Skip to main content

Singapura

BERITA+ KHAS DEEPAVALI: Cahaya Dalam Kepelbagaian

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tahukah anda bahawa sambutan Deepavali sebenarnya membawa kisah yang berbeza-beza bagi kaum Hindu yang tinggal di daerah berbeza di India?

Menjelang sambutan Deepavali, kita singkap apakah makna sambutan perayaan cahaya itu bagi daerah berbeza di India, juga bagi sepasang suami isteri yang menyambutnya buat kali pertama bersama dalam sebuah keluarga silang budaya.

PELBAGAI KISAH DEEPAVALI TONJOL TEMA SAMA: CAHAYA ATASI KEGELAPAN

Para pengunjung ke Rumah Terbuka Deepavali di Pusat Warisan India (IHC) dapat menyaksikan kisah Deepavali dihidupkan melalui persembahan oleh kumpulan AKT Creations.

Di IHC, para pengunjung dapat mengetahui terdapat lebih daripada satu versi kisah mengenai Deepavali.
"Pusat Warisan India mempunyai lima galeri. Setiap artifak, setiap kisah menelusuri asal permulaannya, perjalanan mereka yang berhijrah ke sini. Terdapat banyak artifak yang menceritakan tentang kisah Deepavali, mengapa Deepavali disambut. Anda dapat melihat barang kemas, pakaian khas dan malah bagaimana untuk membuat makanan khas Deepavali, muruku.

Cerita-cerita mengenai Deepavali. Cerita bagi selatan India adalah tentang Dewa Krishna. Ada seorang raja bernama Narakasura yang memporak-perandakan dunia dan Dewa Krishna membunuhnya. Jadi, untuk meraikan kebaikan mengatasi kejahatan, pada awal pagi Deepavali, para penganut Hindu akan bangun dan mandi minyak lalu memakai pakaian baharu untuk meraikan kehidupan baru," ujar pemandu muzium, Pusat Warisan India, Cik Mythili SLP kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Di India Utara pula, kisah Dewa Rama yang pulang dari buangan memberi pengertian lain Deepavali.

"Jadi para pengikut Dewa Rama menyambutnya pulang dan menunjukkan jalan kembali. Jadi mereka menyalakan jalan dengan lampu dan cahaya. Deepavali bermakna Deepa, iaitu lampu dan Vali bermakna jalan. Kisah-kisahnya semua tentang kebaikan mengatasi kejahatan, cahaya mengatasi kegelapan. Tema yang sama, tetapi kisahnya berbeza kerana masyarakat India sangat rencam," jelas Cik Mythili.
Docent Pusat Warisan India (IHC), Mythili SLP, berkongsi kisah-kisah Deepavali (Gambar: Berita Mediacorp)
PASANGAN SILANG-BUDAYA RAIKAN DEEPAVALI PERTAMA PENUH MAKNA

Cahaya perayaan turut menyinari pasangan silang-budaya Yolanda Ary Wicaksono dan suaminya K Sooriamurthy.

Cik Yolanda yang berasal dari Surabaya, kini menyambut Deepavali pertamanya di Singapura bersama Encik Sooriamurthy.

"Yang paling penting, kerana Deepavali ini, kita sekeluarga dapat berkumpul bersama. Kita boleh makan enak, boleh jumpa sanak-saudara yang lain, boleh bikin sesi berfoto juga," ujarnya kepada wartawan Roslinda Rahmat yang mengunjungi kediaman keluarganya di Sengkang.

Bagi Encik Sooriamurthy pula, Deepavali adalah masa bagi memperkukuh nilai keluarga dan mengabadikan kenangan.

"Deepavali sebenarnya festival terbesar masyarakat India dan salah tanggapan biasa adalah bahawa ia tahun baru. Ia sebenarnya adalah perayaan di mana semua anggota keluarga berkumpul dan memainkan peranan masing-masing. Mungkin ada yang mengemas rumah, ada yang menghias rumah, ibu atau isteri saya akan memasak hidangan, membuat kuih atau beriyani. Ia juga adalah satu sambutan peringatan untuk menunjukkan hormat kepada orang tua kita, juga satu perayaan untuk kanak-kanak. Petangnya, kita meraikan bersama di luar rumah dengan bermain bunga api," ujar Encik Sooriamurthy,

"Yang saya paling suka di Little India, saya lihat orang ramai pasang lampu banyak sekali, cantik sangat dan kami juga ada di rumah ini. Ini kita juga sudah mulai mendekorasi, kita letakkan perhiasan, saya bantu bapa mertua, saya bantu suami saya untuk pasang, saya bantu ibu mertua saya untuk buat muruku. Jadi itu pertama kali juga saya belajar untuk bikin kuih khas India," kongsi Cik Yolanda pula, dengan gairah.

TRADISI BUAT MURUKU SATUKAN KELUARGA SAMBIL PELIHARA WARISAN

Dalam negara majmuk seperti Singapura, Deepavali bukan sekadar pesta agama, tetapi jambatan budaya.

Kongsi Cik Yolanda yang sebelum ini bertugas di sebuah resort di Pulau Bali - lokasi di mana beliau bertemu suaminya yang bercuti ke sana, "Deepavali ini perayaan kalahnya hal yang jahat dengan hal yang baik. Itu kami juga ada di Bali. Itu namanya Nyepi. Tapi bezanya begini - kalau Nyepi itu dirayakan dengan senyap dan sunyi. Tidak boleh ada orang masak, tidak boleh ada api, tidak boleh ada orang beraktiviti, bekerja, berpergian. Cuma boleh berdoa, bertafakur dan tinggal di rumah. Tetapi kalau Deepavali agak beza. Kita boleh berpesta ke mana-mana boleh, nyalakan bunga api di sana-sini, boleh makan, boleh berkegiatan, boleh masak."
Pengantin baharu silang budaya yang merayakan Deepavali sulung mereka: Yolanda Ary Wicaksono (kiri) dan K Sooriamurthy (Gambar: Berita Mediacorp)
Bagi Cik Yolanda, setiap tradisi baharu datang dengan pengajaran, termasuk ketika belajar membuat muruku bersama ibu mertua.

"Kuih muruku itu pastinya hidangan khas. Tetapi ia mempunyai makna khusus kerana bentuknya itu bertali-tali. Sama juga dengan kehidupan kita. Hidup itu juga ada naik-turunnya. Tetapi tetap terus kita jalani," kata Cik Yolanda.

Bapa mertua beliau, G Kannan juga berkongsi, "Macam dekorasi yang kami bikin, isteri saya buat muruku semua dia boleh ajar sama; dia pun ajar Yolanda buat semua itu. Buat macam muruku, jalebi."

Sejarah asal-usul muruku juga dapat kita ketahui di galeri warisan IHC di Little India.

"Pameran itu menunjukkan banyak perkakasan yang dibawa oleh mereka yang berhijrah daripada India ke Singapura dengan berlayar menaiki kapal laut ke sini. Terdapat alat penerap muruku di sini, sementara di bawahnya adalah piring cetakan yang akan menghasilkan saiz dan bentuk muruku yang berbeza. Jadi alat ini muncul bersama pendatang India ke Singapura dan ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya, tradisi untuk membuat muruku sempena Deepavali.

Muruku bererti untuk memintal, sebab itu kuih muruku bentuknya berpintal-pintal, kan? Ia juga melambangkan keluarga yang bersatu-padu kerana mereka berkumpul dan membuat muruku. Dan aksi itu menyatukan keluarga. Seperti dahulu kala, nenek-nenek akan duduk di lantai sewaktu membuat muruku dan cucu-cucunya akan duduk di samping nenek yang akan bercerita sambil membuat muruku," tambah Cik Mythili.

Bukan hanya tentang kemenangan, Deepavali juga tentang harapan.

Di tengah-tengah kepelbagaian bangsa dan kepercayaan, ia melambangkan harapan bahawa kebaikan, kasih sayang dan perpaduan mampu menyinari kehidupan.
Keluarga ini merayakan Deepavali yang istimewa bersama pengantin baharu silang-budaya. (Gambar: Berita Mediacorp)
"Bagi keluarga saya, kerana ia adalah Deepavali pertama kami sebagai pasangan suami isteri, ia sangat istimewa. Walaupun dengan perbezaan kaum dan agama, ia adalah masa untuk kita berkumpul bersama keluarga dan orang-orang tersayang," ujar Encik Sooriamurthy.

Bagi Cik Yolanda dan keluarga baharunya di Singapura, Deepavali menjadi pelajaran tentang makna saling menerima dan memahami di tengah-tengah wujudnya perbezaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita