Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Jual pakaian sukan mesra wanita berhijab; peniaga tempatan cuba atasi saingan jenama antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Cepat kering daripada peluh, tidak panas atau hambat pergerakan ketika bersukan. 

Itulah antara ciri yang diutamakan Cik Adlina Anis dalam mereka hijab sukan. 

Bahkan beliau juga mendapat idea daripada pengalamannya sendiri memakai hijab ketika bersukan. 

Sebelum adanya hijab untuk bersukan di pasaran, agak sukar baginya untuk mengekalkan gaya hidup aktif. 

Bagi memenuhi keperluan itu, beliau terdorong untuk mereka sendiri hijab sukan, sekali gus menjadi yang pertama di rantau ini. 

JENAMA ADLINA ANIS YANG PERTAMA LANCAR HIJAB SUKAN

Cik Adlina Anis berkata: "Bila saya mula lancarkan hijab sukan Ninja Echo pada tahun 2016, permintaan naik lima kali ganda. Bila kita lancarkannya terus Alhamdulillah habis dijual kerana kami satu-satunya dalam pasaran yang menjual produk untuk hijab sukan. 

"Kami sering menambah semula stok tetapi ia habis dijual lagi. Sekarang dengan lebih banyak jenama baru yang melancarkan hijab sukan untuk bersukan, keghairahan untuk membelinya sudah tiada. Bagaimanapun para pelanggan masih membelinya." 

Sejak mula diperkenalkan pada 2012, jenama Adlina Anis berjaya mencetus fenomena baru di pasaran fesyen tempatan menerusi produk hijab sukan, jauh sebelum ditawarkan jenama-jenama sukan antarabangsa. 

Kini syarikat itu berhasrat memperluaskan jejak digitalnya ke luar negara bagi mengukuhkan lagi empayar perniagaannya.

Kini persaingan lebih sengit dengan jenama-jenama antarabangsa seperti Nike dan Lululemon juga menawarkan rangkaian produk sedemikian. 

Dengan persaingan yang ada, syarikatnya ini perlu sentiasa memikirkan cara untuk kekal relevan dalam industri. 

"Oleh kerana kami menjalankan perniagaan e-dagang, kami perlu selalu belajar dan menyesuaikan diri. Jadi inovasi adalah tumpuan utama syarikat kami.

"Bagi saya, ia bukan tentang siapa yang membuat jualan terbanyak - ini tentang bagaimana persaingan dapat mendorong saya untuk memperbaiki diri dan mereka ciptaan yang lagi baru dah unik," ujar Cik Adlina.

PELBAGAIKAN JENIS REKAAN UNTUK TARIK PELANGGAN

Bagi sebuah lagi jenama tempatan yang menawarkan pilihan pakaian sukan bagi Muslimah, idea tercetus apabila melihat adanya jurang dalam pasaran semasa mengendalikan kelas-kelas senaman. 

Menurut pengasas jenama GLOWco, Cik Nawal Alhaddad, tudung yang dipakai para pelajarnya sering bergerak dan dibasahi peluh.

Bagi mereka yang bertudung, pemilihan fabrik tudung menjadi faktor utama apabila bersukan. jika tidak menggunakan fabrik yang tidak bersesuaian, hijab yang dipakai akan sukar menyerap peluh dan menjadikannya tidak selesa. 

Oleh itu, koleksi GLOWco menawarkan pelbagai tudung yang diperbuat daripada poliester untuk memberi keselesaan kepada si pemakai. Malah pelbagai rekaan ditawarkan bagi memberi pilihan yang lebih luas.

Kini GLOWco menawarkan sebanyak 10 jenis hijab sukan bagi memenuhi permintaan yang ada.

Cik Nawal berkata: "Kumpulan saya dan saya melihat penjualan meningkat sekitar 40 peratus selepas pelancaran koleksi hijab sukan kami. Saya ingat dulu saya terkial-kial cari hijab sukan tapi sekarang dengan sokongan jenama-jenama tempatan, jenama 'activewear' dan juga antarabangsa, wanita-wanita rasa mereka ada pilihan untuk menutup aurat semasa bersenam."

GLOWCO TURUT GUNA FABRIK DIBUAT DARIPADA BAHAN-BAHAN MESRA ALAM

Cik Nawal juga sering mendapatkan maklum balas tentang produk-produk hijab sukannya bagi menghasilkan produk yang selesa dan bermutu tinggi.

"Banyak faktor-faktor seperti sama ada fabrik itu boleh tahan lama, daya regang  fabrik itu dan juga teknologi yang digunakan untuk menghasilkan produk. Pada kita amat penting untuk memakai fabrik yang dibuat daripada bahan-bahan yang dikitar semula ataupun fabrik-fabrik mesra alam sekitar."

Di samping menjaga mutu produknya, Cik Nawal juga mahu memastikan ia dijual pada harga yang berpatutan. 

Harga hijab sukan yang ditawarkan syarikat tersebut sekitar 40 peratus lebih rendah berbanding sesetengah jenama antarabangsa. 

Cik Nawal juga kini berhasrat untuk memperluaskan perniagaan GLOWco ke negara-negara jiran. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan