Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Kaum adam semakin berminat jadi duyung lelaki atau ‘merman’

Sebut sahaja ikan duyung, ramai yang terbayang makhluk separuh manusia, separuh ikan yang yang digambarkan dalam hikayat dongeng. Namun, di Singapura, terdapat segelintir individu yang berusaha merealisasikan fantasi itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebut sahaja ikan duyung, ramai yang terbayang makhluk separuh manusia, separuh ikan yang yang digambarkan dalam hikayat dongeng.

Namun, di Singapura, terdapat segelintir individu yang berusaha merealisasikan fantasi itu. 

Antaranya, Encik Almukmin Tan, yang sudah empat tahun menjadi seorang duyung lelaki atau 'merman'.

"Semasa ibu saya sedang hamil, beliau selalu menonton 'The Little Mermaid'. Sudah menjadi kebiasaan untuk beliau menonton cerita itu sehingga saya dilahirkan. Sampai sekarang ini minatnya memang ada di situ. Saya sukakan ketenangannya. Ketenangan di dalam laut itu berbeza,” kata Encik Almukmin kepada wartawan Syawal Yusoff.

“”(Gambar: Almukmin Tan)

PERLUKAN PENTAULIAHAN

Beliau, yang lebih mesra dikenali sebagai Adam, telah mengikuti kursus pentauliahan sebelum boleh beraksi secara profesional kerana kemahiran asas berenang sahaja tidak mencukupi.

Ini kerana pergerakan perenang terhad disebabkan perlu memakai ekor duyung yang terdiri daripada dua bahagian – ekor dan 'monofin'.

"Kaki terikat, jadi pergerakannya akan berbeza. Jika anda tidak terlatih dalam berenang, anda mungkin panik apabila mula menghadapi kesukaran, dan anda akan tenggelam," jelas Cik Cindy Lim, rakan seangkatan Adam yang juga telah berenang selama empat tahun.

Hampir dua kali sebulan, Adam dan Cik Lim berlatih bersama.

Cik Lim memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan penggiat duyung semasa latihan.

“Kami menahan nafas dan kami berenang dalam air, jadi kami tidak mahu sebarang kesilapan berlaku, seperti pitam. Oleh itu, adalah baik untuk mempunyai seseorang dekat dengan anda supaya mereka boleh bantu mendapatkan pertolongan,” tambahnya.

“” (Gambar: Almukmin Tan)

SEMAKIN RAMAI KAUM ADAM IKUTI PROGRAM RENANG SEPERTI DUYUNG

Hobi ini juga semakin menarik minat ramai lelaki. 

Tinjauan BERITA Mediacorp dengan beberapa akademi renang mendapati permintaan untuk kursus berenang gaya duyung semakin meningkat dalam kalangan kaum Adam.

“Peserta lelaki telah meningkat, di mana mereka menerima seni yang indah dengan cara yang maskulin. Walaupun berenang seperti duyung sering dikaitkan dengan persekitaran wanita, saya gembira melihat peserta lelaki turut bersemangat, menggabungkan minat mereka terhadap renang dengan menjadi duyung, dan memberikan gambaran yang lebih seimbang tentang seni inklusif yang menyambut baik kehadiran wanita dan lelaki,” kata Cik Wong Yoke Teng, pengasas The Dancing Mermaid.

Trend serupa juga diperhatikan pengasas The Singapore Mermaid, Cik Cara Neo. 

“Minat terhadap sekolah duyung kami sentiasa stabil. Sebagai sekolah perintis, ramai orang datang kepada kami untuk mendapatkan pengalaman magis yang asli,” kata Cik Neo.

Tambahnya: "Duyung lelaki masih tidak ramai, tetapi kami telah perhatikan semakin ramai yang menyertai program ini pada tahun ini dan tahun lalu."

PERUBAHAN MENTAL DAN FIZIKAL

Sejak terlibat dalam hobi itu, Adam, 33 tahun, telah menyaksikan beberapa perubahan daripada segi mental dan fizikal. 

“Kebanyakannya adalah peningkatan stamina. Matlamat saya ialah untuk menjadi duyung penghibur. Sudah tentunya saya harus membina tubuh fizikalnya. Saya tidak mahu kelihatan seperti 'ikan bilis' apabila berada di dalam akuarium,” ujar Adam.

“”(Gambar: Almukmin Tan)

Rakan seangkatan yang juga telah berkecimpung dalam hobi ini selama empat tahun turut merasakan manfaat yang sama.

“Ia sebenarnya melatih dan menguatkan otot teras anda, sebenarnya dari badan, dari bahu ke lengan, malah ke dada, pinggang dan juga paha dan kaki, kerana kami sebenarnya bergerak dalam pergerakan seperti ikan, seperti ikan lumba-lumba,” kata Cik Cindy Lim.

WADAH UNTUK PAMERKAN KOSTUM; TEKNIK RENANG DUYUNG

Di Singapura, duyung-duyung profesional ada beberapa wadah untuk mempamerkan kostum dan teknik renang mereka.

Selain acara-acara privet, ramai juga yang menyertai pertandingan ataupun beraksi di akuarium besar semasa Festival Laut ADEX yang diadakan setiap tahun. 

Antara yang sering diundang untuk membuat persembahan ialah Cik Pamela Yeo.

Selain di Singapura, beliau juga telah ke Jakarta dan Dubai untuk pertandingan dan persembahan.

“Saya pernah membuat persembahan di Suvarna di Phuket, Thailand. Ia adalah akuarium yang besar dan kali pertama apabila saya masuk, saya masih tidak begitu biasa dengan daya apungan. Saya memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri tetapi saya sangat menikmati interaksi melalui kaca, walaupun kami tidak dapat melihat wajah dan ciri-ciri manusia seperti bentuk tubuh manusia dengan jelas,” kata Cik Yeo.

Menerusi hobi itu, mereka juga dapat berkongsi keindahan kehidupan alam laut bersama para pengikut mereka di media sosial.

BELANJA RIBUAN DOLAR

“”(Gambar: Almukmin Tan)

Selain kemahiran berenang, mereka juga memerlukan aksesori khas.

Bagi Adam sendiri, beliau sudah membelanjakan hampir S$5,000. 

“Saya mempunyai tiga ekor duyung dan empat sirip. Aksesorinya seperti beg, dan aksesori lelaki tidak banyak. Ada 'trident', dan rantai. Belanjanya lebih mahal untuk wanita,” jelasnya. 

Terdapat dua jenis ekor duyung—fabrik dan silikon—yang harganya boleh mencecah ribuan dolar!"

Cik Lim berkongsi:" Untuk ekor fabrik, ia mudah didapati, dengan saiz dari XS hingga XL bergantung pada saiz duyung. Namun, untuk ekor silikon, biasanya ia dibuat secara tempahan. Anda perlu mengambil ukuran dan kemudian mencubanya untuk memastikan ia muat dengan lebih baik. Apabila anda berada di dalam air, ia tidak akan tertanggal."

Tetapi, yang manakah dapat membantu mereka berenang dengan lebih pantas?

“Jika anda mahukan kelajuan dan kestabilan, ekor jenis silikon adalah baik. Jika anda mahu sekadar kelihatan cantik di dalam air dan apabila anda berenang, ia mengalir dengan lebih cantik, ekor jenis fabrik ialah pilihannya,” jelas Adam.

ADA CARA UNTUK SESUAIKAN PEMAKAIAN

Selain di Singapura, hobi ini juga semakin mendapat perhatian di luar negara. 

“Saya mengikuti beberapa duyung dari Indonesia yang mengenakan busana lengan panjang, tudung, dan ekor yang cantik. Jadi, mereka kelihatan lebih 'flowy' dan menarik. Sebenarnya, tiada had untuk kreativiti dalam hobi ini,” kata Adam. 

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai, khususnya masyarakat Melayu, akan lebih terbuka untuk mencuba hobi itu. 

Sekiranya diberikan lebih banyak peluang, Adam berazam untuk mengasah kemahirannya sehingga dapat menjadi seorang jurulatih suatu hari nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan