut mewarnai dunia seni dengan keistimewaan tersendiri.

Seniman bandar itu telah lama mengukir nama dalam seni jalanan.

Zul, graduan Sarjana Muda (Kepujian) Seni Halus pada 2008, mengenang pengalamannya di LASALLE sebagai transformasi penting dalam kerjayanya.

Beliau kini memberi impak besar kepada generasi baharu sebagai pensyarah seni halus di maktab tersebut.

"Banyak membuka minda saya dan membina pengetahuan saya terhadap jaluran-jaluran seni halus yang lain seperti seni kontemporari, seni seramik dan mengongsi pengalaman saya sebagai seorang seniman muda kepada pensyarah-pensyarah saya juga. Dan ini adalah pelajaran yang lebih dari sehala."

Zul merupakan satu-satunya seniman grafiti yang memenangi Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada tahun 2013.

"Salah satu karya yang saya ingin dedikasi kepada LaSalle adalah “Dekat di Mata, Jauh di Hati”. Sebuah mural di Joo Chiat yang saya lukis pada, 2022 untuk 'Festival Art Walk', sebagai suatu komentari, untuk mengetahui dan mengamati peredaran masa," luahnya.

Seperti Zul, Hafiz turut mengembangkan seninya dalam pelbagai bidang.

Beliau juga melibatkan diri dalam banyak kolektif seni untuk memberi peluang kepada seniman muda.

"Pengajaran yang masih saya pegang: 'Tidak ada watak yang kecil, cuma pelakon yang kecil'. Maksudnya, sebab ramai pelakon muda inginkan watak yang utama kerana dapat merasa penting."

Bagi Hafiz, pendidikan seni lebih daripada sekadar pengajaran.

Ia adalah cara untuk mengubah persepsi dan memperkasa generasi baharu.

"Saya dapat menjadi seorang yang lebih empatetik. Cogan kata LaSalle ‘Has It’ juga membentuk saya yang memang begitu 'ekstra'. Maksudnya lebih ‘lantang’, lebih peramah dan berani untuk bersuara. Dan saya rasa itu yang membuat saya berbeza sedikit dari teman-teman seni dari sekolah lain," ujar Hafiz kepada wartawan Roslinda Rahmat.

HIDUPKAN NILAI-NILAI MURNI, BENTUK SENIMAN BERBUDI

Hafiz terus mempelbagaikan bakatnya dengan menceburi tarian tradisional dan menggiatkan seni bangsawan.

Namanya pernah menjadi viral ketika mempersembahkan tarian asli Melayu lengkap berbaju kurung di tengah-tengah Times Square, New York.

"Salah satu cara saya menyumbang semula adalah dengan menonton persembahan-persembahan adik-adik kelas di sekolah saya, kerana dari situ saya dapat melihat seniman-seniman muda yang saya ingin berkolaborasi bersama dan juga ingin membuka ruang atau membina peluang untuk kerjasama," kongsinya.
Selain itu, Hafiz bangga mengangkat nama alma maternya setiap kali berpeluang membuat persembahan profesional.

"Apabila saya dapat membuat persembahan yang profesional di luar, saya akan selalu mengatakan yang saya ini adalah seorang alumni LaSalle kerana saya bangga," tambahnya.

Tidak cukup dengan itu, kedua-dua Hafiz dan Zul turut membina platform untuk membantu seniman lain berjaya melalui kolektif yang mereka asaskan.

Zul, misalnya, mengasaskan RSCLS, sebuah gerakan yang memajukan seni bandar di Singapura, diikuti dengan SOLIDARITY 21 tujuh tahun kemudian.

Kolektif itu menghubungkan seniman jalanan dari 21 negara melalui simposium dan perkongsian pengalaman.

"Saya ingin membawa seni ke ruang awam. Penting untuk saya mengongsi pengalaman saya sebagai seorang seniman selama 22 tahun kerana saya telah banyak belajar daripada pengalaman saya sendiri, dari segi ekonomi, pengurusan kerjaya, interaksi dengan seniman lain, kurator, dan orang awam. Mereka yang saya temui sewaktu melukis di jalanan sering tidak mengunjungi galeri atau muzium," jelas Zul.

Pada 2023, Zul melukis mural di sebuah bangunan di Dotonbori, Osaka dengan kerjasama seniman dari India, Vietnam, Malaysia, dan Jepun.

"Prospek seni jalanan sekarang adalah lebih banyak lagi kerana di merata dunia kita boleh melihat festival-festival seni jalanan di Eropah, di Amerika Selatan, di Amerika dan juga di rantau Asia. Semua ini bukti bahawa seni jalanan akan lebih berkembang lagi dalam beberapa tahun. Di kota Singapura pun kini kita dapat lihat mural-mural di merata estet kejiranan. Karya saya juga dapat dilihat di Jurong, di Teluk Blangah dan merata Singapura," kongsi beliau

Pada 2024, karyanya dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran seni Kementerian Pendidikan (MOE) lantas memberi peluang baginya untuk berkongsi ilmu di maktab, sekolah menengah, dan sekolah rendah.

"Pada Ogos 2025, saya akan berada di Tokyo untuk mempamerkan karya saya, mengendalikan sebuah festival sub-budaya di Osaka. Kebanyakan seni itu dari naratif Barat dan saya ingin memperjuangkan naratif dari rantau ini. Dan pada bulan Januari nanti, kumpulan kolektif saya, RCLS akan mengendalikan Pesta Seni Bandar Aliwal, sebuah festival seni jalanan. Saya lebih cenderung untuk berkolaborasi dengan teman-teman dan seniman-seniman muda juga kerana ini akan memberi peluang yang lebih baik dan ia akan mengembangkan seni jalanan, bukan sahaja di Singapura, tetapi buat rantau ini juga," dedah Zul.

Hafiz pula giat membina ruang untuk seni melalui dua kolektif yang ditubuhkan bersama rakan-rakan seni.

"Kami ingin membantu mencari tempat berlatih, mengongsi pengalaman, pelajaran dan juga tempat untuk kami mendapat penghasilan dari mengajar ataupun membuat persembahan.

"Untuk dunia tari Melayu, kolektif itu dinamakan Kolektif Penari Berdikari Singapura. Untuk teater muzikal pula dinamakan ‘Theatrazz’, singkatan bagi Theatre Jazz; di mana kami ingin menolong untuk mengukuhkan lagi ‘wajah’ tari dalam teater muzikal, kerana saya rasa teater muzikal di Singapura lebih mementingkan kemahiran nyanyian dan lakonan. Saya ingin lihat lebih banyak muzikal-muzikal di Singapura yang menonjolkan tarian-tarian yang lebih mencabar lagi," kongsi Hafiz.

Sambutan 40 tahun LASALLE terus memberi inspirasi, dengan kemuncaknya pada April 2025.

Seiring dengan sambutan itu, maktab seni itu akan meraikan kejayaan 20 tahun program Sarjana Muda (Kepujian) Teater Muzikal, yang melahirkan karyawan seni seperti Muhammad Al-Hafiz Hosni.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan