Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Kak Fifi & Mimi: Inisiatif Rafidah Jalil isi kekurangan kandungan pembelajaran STEM bahasa Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Semasa mencari kandungan pendidikan pembelajaran STEM dalam bahasa Melayu dalam bentuk digital untuk ketiga-tiga orang anaknya, Cik Rafidah Jalil menyedari adanya jurang besar dalam bahan yang tersedia.

Beliau mendapati kebanyakan bahan pendidikan dalam bahasa Melayu sudah ketinggalan zaman, manakala sumber pembelajaran STEM yang menarik dan menyeronokkan sukar ditemui, terutama di platform popular seperti YouTube.

Kesedaran itu menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk kandungan yang segar, mudah diakses, dan disesuaikan untuk anak-anak.

"Banyak kandungan STEM hanya menampilkan eksperimen sains, tetapi tidak menerangkan mengapa hasil eksperimen itu berlaku. Bukankah lebih baik jika ada kandungan yang setaraf dan sejajar dengan apa yang dipelajari di sekolah, selaras dengan kurikulum yang diajar oleh Kementerian Pendidikan (MOE) di Singapura?" kata Rafidah Jalil kepada wartawan Fatyn Afiqah.
Cik Rafidah Jalil (kanan) dan suaminya Encik Mimrah Mahmood (kiri). (Gambar: Fatyn Afiqah/BERITA Mediacorp)
Selepas melahirkan anak kembar bongsunya melalui IVF, Cik Rafidah Jalil dan suaminya Encik Mimrah Mahmood memutuskan bahawa sudah tiba masanya untuk beliau meninggalkan kerjayanya.

Walaupun keputusan itu sukar, ia selari dengan impian lama mereka untuk menubuhkan sebuah perusahaan sosial yang menyumbang semula kepada masyarakat.

Dengan lebih 11 tahun pengalaman dalam industri perbankan, termasuk sebagai Ketua Transformasi Perniagaan di HSBC, Cik Rafidah memanfaatkan kepakaran beliau dalam pembangunan produk, pemasaran, dan transformasi strategik untuk melancarkan STEAMSel Edutainment.

Encik Mimrah pula merupakan seorang Naib Presiden bagi Asia Pacific dengan Meltwater, sebuah syarikat berbilang negara yang menyediakan penyelesaian rentas media, sosial dan pengguna.

KANDUNGAN DENGAN FOKUS PADA HASIL PEMBELAJARAN

Cik Rafidah merujuk kepada sebuah lembaga penasihat yang terdiri daripada pakar pendidikan, masyarakat, dan veteran media untuk menilai dan memperbaiki kandungan, dengan fokus pada hasil pembelajaran dalam setiap episod.
Gambar: Fatyn Afiqah/BERITA Mediacorp
“Lembaga penasihat ini menolong kami untuk memastikan yang kandungan kami setaraf dengan apa yang mereka belajar di sekolah. Kami juga anjurkan kumpulan fokus, kami ada sekumpulan guru dan ibu bapa. Kami berkongsi idea-idea untuk Kak Fifi dan Mimi dan menerima maklum balas yang sangat positif daripada mereka.” kata Cik Rafidah

CIPTA WATAK KAK FIFI & MIMI

Mengapa memilih platform seperti YouTube dalam pendidikan moden?

"Kami menyedari bahawa banyak ibu bapa milenial, termasuk saya sendiri yang mempunyai anak kecil, memiliki akses kepada platform-platform ini. Selain itu, kedua-dua platform ini percuma, membolehkan lebih ramai ibu bapa dan kanak-kanak mengakses kandungan kami dengan mudah," tambah beliau.

Selepas melakukan kajian mendalam, watak Kak Fifi dan Mimi dicipta, diilhamkan oleh pencipta YouTube popular yang berjaya mengumpul berbilion tontonan.

Direka untuk memupuk rasa ingin tahu, watak-watak tersebut membawa anak-anak melalui pengalaman menarik yang memperkenalkan konsep STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) secara menyeronokkan dan interaktif.

"Kak Fifi ialah kakak kepada Mimi. Dia sentiasa menggalakkan Mimi untuk meneroka dunia di sekelilingnya. Mimi pula adalah sebuah drone animasi," jelas Rafidah Jalil.

KANDUNGAN PEMBELAJARAN DALAM BAHASA MELAYU MUTU TINGGI

Cik Rafidah Jalil menekankan potensi besar dalam mencipta kandungan pendidikan berbahasa Melayu.

Beliau meluahkan kebimbangannya bahawa ramai keluarga muda, termasuk dirinya, tidak aktif menggunakan bahasa Melayu di rumah, lantas menjadikannya penting untuk menyediakan bahan pembelajaran yang menarik dalam bahasa tersebut.

“Anak-anak saya tidak berminat untuk terus membaca buku dalam bahasa Melayu, dan ini membimbangkan saya. Selalunya, kandungan yang sedia ada tidak moden dan kurang relevan dengan kehidupan seharian mereka. Bukan sahaja mengandungi elemen STEM yang mereka pelajari di sekolah, tetapi juga disampaikan dalam bahasa Melayu dwibahasa. Ini akan membolehkan mereka lebih mendalami dan mencintai bahasa Melayu.” kongsi Rafidah Jalil.
Gambar: Fatyn Afiqah/BERITA Mediacorp

KOS PENERBITAN AMAT TINGGI

Setakat ini, 57 video telah dihasilkan dan boleh ditonton secara percuma di YouTube.

Kos penerbitan musim pertama dengan animasi berkualiti tinggi adalah sekitar S$200,000.

"Pada masa ini, saya dan suami menggunakan duit simpanan kami sendiri. Kami benar-benar memerlukan bantuan daripada pemerintah serta organisasi yang dapat menyediakan pembiayaan. Kami telah cuba mendapatkan sokongan tersebut, namun masih belum berjaya," kongsi Cik Rafidah lagi

Lantaran itu, beliau mengubah strategi dengan menawarkan kandungan berbayar yang lebih panjang pada harga berpatutan,

Beliau juga mengadakan bengkel untuk membantu guru mencipta kandungan pembelajaran yang menghiburkan dan berkesan.

Saluran YouTube Kak Fifi and Mimi kini diikuti lebih 37,000 pengguna dari Malaysia, Indonesia, dan Brunei.

RANCANGAN AKAN DATANG UNTUK KAK FIFI DAN MIMI

Untuk memperluas jangkauan penonton, ada rancangan untuk menghasilkan kandungan dalam bahasa Indonesia dan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

"Kami sedang menilai apa yang telah kami capai pada musim pertama dan mencari cara untuk memperbaikinya bagi musim kedua. Selain itu, kami juga berusaha menggunakan lebih banyak teknologi seperti AI untuk membantu dalam penulisan skrip dan animasi," kongsi Rafidah Jalil.


Beliau berharap dapat bekerjasama dengan institusi pendidikan agar kandungan mereka boleh digunakan sebagai sumber pembelajaran dalam kelas.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan