Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Kisah 2 ibu mithali tidak abai cita-cita meski ramai anak

Cik Hidayah Ismail dan Ustazah Khairulnizah Abdul Hamid menjadi sumber inspirasi, tidak abaikan cita-cita dan bina kerjaya sambil menggalas tanggungjawab sebagai ibu 7 orang anak.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bertekad mengejar cita-cita dan aspirasi meskipun menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tujuh orang anak.

Begitulah semangat waja yang ditonjolkan dua wanita dalam laporan khas sempena Hari Ibu hari ini (8 Mei).

IBU 7 ANAK & 'IBU' KEPADA 150 MURID LAIN

Rumah Cik Nur Hidayah Ismail di Punggol Drive sentiasa riuh-rendah dengan keletah tujuh orang anak yang berusia antara 1 hingga 11 tahun.

hidayah
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Cik Hidayah bukan calang-calang ibu!

Wanita berusia 37 tahun itu mempunyai kerjaya sendiri meskipun sentiasa sibuk menguruskan keperluan anak-anak dan juga rumahtangga.

Selain itu, beliau juga adalah 'ibu' kepada lagi 150 kanak-kanak sekolah rendah.

hidayah
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Sekitar 10 tahun lalu, Cik Hidayah memulakan perniagaan tuisyen mengajar subjek Matematik.

Selain mengajar tuisyen melalui Zoom setiap hari, Ketua Guru Matematik di Genius Young Minds itu turut mengendalikan tiga pusat tuisyen di Tampines, Woodlands dan Jurong pada setiap hujung minggu.

Cik Hidayah berkata: "Saya rasa selain memikul tanggungjawab sebagai ibu, saya juga bertanggungjawab ke atas murid-murid saya untuk membantu mereka dalam Matematik.

hidayah
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

"Sayang kalau tidak ada orang menolong mereka, memupuk semangat untuk belajar Matematik.

"Bagi anak-anak saya pula, saya tidak membiarkan mereka belajar sendiri. Saya masukkan mereka sekali ke dalam kelas-kelas saya. Murid-murid dan anak-anak saya kedua-duanya sama penting bagi saya."

Beginilah dedikasi dan tekad ibu muda ini dalam memastikan pendidikan serta kebajikan anak-anak dan murid-muridnya terus terjaga.

URUS MASA DAN KEWANGAN DENGAN LEBIH BAIK

Cik Hidayah sangat mengambil berat tentang pembelajaran anak-anaknya, memastikan waktu tidur anak-anak yang lebih kecil terjaga, selain menguruskan masa dan kewangan demi kesejahteraan mereka sekeluarga.

hidayah
(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Baginya, pengalaman menjadi ibu adalah sesuatu yang tidak dapat diganti.

Banyak yang beliau pelajari dan akan alami.

"Kita ubah suai cara keibubapaan kami, daripada anak pertama hingga ke anak ketujuh. Saya rasa kita juga membangun sebagai ibu bapa, saya juga membangun sebagai seorang ibu - daripada seseorang yang tidak tahu apa yang harus dibuat kepada seseorang yang menguruskan tujuh orang anak," kata CIk Hidayah.

Cik Hidayah bertekad menangkis stereotaip terhadap ibu yang memiliki anak yang ramai.

"Tidak semestinya keluarga menjadi tidak terurus kerana mempunyai anak ramai. Malah ia mengajar kita bagaimana untuk menguruskan keluarga dengan lebih baik dan dengan segala cara - masa wang, kasih sayang kita dan perhatian kita bersama mereka," ujarnya.

TERUS KEJAR ILMU MESKI GALAS TANGGUNGJAWAB JAGA 7 ANAK

Bagi Ustazah Khairulnizah Abdul Hamid pula, tanggungjawab menguruskan tujuh orang anak, berusia antara tiga bulan hingga 19 tahun, tidak sama sekali menghambat semangatnya untuk terus mengejar ilmu dan aspirasinya.

khairulnizah

Pada Mac lalu, Ustazah Khairulnizah, 41 tahun, muncul sebagai Pelajar Terbaik bagi Pasca Sarjana Pengajian Islam Casis di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.

Ustazah Khairulnizah berkata: "Saya percaya bahawa menuntut ilmu dan mempertingkatkan diri ini adalah satu tanggungjawab individu, di mana kita sebagai setiap individu seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, kita harus kita wajiblah menuntut ilmu sebagai Muslim.

khairulnizah

"Jadi dalam hal ini saya rasa bukan sahaja untuk melanjutkan secara formal tetapi dari masa ke semasa apa saja ilmu ataupun kemahiran yang baru itu perlu kita darab dan pertingkatkan diri."

PERLU IMBANGI MASA, LAKUKAN PERANCANGAN

Beliau akur wanita bekerjaya sepertinya perlu mengimbangi antara tuntutan kerja dengan pengurusan rumah tangga pada satu-satu masa melalui perancangan yang baik.

Ini termasuk mengorbankan masa rehat pada waktu malam untuk mengulangkaji pelajaran serta mengorbankan masa bersama anak-anak.

khairulnizah

Namun, berkat sokongan suami serta anak-anak yang lebih dewasa, masa bersama keluarga yang sangat terhad dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

"Kalaulah masa tu boleh dijual dan boleh dibeli, kita rasa kita cuba untuk lakukan ataupun untuk luangkan masa tu dengan sebaik-baiknya. Jadi apa yang saya lakukan ialah pastikan masa itu dijalankan atau diluangkan dengan berkualiti."

khairulnizah

Tidak mudah menggalas tanggungjawab sebagai wanita bekerjaya dan sebagai ibu kepada 7 orang anak, terutama dalam konteks hari ini.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan setiap peringkat usia memerlukan pendekatan dan cara keibubapaan yang berbeza dan tersendiri.

Namun kedua-dua wanita bersemangat waja ini membuktikan bahawa tidak mustahil untuk terus mengejar aspirasi dan membina kerjaya yang berjaya sambil memenuhi tuntutan sebagai isteri dan ibu.

Mungkin tidak salah jika mereka diberi gelaran "superwoman"!

"Pada saya apa yang ditakdirkan - mempunyai tujuh orang anak ini - saya rasa satu amanah yang Allah berikan kita berdasarkan kemampuan kita dan dari segi pemikiran, kepercayaan diri dan perasaan kita, ia akan menimbulkan satu perasaan yang kita redha.

"Kita rasa Alhamdulillah dengan apa yang diberikan dan kita berusaha untuk lakukan yang terbaik," jelas Ustazah Khairulnizah.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa