BERITA+: Kenaikan paras air laut boleh jejas kegiatan riadah tepi pantai
(Gambar: Emillia Amin)
BERITAmediacorp: Suasana lautan sudah sebati dengan jiwa keluarga Cik Nurshafika Salleh, 32 tahun, seorang pemilik perniagaan memancing online.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, begitulah minat pada hobi memancing diturunkan kepada beliau.
Memiliki bot sendiri memudahkan beliau sekeluarga untuk meneroka kawasan perairan dan pulau di sekitar Singapura.
"Saya ada bot ini pasal kita suka memancing, memang memancing tu satu hobi yang dari kecil, daripada arwah Atok, ayah, kepada saya dan kepada anak saya. Kami selalu naik bot keluar pancing jadi kami fikir kami adakan satu bot jadi bila-bila masa saja kami ingin keluar, kami boleh keluar memancing bersama keluarga," kata Cik Nurshafika.
Namun, akhir-akhir ini, beliau semakin prihatin tentang kesan perubahan iklim terhadap paras air laut.
Secara purata, Singapura menyaksikan kenaikan paras air laut sebanyak 14 sentimeter sejak tahun 1970-an.
Kesannya sudah dilihat di tempat pelabuhan bot Cik Nurshafika di Raffles Marina.
Cik Nurshafika berkata, botnya sudah mencecah setinggi paras jeti pada waktu air pasang.
Langkah melindungi kawasan pelabuhan perlu dilakukan kerana kenaikan paras air laut akan menjejas kegiatan rekreasi seperti memancing dan wisata bot layar.
Cik Nurshafika yang juga anggota kumpulan pemeliharaan marin setempat, Marine Stewards Singapore, menyertai dialog nasional pertama tentang perlindungan kawasan pantai pada Oktober tahun lalu.
Ia adalah sebahagian daripada perbincangan Melakar Hala Tuju Singapura dan menyatukan pelbagai pihak berkepentingan untuk mencari huraian bersama.
Ini penting bagi Cik Nurshafika yang kerap menganjurkan peraduan memancing.
"Semua perlu kena ambil tahu, bila paras air naik, macam mana kalau sesiapa yang ada bot, apa yang perlu mereka buat, kalau orang pancing di darat, apa yang perlu mereka buat. Bagi pihak berkuasa, seperti infrastruktur, apa perlu dilakukan. Bila kita sudah mula rancang sekarang, bila masanya tiba, kita tidak kelam-kabut," ujarnya.
KENAIKAN PARAS AIR BOLEH JEJAS PELBAGAI ASPEK KEHIDUPAN
Kenaikan paras air laut bukan hanya boleh menjejas sekitaran dan kediaman.
Ia juga mungkin bermakna kegiatan-kegiatan riadah tidak lagi dapat dinikmati seperti biasa jika langkah wajar tidak diambil.
Beberapa faktor perlu dipertimbangkan dalam hal ini.
"Menjelang tahun 2100 kita boleh jangkakan paras air laut akan meningkat sehingga 1 meter dan mungkin sehingga 4 hingga 5 meter jika gelombang badai berlaku serentak dengan air pasang. Jika kita bina tembok laut, adakah kita perlu bina setinggi 1 meter sekarang atau dapatkah kita bina bertahap-tahap supaya di masa depan kita juga boleh ambil kira unjuran kenaikan paras air laut yang terkini sedang kita membangunkan tembok laut secara berperingkat?", jelas Cik Sara Hiong, Penolong Pengarah Kanan agensi air negara PUB.
Sedang strategi jangka panjang dikaji, beberapa langkah lain sedang diambil untuk melindungi kawasan tepi pantai seperti East Coast yang sudah terjejas oleh hakisan tanah.
Dalam beberapa dekad akan datang, bagaimanakah rupa pantai itu yang menjadi tempat tumpuan ramai termasuk para pemancing?
"Daripada saya mula daripada 2017 sampai 2022 banyak perkembangan air yang saya nampak daripada air surut hingga air pasang, daripada orang memancing pijak tanah hingga ke paras pinggang untuk melontar batu pancing," jelas Encik Muhammad Reme Izwan Ismail, 34 tahun, suami Cik Nurshafika.
Meluahkan keprihatinan yang sama ialah bapa Cik Nurshafika, Encik Salleh Sukur, 60 tahun.
"Sekarang kami pancing pun tempat terhad. Kalau air sudah pasang tinggi, kami terpaksa undur ke belakang, kalau tidak ada pokok. Kalau ada pokok, masuk dalam air," katanya.
Encik Salleh menambah, kegiatan rekreasi di tepi pantai penting terutama untuk keluarga-keluarga dan juga bagi mengurangkan tekanan hidup.
Kajian bagi melindungi kawasan pantai Bandar-East Coast dijangka siapa dalam masa dua tahun.
Dalam pada itu, satu program kajian baru diumumkan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Koh Poh Koon di parlimen pada Khamis (2 Mac) bagi menangani isu kenaikan paras air laut akibat perubahan iklim.
Program bernilai S$125 juta itu bertujuan mengukuhkan perlindungan kawasan pantai dan keupayaan pengurusan banjir.
Dengan unjuran kenaikan paras air laut yang berubah-ubah, huraian fleksibel diperlukan untuk memastikan negara yang dikelilingi perairan ini terus sesuai didiami.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.