Skip to main content

Singapura

BERITA+: Lain daripada yang lain... Masjid Al-Istiqamah anjur 'HIIT Workout' sebagai program Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Setiap kali Ramadan menjelma, pasti masjid-masjid sibuk menganjurkan pelbagai acara keagamaan mahupun inisiatif-inisiatif kebajikan sebagai santapan rohani.

Masjid Al-Istiqamah bagaimanapun menganjurkan satu program Ramadan yang jarang-jarang kita dengar diadakan di mana-mana masjid di sini, iaitu sesi 'HIIT Workout' atau senaman intensiti tinggi!

Kegiatan ini memerlukan seseorang melakukan beberapa set senaman seperti lompat tali, tekan tubi dan angkat berat. Bayangkan diri anda berulang kali melakukan senaman berat lagi memenatkan sebegini dalam keadaan berpuasa. Pasti mencabar!

Senaman intensiti tinggi dijalankan di bumbung bangunan masjid. 

Apa pun Masjid Al-Istiqamah sudah mula menjalankan program dipanggil Ramadan Workout itu sejak 5 April lalu - setiap Selasa dan Khamis sepanjang bulan Ramadan, dari jam 6.00 petang, di bahagian bumbung bangunan masjid.

MATLAMAT UTAMA INISIATIF INI DIJALANKAN SEBENARNYA...

Pasti ada yang tertanya-tanya... Mengapa pihak masjid sanggup mengadakan kegiatan seperti ini?

Sebenarnya, Ramadan Workout di Masjid Al-Istiqamah adalah cetusan idea yang dianjurkan sendiri oleh sekumpulan relawan belia yang dikenali sebagai 'Arrijal Youth'.

Ini kali pertama mereka menganjurkan sesi senaman intensiti tinggi pada bulan Ramadan dan sebagai permulaan, mereka hanya membuka program ini kepada belia lelaki berusia antara 16 hingga 25 tahun.



"Matlamat kami sebenarnya adalah untuk menarik belia untuk dekatkan diri dengan masjid. (Bila di sini), kami ingin didik mereka mengamalkan gaya hidup sihat sambil menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka. Misalnya tidak mudah putus asa (perseverance) seperti yang diperlukan semasa senaman ini," jelas Pegawai Pembangunan Belia Masjid Al-Istiqamah, Encik Muhammad Hafiz Mohd Yusof.

Setiap sesi dikendalikan Encik Hafiz sendiri yang berpengalaman sebagai jurulatih peribadi di gim.



Ditanya pula mengapa senaman intensiti tinggi dipilih sebagai jenis latihan jasmani bagi programnya, ini penjelasan lanjut Encik Hafiz:

"Senaman HIIT ini lebih banyak bakar kalori berbanding senaman-senaman yang lain dan ia juga dijalankan dalam jangka masa yang pendek, seperti 10 minit hingga 30 minit. Jadi senaman yang pantas ini, golongan belia biasanya suka."

LEPAS BERSENAM, BUKA BERSAMA & TARAWIH

Jika direnungkan dengan lebih mendalam, mengadakan program senaman di masjid mempunyai banyak manfaat lain.

Sebagai contoh, para belia yang mengikuti Ramadan Workout dapat juga memperluaskan lagi jaringan sosial masing-masing.

Para peserta 'Ramadan Workout' Masjid Istiqamah selepas bersenam bersama-sama. 

"Bila kita bersama di dalam masjid, kita dapat mengeratkan lagi silaturahim antara para belia sebab para peserta kami dari latar berbeza-beza. Ada sekolah di ITE, ada yang sekolah di politeknik, dan mereka dapat bergaul antara satu sama lain," kata Encik Hafiz.

Seorang peserta Ramadan Workout malah berkongsi bersama BERITAmediacorp, beliau merebut peluang untuk berbuka puasa dan bertarawih dengan rakan-rakan senaman di masjid selepas sama-sama selesai bersenam.



"Ini adalah kali pertama saya dengar tentang program senaman di dalam bulan Ramadan, lagi-lagi di dalam masjid ini. Lepas itu kita boleh solat maghrib dan juga solat tarawih insyaAllah," kata Muhammad Shaqil, 19 tahun.

Rakan sebayanya, Muhammad Sofian, tumpang sekaki berseloroh bahawa kegiatan memerah keringat menjadikan pengalaman di masjid lebih menyeronokkan.



"Saya secara peribadi rasa pada Ramadan, banyak yang ingin dilakukan. Jadi berada dekat dengan masjid membuat saya lebih bersemangat untuk beribadah, bersenam, berbual dan berseronok dengan rakan-rakan," luah Sofian.

MUNGKIN DIPERLUASKAN KEPADA MUSLIMAH JIKA ADA PERMINTAAN

Menurut Encik Hafiz, kumpulan 'Arrijal Youth' sudah menerima kira-kira 10 pendaftaran bagi Ramadan Workout pada minggu pertama ia dianjurkan.

"InsyaAllah kalau ramai lagi belia yang meminati program ini, kami akan teruskan. Bukan sahaja kepada Muslimin, mungkin kepada Muslimah," ujarnya.

Program ini jelas beliau, dianjurkan buat belia lelaki dahulu memandangkan ada dalam kalangan mereka diketahui ingin mempersiapkan diri sebelum menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

(Gambar: @arrijalyouth/Instagram)

Oh ya, jangan sangka 'HIIT Workout' satu-satunya program anjuran kumpulan belia Masjid Al-Istiqamah ya.

Ia juga mengusahakan inisiatif kebajikan lain seperti projek mengumpul dana untuk mengagihkan habuan kepada keluarga-keluarga memerlukan di sekitar kawasan Serangoon.

Arrijal memang cukup berpengalaman dalam daya usaha sebegitu. Kumpulan itu sudah bergerak aktif di Masjid Al-Istiqamah sejak sekitar 20 tahun lalu.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita