Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Kematian pesakit barah payudara Melayu tertinggi berbanding kaum lain; kadar pemeriksaan mamogram yang terendah

Cik Nurhana Abdul Ghani berusia 33 tahun apabila beliau disahkan menghidap penyakit itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cik Nurhana Abdul Ghani berusia 33 tahun apabila beliau disahkan menghidap penyakit itu.

Pada awalnya, beliau menolak kemungkinan menghidap penyakit itu kerana usianya yang masih muda.

"Ketika itu saya sedang mandi lalu saya buat Pemeriksaan Payudara Sendiri (BSE). Kemudian saya dapati ada satu benjolan kecil pada tubuh saya, jadi saya anggap mungkin benjolan ini tidak berbahaya, lalu saya putuskan untuk pantau lagi pada bulan hadapan," kongsi Cik Nurhana.

Namun tiga bulan kemudian, saiz benjolan itu bertambah besa, beliau akhirnya memutuskan untuk berjumpa doktor.

Pemeriksaan doktor mengesahkan beliau menghidapi barah payudara.

Mujur bagi Cik Nurhana, penyakit itu berada di peringkat dua iaitu masih di peringkat awal.

"Kalau saya tidak buat pemeriksaan setiap bulan mungkin saya terlepas pandang dan apabila saya jumpa ketulan itu mungkin sudah di peringkat akhir atau mungkin penyakit saya ini akan menjadi lebih teruk," katanya.

Selepas menjalani rawatan kemoterapi selama setahun, ibu tiga orang anak itu kini sudah lima tahun bebas daripada barah.

BARAH PAYUDARA BUKAN HANYA PENYAKIT 'WANITA BERUMUR'; BAWAH 50 TAHUN TURUT TERJEJAS

Pengalaman Cik Nurhana menunjukkan bahawa barah payudara tidak hanya berlaku pada golongan wanita berumur.

Malah menurut kajian, separuh daripada kes barah payudara di Singapura adalah kaum wanita di bawah usia 50 tahun.

Menurut Daftar Barah Singapura 2019, jumlah kes barah payudara juga meningkat sepanjang 50 tahun lalu.

Pemeriksaan payudara secara kerap adalah salah satu cara untuk melindungi diri.

Namun jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain, purata wanita Melayu yang melakukan ujian mamogram adalah terendah.

PURATA WANITA MELAYU JALANI PEMERIKSAAN MAMOGRAM ADALAH TERENDAH

Menurut Laporan Tinjauan Kesihatan Nasional 2020, kadar wanita Melayu yang melakukan ujian mamogram hanya 17.6 peratus.

Ini berbanding 41.3 peratus bagi kaum Cina dan 43.2 peratus untuk kaum India.

Menurut pakar, peluang hidup di kalangan pesakit barah boleh meningkat jika penyakit itu dapat dikesan lebih awal iaitu dari sekitar 50 peratus kepada 82 peratus.

"Pengesanan awal membawa kepada intervensi awal, rawatan awal yang memberikan para pesakit peluang terbaik untuk pulih.

"Ramai pesakit telah melaporkan pengalaman mereka ketika menjalani pemeriksaan mamogram dan apa yang ingin saya katakan, lima saat itu berbaloi untuk mendapatkan ketenangan fikiran selepas anda jalani mamogram dan anda hanya perlu melaluinya setiap dua tahun," kata Konsultan Kanan Divisyen Onkologi Perubatan, Pusat Barah Nasional Singapura, Dr Elaine Lim Hsuen.

Kadar kematian pesakit barah payudara juga adalah tertinggi dalam kalangan wanita Melayu berbanding kaum lain.

"Ini mungkin berkait rapat dengan hakikat bahawa purata lebih tinggi wanita Melayu yang menghidap barah payudara di peringkat terakhir apabila mereka didiagnos," kata Dr Lim.

SESI WEBINAR BANTU TINGKATKAN KESEDARAN MASYARAKAT TERHADAP UJIAN MAMOGRAM

Antara usaha untuk menggalak wanita Melayu/Islam supaya melakukan pemeriksaan mamogram adalah menerusi sesi-sesi webinar seperti yang dikendalikan oleh Ustazah Liyana Musfirah.

Dianjurkan bersama agensi-agensi kesihatan, ia mengupas salah tanggapan masyarakat terhadap ujian pemeriksaan itu.

"Ada di kalangan mereka yang belum bersedia untuk membuat mamogram kerana bagi mereka sekiranya mereka dapati keputusan yang kurang memuaskan daripada mamogram mereka, itu bermakna mereka perlu membuat perubahan yang ketara, contohnya, gaya hidup, pilihan makanan. Ini adalah sesuatu perspektif yang perlu kita ubah," kata Ustazah Liyana.

Sehubungan itu, Ustazah Liyana turut menyaksikan lebih ramai peserta muda yang mengikuti sesi itu sebagai persiapan diri atau untuk menggalakkan ahli keluarga supaya menjalani ujian mamogram.

Selain itu, Yayasan Barah Payudara turut melancarkan dana bagi menawarkan pemeriksaan mamogram pertama secara percuma di poliklinik.

Skim tersebut ditawarkan kepada setiap wanita berusia 50 tahun dan ke atas yang memiliki kad CHAS biru atau jingga.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan