Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Kursus Bahasa Melayu kian popular di pusat-pusat pembelajaran bahasa

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kursus Bahasa Melayu kian mendapat sambutan di pusat-pusat pembelajaran bahasa di sini. 

Malah di beberapa pusat itu yang ditinjau BERITAmediacorp, kursus Bahasa Melayu adalah antara yang mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan peserta bukan Melayu. 

TAK KENAL, MAKA 'SUSAH NAK BERCERITA'

Warga Amerika Syarikat, Encik Randy Baker, 47 tahun dilahirkan dan dibesarkan di Singapura.

Oleh kerana dibesarkan di sini, Encik Baker sudah terbiasa dengan budaya Singapura yang berbilang kaum dan budaya dan boleh bertutur 'sikit-sikit' dalam Bahasa Melayu.

"Bapa saya fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan selainnya yang saya tahu adalah berdasarkan pengalaman saya," kata Encik Baker.

Encik Baker kembali ke Singapura untuk melawat ibu bapanya dan mengambil kesempatan itu juga untuk mengasah pengetahuannya dalam Bahasa Melayu. 

"Saya memang cintakan Bahasa Melayu dan saya cintakan budaya Melayu," tambahnya.

Bagi Penerbit Teater dan Pengarah ini juga, usaha Encik Baker itu juga didorong oleh sebuah projek pementasan yang bakal beliau usahakan apabila pulang ke Amerika Syarikat nanti.

"Sebenarnya saya dalam proses mengadaptasikan sebuah pementasan berdasarkan hikayat Hang Tuah untuk penonton warga Amerika. Anda tidak boleh menceritakan kisah Hang Tuah tanpa mengetahui lebih lanjut tentang bahasa itu," kongsi Encik Baker, yang yang menerajui syarikat teater,  Rorschach Theatre di Amerika Syarikat.

Demikian yang membulatkan tekad Encik Baker untuk mengikuti kelas pembelajaran bahasa Melayu di inlingua School of Languages. 

Di kelas yang dihadiri Encik Baker, terdapat empat lagi pelajar dewasa. 

Kebanyakan peserta merupakan warga tempatan dan golongan ekspatriat yang bekerja di sini. 

Ada yang dihantar oleh syarikat mereka, ada juga yang mendaftar secara sukarela.

Meski berbeza bangsa, kaum dan latar belakang, para pelajar itu mempunyai sebab tersendiri yang mendorong mereka untuk meluangkan masa lepas waktu kerja untuk mempelajari bahasa Melayu.

"Saya banyak berinteraksi dengan rakan-rakan sekerja dari pelbagai bangsa khususnya rakan sekerja Melayu. Jadi ia (Bahasa Melayu) berguna bila anda ada keupayaan dalam bahasa itu, ia memudahkan pengenalan dan menjadikan perhubungan lebih berkesan," kata Encik Victor Bay, Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Masyarakat PAP (PCF).

Selama dua jam untuk 10 minggu, para peserta kursus itu diajar perkara-perkara asas seperti memperkenalkan diri dan berinteraksi antara satu sama lain dengan bimbingan seorang guru bahasa Melayu.

Harga untuk kursus bagi setiap daripada tujuh peringkat yang ditawarkan daripada asas hingga lanjutan adalah antara S$350 hingga S$390.

KURSUS BAHASA MELAYU KIAN DAPAT PERMINTAAN, GURU-GURU BAHASA MELAYU DIPERLUKAN

Ditubuhkan pada 1972 dan merupakan antara pusat pembelajaran bahasa yang tertua di Singapura, inlingua School of Languages menawarkan kursus bagi 25 bahasa termasuk Arab, Cina, Perancis, Jepun, Jerman, Korea dan juga dialek seperti Kantonis dan Hokkien.

Dalam kalangan kesemua bahasa itu, kursus Bahasa Melayu mendapat permintaan yang paling tinggi di pusat itu sejak dua tahun lalu. 

"Bahasa Melayu membentuk 22 peratus atau lebih daripada profil pengajaran kami. Jadi jika difikirkan, dalam kira-kira 20 bahasa itu, suku daripadanya adalah Melayu sahaja," kata Pengarah Pengajian inlingua, Encik Christopher Driver.

Setakat ini, pusat itu mempunyai seramai 10 orang guru Bahasa Melayu. 

Ia berharap untuk meningkatkan tenaga pengajarnya bagi memenuhi permintaan para klien yang kebanyakan terdiri daripada syarikat-syarikat dan sektor awam.

"Jumlah guru-guru bahasa Melayu yang saya dapatkan sepanjang tahun lalu pada tahun lalu melebihi guru bahasa-bahasa lain. Kita masih terus mencari lebih ramai guru-guru bahasa Melayu dan menawarkan lebih banyak kelas-kelas separuh masa, untuk memenuhi lebih banyak permintaan projek-projek korporat," tambah Encik Driver.

Untuk bertutur dalam sesuatu bahasa dengan berkesan, para pelajar berlatih menggunakan bahasa itu dalam senario yang realistik.

Menurut Encik Driver lagi, pendekatan yang diambil dalam mengajar semua bahasa di pusat itu sebenarnya adalah sama.

Misalnya, teknik berlakon atau 'role-play' lebih banyak digunakan daripada mempelajari teorinya sahaja kerana ia lebih berkesan.

"Cara untuk belajar adalah untuk menghubungkan pembelajaran anda itu dengan dunia yang sebenar. Ini bermakna para pelajar banyak berbual sesama sendiri. Masa yang digunakan dengan pena dan kertas di dalam bilik darjah adalah sedikit sekali," jelas Encik Driver.

Menurutnya lagi, untuk betul-betul menguasai sesuatu bahasa itu, seseorang yang bersungguh-sungguh mungkin mengambil sehingga 400 jam. 

Namun sekiranya seseorang itu sekadar mahu berupaya bertutur dalam situasi harian, mungkin memerlukan 100 jam sahaja.

BELAJAR BAHASA MELAYU BANTU FAHAMI BUDAYA S'PURA 

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya, kita terdedah dengan bahasa-bahasa rasmi Singapura.

Wartawan BERITAmediacorp turun padang ke Orchard Road baru-baru ini untuk menanyakan kepada orang ramai apakah antara perkataan atau frasa dalam Bahasa Melayu yang mereka tahu.

Kebanyakan yang ditemui tahu perkataan dan frasa seperti 'makan' dan 'tidak tahu' menerusi pergaulan seharian mereka.

Perbendaharaan kata mereka mungkin terhad, namun sebilangan mereka yang ditemui terbuka dan berminat untuk pelajari bahasa kebangsaan Singapura. 

"Ia adalah bahasa Ibunda saya dan saya sudah lama menetap di luar negara dan saya tidak berapa fasih dalam bahasa ini," kata Zul, 24 tahun, seorang rakyat Singapura berbangsa Melayu yang menetap di Perth.

Seorang suri rumah bernama Janet, 50 tahun pula berpendapat 'mudah untuk baca dan tulis' dalam Bahasa Melayu kerana penggunaan abjad yang sama dengan bahasa Inggeris.

"Mempunyai keupayaan dalam satu lagi bahasa juga membantu untuk memahami budaya Singapura," kata Bryant, 28 tahun. 

KEUPAYAAN DALAM PELBAGAI BAHASA MUDAHKAN KOMUNIKASI

Sentimen itu turut dikongsi para pelajar di pusat pembelajaran bahasa Lingo School of Knowledge.

Di pusat itu pula, Bahasa Melayu merupakan kursus kedua paling popular daripada lebih 20 bahasa yang ditawarkan seperti Thai dan Sepanyol. 

Antara 100 pelajar yang sedang mengikuti kursus Bahasa Melayu di pusat itu ialah Cik Fiona Grace Freeman-Grundei, 23 tahun, seorang warga Amerika yang bekerja di sini.

Setelah lebih lima tahun menetap di Singapura, Cik Freeman-Grundei rasa terdorong untuk mempelajari bahasa Melayu. 

"Ia adalah bahasa kebangsaan Singapura dan saya mahu terus menetap di Singapura. Jadi saya rasakan ia adalah sesuatu bahasa yang penting untuk dipelajari," kata Cik Freeman-Grundei.

Setakat ini, beliau sudah mengikuti kursus Bahasa Melayu selama empat bulan.

Beliau yang juga fasih dalam bahasa Perancis dan Cina lebih suka cara mempelajari bahasa yang lebih tradisional dengan menghadiri kelas secara fizikal berbanding online.

"Ia memaksa saya untuk benar-benar belajar dan melakukan tugasan itu berbanding memuat turun aplikasi dan kemudian lupakannya dalam masa tiga minggu," tambahnya.

Begitu juga dengan Encik Keith Tan, 27 tahun, seorang warga tempatan.

"Sebagai seorang komander ROTA di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), kami berurusan dengan orang ramai daripada pelbagai latar belakang pada setiap hari. Jadi saya percaya mempelajari lebih banyak bahasa boleh membantu saya berinteraksi dengan mereka," kata Encik Tan.

Sejak mengajar di pusat itu sejak 2015, guru Bahasa Melayu, Cik Sara Mohamed berkata, beliau mengajar pelajar dari pelbagai latar belakang. 

"Ada yang dari sektor korporat. Kebanyakkan dari sektor perkhidmatan awam seperti guru, anggota polis, ahli bomba, ahli fisioterapi juga ada, doktor, pegawai kementerian seperti MINDEF dan MHA. 

"Contohnya pelajar dari sektor korporat, mereka mengambil kursus ini kerana mereka perlu berinteraksi apabila mereka berada di Malaysia. Bagi pelajar saya dari sektor perkhidmatan awam, mereka perlukan bahasa ini contohnya guru, mereka ingin berbual dengan ibu bapa pelajar mereka. Yang doktor pula, ingin mengetahui hal keadaan pesakit," kata Cik Sara.

Yang paling muda pernah beliau ajar berusia 8 tahun manakala yang tertua pula dalam lingkungan umur 60-an.

"Ramai pelajar saya yang mengatakan bahawa di antara banyak bahasa, Bahasa Melayulah yang paling mudah dipelajari," kata Cik Sara.

Pendekatan mengajar Bahasa Melayu di kedua-dua pusat tersebut serupa iaitu menerusi teknik latihan dan lakonan.

"Secara praktiknya kami berbual secara santai. Jadi kalau kecuali mereka datang ke kelas, memang untuk membuat hal-hal akademik. Jadi kalau begitu saya akan gunakan laras formal, laras rasmi, dan juga bunyi baku," jelas Cik Sara.

Melihat permintaan bagi kursus Bahasa Melayu di pusat itu, beliau yakin, minat dan permintaan untuk bahasa tersebut akan berterusan.

Buat masa ini, kursus Bahasa Melayu (Bahasa Thai adalah nombor satu) merupakan yang kedua paling popular di Lingo School of Knowledge. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa