Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Khaider Khalid jadi jururawat pada usia 60 tahun; Dr Kamsiah Abdullah, 78 tahun pula terus mengajar

Tukar bidang kerjaya menjadi seorang jururawat pada usia 60 tahun. Langkah berani itu tekad diambil Encik Khaider Khalid yang baru mula berkhidmat di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) sejak tiga bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tukar bidang kerjaya menjadi seorang jururawat pada usia 60 tahun.

Langkah berani itu tekad diambil Encik Khaider Khalid yang baru mula berkhidmat di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) sejak tiga bulan lalu.

Dalam menghampiri usia persaraan, beliau tidak pernah membayangkan dirinya menceburkan diri dalam bidang tersebut.

Namun, pengalaman peribadi membuatkannya tekad untuk meninggalkan sektor perbankan.

"Apabila saya nampak kawan kerja saya, ada yang jatuh sakit. Ada yang mendapat darah tinggi, angin ahmar pun, ada yang dapat serangan jantung dan mereka pun masuk ke Unit Penjagaan Rapi (ICU). Ada cuti macam cuti sakit panjang dan juga ada seorang yang meninggal dunia. Mereka semua adalah lebih muda daripada saya. Jadi saya pun terfikir mungkin ini akan berlaku pada saya.

"Dari situ, saya mula berfikir. Saya mesti memberi tumpuan kepada kesihatan. Pasal kita pun tidak ingin sakit apabila sudah tua atau menjadi beban kepada orang lain," kata Encik Khaider kepada wartawan Syawal Yusoff.
(Gambar: Syawal Yusoff)
BAHAGIA DAPAT IMBANGI MASA ANTARA TUGAS & KELUARGA

Itu yang mendorong Encik Khaider untuk meletak jawatan sebagai Naib Presiden Kanan selepas 33 tahun dalam industri perbankan.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2022.

Kali terakhir beliau menjejakkan kaki di NUS ialah pada 1989 semasa memburu ijazah Sarjana Muda dalam Sains Komputer.

"Pada saya sama ada mereka muda atau saya tua, saya tidak kisah. Yang penting kita mesti belajar. Bila kita sudah belajar, kita menimba ilmu, jadi kita pun boleh mencapai matlamat yang saya hendak buat seperti menolong orang," ujar bapa tiga orang anak itu.
(Gambar: Khaider Khalid)
Pada usia 60 tahun, beliau menjadi lulusan paling berusia dalam kohort tahun ini yang berjaya meraih ijazah Sarjana Muda Sains (Kejururawatan).

Tidak lama kemudian, beliau mula bertugas di NTFGH dan akan bekerja sekurang-kurangnya lagi tiga tahun bagi memenuhi tuntutan kontrak.

Beliau berharap dapat terus berbakti kepada masyarakat dalam bidang jagaan kesihatan tidak kira sama ada di hospital mahupun di rumah-rumah penjagaan.

Walaupun jauh lebih berusia daripada rakan-rakan kerjanya di wad di tingkat 9 di NTFGH, Jururawat Staf 1 itu tidak segan untuk bertanya kepada mereka demi mengasah lagi kemahirannya.

"Ada banyak cabang sebagai jururawat tapi di hospital yang kita banyak belajar. Jadi sekarang saya mahu menimba ilmu sebanyak mungkin. Lepas itu saya akan berfikir macam mana saya dapat menolong orang," kata Encik Khaider.
POTONGAN GAJI SEHINGGA 70%, KEPUASAN TIDAK TERNILAI

Menurut Encik Khaider, beliau terpaksa terima potongan gaji sehingga 70 peratus apabila bertukar kerjaya.

Namun, kepuasan yang beliau dapat apabila membantu pesakit, tidak ternilai baginya.

Beliau berkata: "Pada saya, saya sudah buat keputusan untuk tinggalkan bank. Gaji tidak seperti dahulu tapi jiwa saya lebih tenteram pasal saya dapat menolong orang. Apabila melihat orang senyum apabila kita menolong dia, saya suka."
(Gambar: Khaider Khalid)

Sebagai seorang bapa dan datuk, beliau juga bersyukur kerana tugas baharunya ini membolehkannya mengimbangi masa dengan lebih baik lagi antara tugas dan keluarga.

"Kerja dalam bank banyak tekanan. Kadang-kadang pergi bercuti pun ada yang menelefon. Kadang-kadang cuti di rumah, hari Sabtu dan Ahad juga telefon seperti tidak ada masa untuk rehat. Kerja sebagai jururawat juga banyak tekanan tetapi apabila saya balik, saya boleh dapat luangkan masa saya dengan keluarga dengan tenang," jelas Encik Khaider.

DR KAMSIAH ABDULLAH SUDAH 60 TAHUN SUMBANG KEPADA BIDANG PENDIDIKAN

Selain menolong orang dan menyumbang tenaga, ada juga warga emas yang masih lagi aktif menurunkan ilmu seperti Dr Kamsiah Abdullah, 78 tahun.

Mula mengajar sejak berusia 18 tahun lagi, profesor wanita Melayu pertama Singapura ini cukup disegani ramai cendekiawan hari ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)
Bulan lalu, sebuah feskrip bagi merakam sumbangannya terhadap bidang pendidikan sepanjang enam dekad diterbitkan.
Beliau kini bertugas sebagai pensyarah adjung dan memantau standard pemarkahan di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Ini selain berkongsi kepakarannya sebagai Anggota Kanan dalam Syarikat Guru Muslim Singapura Koperatif (SGM).

"Oleh kerana saya minat dan saya suka dengan pekerjaan saya, jadi saya rasa tak penat. Bahkan saya rasa saya masih lagi buat perkara-perkara yang saya tidak dapat buat semasa saya bekerja. Saya rasa kalau kita Alhamdulillah seperti sekarang ini masih sihat. Tidak ada sebab kenapa kita berhenti daripada apa yang kita suka buat," kata Dr Kamsiah.
TERAPKAN RASA CINTA TERHADAP BAHASA MELAYU DALAM GENERASI MUDA

Boleh dikatakan, jiwanya dalam bidang pendidikan masih terus membara, lebih-lebih lagi kepada generasi yang lebih muda.

Sejauh ini, beliau sudah menulis sebanyak 12 buku kanak-kanak.
(Gambar: Dr Kamsiah Abdullah)
Walaupun sudah bergelar nenek, peranannya sebagai pendidik juga turut dimainkan apabila bersama anak-anak dan 15 orang cucunya.

"Saya memang berkomunikasi dengan mereka dalam Bahasa Melayu. Bahasa ialah komunikasi. Jadi kalau kita berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, misalnya, mereka tidak akan dapat mendengar satu lagi bertutur dalam Bahasa Melayu. Pada satu masa dulu, saya ajar mereka setiap hari tapi kalau macam sekarang mereka akan datang ke rumah saya dan saya akan suruh mereka membaca al-Quran," tambahnya, yang juga ibu kepada enam orang anak.

Buat masa ini, Dr Kamsiah sedang dalam proses untuk menghasilkan sebuah biografi.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan