Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+ Komedi muzikal 'Jodoh' WGS: Usaha membawa kembali komedi muzikal klasik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Komedi muzikal Melayu, yang pernah menjadi nadi seni persembahan Singapura, kini semakin jarang dipentaskan akibat kehilangan pelawak veteran tanpa pengganti.

Namun, pada 8 Februari lalu, 300 penonton di Joo Chiat Complex dihiburkan dengan pementasan 'Jodoh', karya pelawak tempatan Husin Saaban, yang dianjurkan oleh Wisma Geylang Serai.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyegarkan Jalur Budaya Geylang Serai, 'Jodoh' menampilkan Maiya Rahman, Raihan Husin, Hamzah Adon, serta bintang jemputan dari Malaysia, Ifa Raziah.
 
Di sebalik tabir: Ifa Raziah (peling kiri), Husin Saaban dan Hamzah Adon sewaktu sesi latihan bagi komedi muzikal ‘Jodoh’ anjuran WGS. Foto: Roslinda Rahmat BERITA Mediacorp
Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua MTI, Dr Tan See Ling, yang turut hadir pada malam itu, mengungkapkan, “Pada satu tahap, saya hampir bangun dan berjoget dengan para pelakon! Persembahan ini benar-benar menyatukan semua hadirin.”

Pelakon Ifa Raziah turut menyatakan, “Dengan tekanan hidup dan pekerjaan, kita perlukan hiburan dan suntikan komedi.”

Namun, persoalannya, mampukah usaha membangkitkan semula minat terhadap komedi muzikal ini berjaya?

JENAKA ALA KELUARGA 69

'Jodoh' mengisahkan seorang bapa yang baru sahaja bercerai, namun bertekad untuk melihat kedua-dua anaknya berkahwin, apa jua cara, asalkan mereka menemui jodoh yang tepat.

Kelucuan tercetus apabila situasi mereka umpama ‘Keluarga 69’, berdepan dengan pelbagai insiden yang mencuit hati.
 
Penyanyi Maiya Rahman turut menjayakan ‘Jodoh’. Foto: Roslinda Rahmat BERITA Mediacorp
Menurut penyanyi Maiya Rahman, yang turut membintangi 'Jodoh', “Watak saya sebagai Maiya juga, sepatutnya berkahwin dengan Bapa, tetapi akhirnya Bapa menyerah kerana tidak boleh lupakan kenangan lama. Jadi dia jodohkan saya dengan anaknya, 'Si Cicak Kobeng'.”

Pelakon dan pelawak Hamzah Adon menekankan kepentingan hiburan dalam kehidupan seharian, sambil menyatakan, “Kita perlu rileks, kita hendak lapangkan fikiran kita. Kita perlukan ketawa. Jadi, dalam bentuk apa pun, muzikal ke acara luar ke, orang masih mahukan komedi itu. Orang masih hendak ketawa.”

Bagi pelawak, penulis dan pengarahnya, Husin Saaban, pementasan itu adalah sebuah penghargaan kepada peminat komedi klasik.

"Orang yang membesar dalam zaman kegemilangan saya dan teman-teman selalu bertanya, 'Bila ini? Saya rindukan awak punya komedi.' Orang-orang kuat yang melawak dan boleh menyanyi sudah tidak ada. Contoh, Allahyarham Ishak Ahmat, Alias Kadir," tambahnya ketika ditemui wartawan Roslinda Rahmat.
Pengarah muzik Mansoor Mohamed, yang juga pemain 'keyboard'. Foto: Roslinda Rahmat BERITA Mediacorp
ELEMEN MODEN DITERAPKAN UNTUK TARIK GENERASI MUDA

Dalam sesi latihan yang berlangsung di sebuah studio di Paya Lebar, pelbagai cabaran jelas terlihat dalam usaha merealisasikan pementasan ini.

Menyampaikan pengalaman yang menghiburkan dan penuh emosi melalui muzik dan persembahan, sambil menarik perhatian penonton, memerlukan daya kreatif serta keupayaan yang luar biasa.

Elemen moden dalam muzik dan kostum turut diterapkan untuk menarik minat generasi muda.

Husin yang juga berlakon dalam pementasan itu berkata, "Zaman sekarang penonton dapat tonton apa sahaja seluruh dunia punya komedi dengan telefon bimbit sahaja. Jadi saya harus fikir nak terapkan benda-benda yang budak-budak sekarang pun boleh terima. Sebab itu saya ambil berat daripada semua sudut. Saya bergantung pada kostum, pada prop dan sebagainya. Kerana set yang gah seperti menggunakan skrin LED tidak boleh kita adakan kerana ruang pementasan yang terhad di tengah-tengah Joo Chiat Complex. Lagu yang saya terapkan pun saya akan campur 60an, Dangdut, Hindustan, Slow Rock, lagu-lagu yang viral di TikTok dan sebagainya."

Beliau turut menegaskan bahawa berbeza dengan komedi masa kini yang banyak menggunakan elemen lucah dan mencarut, 'Jodoh' tampil dengan pendekatan yang lebih bijak.
Kalangan pemuzik yang menjadi cori penting yang menjayakan sebuah pementasan komedi muzikal. Foto: Roslinda Rahmat BERITA Mediacorp
"Kita kena ikut usia. Kalau saya ikutkan rentak budak-budak muda sekarang, seperti di media sosial dan sebagainya, mereka 'langgar' sahaja. Tapi kalau saya pergi ke arah itu, penonton akan geli tengok.

"'Apa orang tua ini buang tebiat! Cakap yang bukan-bukan ke, merepek, begini-begini, kan?' Jadi saya kena buat komedi bijak, komedi bijak yang sesuai dengan usia saya. Kalau boleh bukan setakat untuk menarik penonton usia saya sahaja."

Selain itu, tidak mudah untuk menggabungkan elemen humor yang lucu dengan penceritaan yang bermakna.

“Buat orang menangis, buat orang marah, senang. Tetapi buat orang ketawa, payah. Tetapi jangan lupa, ada ketawa, maaf cakaplah, ketawa bodoh. Tetapi sebenarnya, kalau kita dapat buat orang ketawa yang bermanfaat, yang ada pelajaran, itu indah,” kata Husin.

MENCABAR KREATIVITI DAN KEUPAYAAN DALAM KOMEDI MUZIKAL

Kreativiti dan keupayaan luar biasa para pelakon memainkan peranan penting untuk memastikan setiap persembahan berjalan dengan lancar.

Penyanyi dan pelakon, Maiya Rahman, berkongsi pengalaman mengenai cabaran dalam mencipta komedi yang semula jadi.
Rozie Rahim selaku penerbit komedi muzikal ‘Jodoh’ oleh WGS. Foto: SIX5Productions LLP/FB
“Saya pun pernah berlakon, bukan? Cuma untuk komedi muzikal, hendak dapat idea yang komedi, kita hendak fikir macam mana, kita hendak benda itu kelihatan semula jadi. Itu sahaja yang susah sedikit. Jadi kerja rumahnya itu adalah untuk menonton komedi orang lain. Apa yang buat orang terhibur? Apa yang buat orang ketawa?” ujarnya.

Pelawak Hamzah Adon turut memberikan pandangannya mengenai pentingnya humor dalam kehidupan seharian.

“Yang penting cerita, pengisiannya ada kena-mengena dengan ehwal semasa, yang boleh mendatangkan manfaat untuk semua,” kata Hamzah.

Penjiwaan watak dan kesan muzik juga dianggap sangat penting dalam menghidupkan jalan cerita.

Pelakon undangan dari Malaysia, Ifa Raziah, yang membawakan watak 'Ifa' menjelaskan, “Saya tidak mahu nampak watak saya sebagai ‘slapstick’ sangat macam yang kita sudah biasa tenguk di TV. Saya hendak datangkan karakter saya sebagai Ifa yang lain sedikit. Sebenarnya, sudah empat tahun saya tidak berlakon. Ini merupakan pertama kali secara eksklusifnya saya berlakon di Singapura."

Mansoor Mohamed, yang berperanan sebagai pengarah muzik, menambah, “Muzik akan mencipta perasaan dari segi sedihnya dan juga gembiranya. Jadi muzik itu memainkan peranan penting dalam setiap babak ataupun setiap lakonan.”

CABARAN BUAT PEMENTASAN DI JOO CHIAT COMPLEX

Pementasan komedi muzikal 'Jodoh' juga menghadapi cabaran besar di ruang yang terhad di tengah-tengah Joo Chiat Complex yang sibuk.

Namun para pelakon dan pengarah tetap berusaha keras untuk memberikan pengalaman terbaik kepada penonton.

Husin Saaban, yang terkenal dengan pengalaman menerbitkan siri 'Maharaja Lawak Mega' semasa bekerja dengan syarikat penyiaran Astro di Malaysia, berkongsi pandangannya tentang cabaran ini.

“Tidak semua pelawak ataupun pelakon komedi dapat bernyanyi dengan baik. Ada penyanyi yang baik, memiliki vokal yang baik, tetapi tidak semestinya dapat membawakan watak komedi dengan baik. Begitu juga sebaliknya. Jadi payah! Kita pun hendakkan iringan muzik yang baik. Di TV yang kita boleh sunting, kita boleh rakam-semula dan sebagainya. Tetapi bila di atas pentas, kalau tersasul, terlupa dialog semua, pementasan itu akan jadi tidak indah,” jelas Husin.

KOMEDI MUZIKAL MEMPERKUKUH INDUSTRI SENI TEMPATAN

Usaha menghidupkan semula persembahan komedi bukan sahaja memperkaya kepelbagaian seni pementasan dan budaya tempatan, tetapi juga membuka peluang untuk menggilap bakat-bakat baharu demi memastikan kesinambungan industri seni ini.

Selain menghiburkan, ia juga menghubungkan masyarakat melalui muzik dan humor.

Lebih penting lagi, kebangkitan genre komedi muzikal ini turut memperkukuh industri seni Singapura.

Walaupun pementasan 'Jodoh' telah melabuhkan tirainya, ia tetap mengingatkan kita bahawa, meskipun zaman terus berubah, daya tarik komedi muzikal klasik masih mampu menyatukan dan memikat perhatian ramai.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan