Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Lapangan Terbang Changi jadi 'port' pilihan keluarga, warga emas

Hampir setiap minggu, adik beradik dan ipar duai Encik Omar Mohd Anuar akan berkumpul di Terminal 3 (T3) Lapangan Terbang Changi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir setiap minggu, adik beradik dan ipar duai Encik Omar Mohd Anuar akan berkumpul di Terminal 3 (T3) Lapangan Terbang Changi.

Lokasi itu sudah jadi semacam 'port' sembang mereka sekeluarga.

Setiap kali berjumpa, mereka akan meluangkan masa di antara empat hingga lima jam.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Ini juga bagi mengeratkan lagi silaturahim mereka dan dapat teruskan tradisi keluarga.

"Masa arwah bapa dan emak masih ada pun, kita berkumpul tapi bila arwahnya sudah tidak ada, jadi kita berbincang adik beradik dan mencadangkan untuk berkumpul di lapangan terbang. Kadang-kadang kita pun terjumpa saudara-mara di sini. Baharu tadi saya jumpa adik sepupu saya," kata Encik Omar, 70 tahun kepada wartawan Syawal Yusoff.

Encik Omar menambah, ia juga lebih mudah bagi mereka untuk ke sana kerana hampir kesemua adik beradik dan ipar duainya menetap di kawasan timur Singapura.

DATANG KE LAPANGAN TERBANG SETIAP MINGGU SEJAK OKT 2022

Namun, jarak tempat tinggal bukan penghalang bagi ramai keluarga Melayu berkumpul di Lapangan Terbang Changi bagi meluangkan masa bersama.

Ini termasuk sebuah lagi keluarga yang ditemui BERITA Mediacorp iaitu keluarga Encik Yahya Samsuri, 66 tahun sekeluarga yang menetap di Bishan.

Meskipun perlu menempuh perjalanan sekitar sejam untuk ke sana, beliau tetap membawa isteri, anak dan cucu-cucunya sekitar lapan anggota ke Lapangan Terbang Changi setiap minggu sejak lebih setahun yang lalu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Keselesaan serta lebih 20 makanan halal yang ditawarkan di T3 juga menjadi tarikan keluarganya.

Bagi Encik Yahya yang bertugas sebagai pemandu kereta sewa privet, T3 membolehkannya mengimbangi masa bersama keluarga dan menjalankan tugas.

"Kalau ada masa lapang dalam seminggu sekali atau seminggu dua kali, sebulan sekali. Tidak tentu, tengok keadaan kerja saya. Kalau ada masa lapang, sentiasa saya bawa anak cucu saya datang sini. Saya tinggalkan mereka di sini dan selepas saya bekerja saya ambil mereka balik di sini. Saya tinggalkan mereka di sini untuk beristirahat, makan-makan dan jaga cucu-cucu," kata Encik Yahya.

Si cilik juga tidak merasa bosan kerana terminal itu turut menawarkan pelbagai pilihan bagi menghiburkan mereka seperti beberapa taman permainan dan pameran interaktif.

"Selalu makan dulu dan selepas makan, saya akan pergi main dekat taman permainan. Saya suka datang sini (taman permainan) kerana boleh buat kawan baru," kata Muhammad Khydir Muhammad Faisal, 12 tahun, cucu pertama Encik Yahya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Di dalam taman berbayar, ibu bapa juga tidak perlu bimbang untuk membiarkan anak-anak mereka seronok bermain kerana terdapat kakitangan untuk bantu awasi si cilik.

"Selalunya mereka bermain, kita akan rehat dekat tepi sementara menunggu mereka dan menjaga mereka," kata anak bongsu Encik Yahya, Siti Fayyadhah Yahya yang mempunyai tiga orang anak.

KEGIATAN LASAK; DIGITAL DAN MAKANAN 24 JAM, SEMUANYA DI T3

Selain aktiviti yang khusus buat kanak-kanak, terdapat juga kegiatan yang lebih lasak yang boleh dinikmati seisi keluarga.

Ini merupakan usaha Lapangan Terbang Changi menarik bukan sahaja pelancong tapi juga pengunjung dalam negara.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Antara usaha itu termasuk terus memperkenalkan tarikan baharu bagi memberi kesegaran.

Ini seperti permainan digital Pokémon di ruang permainan di aras B2 yang baharu sahaja dibuka.

Dengan sekitar 10 stesen, tarikan Pokémon Ga-Olé di T3 juga merupakan antara cawangan permainan itu yang terbesar di seluruh Singapura!



Selain tarikan pengunjung, aspek Makanan dan Minuman (F&B) juga diutamakan.

Menurut jurucakap Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), jumlah tempat makanan halal di semua terminalnya meningkat 20 peratus sejak 2019.

Secara keseluruhan, terdapat sebanyak 38 tempat makanan halal di keempat-empat terminal Lapangan Terbang Changi.

Pilihan yang pelbagai itu menarik pengunjung seperti Cik Farhanah Muhammad Khairuddin yang kerap membawa anak-anak buahnya untuk beriadah di Changi.

"Saya rasa nak cari makanan halal itu mudah. Ia tidak sukar. Kalau kita tidak makan di lapangan terbang, kita pergi ke Jewel. Jadi mudah untuk kita pergi ke satu tempat ke satu tempat yang lain," katanya.

Selain aktiviti, tayangan filem, persembahan nyanyian 'live' dan pertunjukan silap mata juga turut disajikan setiap hujung minggu di sebuah kawasan bernama 'ST3PS'.

WARGA EMAS JUGA TIDAK MAHU 'KETINGGALAN' DENGAN PERKEMBANGAN BAHARU

Tarikan di T2 tidak kurang menarik.

Sejak dibuka semula pada 1 November 2023, terminal itu dibanjiri pengunjung dalam dan luar negara yang terpesona dengan pelbagai daya tarikan yang ada di sini.

Ini termasuk tarikan 'Flap Pix' yang diperbuat daripada papan selak yang pernah menjadi lambang terminal ini satu ketika dahulu.



Selain itu, ramai juga yang tidak mahu terlepas menyaksikan 'air terjun' digital dipanggil 'The Wonderwall'.

Setinggi empat tingkat, ianya antara tarikan terbaharu untuk sentiasa memberikan pengalaman istimewa buat para pengunjung.

Antara pengunjung yang teringin sangat untuk menyaksikan sendiri dan bergambar depan 'air terjun' itu ialah warga emas dan pesara seperti Cik Rumini Joyosumrrto.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya nak tengok air terjun yang baharu ini. Pada masa yang sama pun kadang-kadang kita dah warga emas kan, kita pun nak 'kemas kini' minda kita. Kadang-kadang sini ada (tarikan) baharu, jadi kita sikit-sikit nak belajar juga," kata Cik Rumini yang ke sana bersama teman-teman yang seusia dengannya.

Baginya, ini juga cara untuk kekal aktif secara fizikal dan sosial.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan