Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Jazz sering disalah fahami muzik golongan elit

Ramai yang salah anggap dan mengaitkan Jazz sebagai genre muzik untuk golongan elit.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA : Ramai yang salah anggap dan mengaitkan Jazz sebagai genre muzik untuk golongan elit.

Namun Jazz sebenarnya merupakan jenis muzik yang bermula pada awal abad ke-20 dalam kalangan masyarakat Afrika-Amerika di New Orleans.

Ia gabungan pengaruh lagu-lagu rakyat Afrika Barat, kerohanian, blues, 'Ragtime' dan pancaragam.

Pada tahun 1920-an, ia berkembang ke kota-kota besar seperti New York dan Chicago sebelum melalui
era 'Swing' pada akhir 1930-an sebelum mencapai kemuncaknya pada akhir 1950-an sebagai muzik jazz moden.

Kemunculan awal Jazz di Singapura pula dipercayai pada zaman sebelum perang dan biasanya dimainkan di tempat-tempat eksklusif seperti di kelab dan hotel.

 (Rozie Rahim)

"Sebenarnya muzik jazz ini sudah lama ada. Tahun 1950-an, malah sebelum itu. Tetapi pada waktu itu muzik jazz banyak hadir hanya di kelab-kelab malam. Ahmad Jaafar, Yusuf B... mereka adalah komposer-komposer, orang-orang pertama yang bermain di kelab-kelab ini. Jadi pengalaman yang dibawa dari kelab-kelab, muzik yang didengar, pendedahan yang mereka dapat, perlahan-lahan dibawa ke radio dan televisyen," kata penyanyi dan penggiat muzik Jazz setempat Rozie Rahim.

Ia dikatakan mula berkembang di Malaysia pada tahun 1950-an.

Penyanyi Jazz Malaysia, Sean Ghazi menjelaskan, "Saya fikir ia bermula pada tahun-tahun 1950-an, dengan artis seperti Gus Stein, Alfonso Soliano, Jimmy Boyle dari Penang"

JAZZ@PERSADA PERKENAL MUZIK JAZZ KEPADA MASYARAKAT MELAYU

Sean, Rozie dan Ermy Kullit diundang untuk menjayakan acara 'Jazz@Persada' anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) pada Julai lalu.

Ia sebahagian usaha pihak WGS untuk memperkenalkan irama muzik jazz buat pendengaran masyarakat Melayu serta berkongsi keindahan dan asal-usulnya.

Penerbit Eksekutif Jazz@Persada, Hafeez Harun menjelaskan matlamatnya, "Saya ingin orang ramai mengenali jazz dan menikmati muzik bermutu. Perlu bagi generasi mendatang untuk menyerap muzik yang dapat menyegarkan perkembangan minda dan halwa telinga kita.

"Saya dapati Singapura masih lagi tertinggal dalam mengetengahkan muzik bertahap tinggi seperti jazz. Sebenarnya kita ada bakat, punya sumber dan kita perlukan wadah untuk diketengahkan "

Legenda jazz dari Indonesia yang dikenali menerusi suara serak-serak basahnya, Ermy Kullit berkongsi tentang muzik jazz yang popular di Indonesia

"Sejak kebelakangan ini ada artis baharu jazz seperti Andien, Dira Sugandi dan ramai lagi yang cemerlang. Kumpulan jazz juga banyak sekali. Dan di setiap kota di Indonesia terdapat masyarakat jazz. Setiap tahun di mana-mana sahaja dianjurkan pesta jazz.

(Erny Kullit)

"Tetapi kalau saya pribadi, Indonesia dan Malaysia tidak jauh berbeza. Tetapi Singapura lebih berarah ke Indonesia kerana bahasa kita yang Melayu, sama Malaysia juga sama. Mudah-mudahan muzik-muzik dari Indonesia boleh memberi inspirasi kepada teman-teman atau adik-adik dari Singapura dan Malaysia."

Rozie, yang merupakan anak kepada ‘Nat King Cole Singapura Rahim Hamid berpendapat ramai artis membawa nostalgia pada lagu malar segar dengan memberi suntikan jazz.

"Ada lebih dari 40 macam cabang jazz. Tetapi yang selalu kita dengar adalah 'Swing', 'R&B', 'Bebop', 'Dixie'. Kita di Nusantara ini lebih kepada rentak 'Swing'. Seperti lagu-lagu Sheila Majid. R&B itu sebahagian daripada jazz. Jadi penyanyi-penyanyi seperti Dayang Nurfaizah, Fairuz Hussein umpamanya, malah Salamiah Hassan, mereka adalah penyanyi-penyanyi jazz. Tetapi kerana lagu-lagu mereka lebih cenderung kepada 'Pop', jadi orang kurang mengerti yang itu sebenarnya adalah jazz."

Ermy Kullit pula menambah, "Kerana satu lagu, 10 orang nyanyi boleh berbeza-beza. Jadi lagu sama tetapi boleh dijadikan 'Sentimental', 'Balada', 'Bossanova', 'Swing', macam-macam."

Bagi Sean Ghazi, beliau tertarik kepada karya-karya klasik Tan Sri P. Ramlee yang mengandungi banyak unsur muzik jazz.

"Sebenarnya lagu-lagu P. Ramlee memang ada perisa jazz yang asli. Bukankah P. Ramlee seorang artis yang sangat mencari inspirasi dari bentuk muzik yang lain? Jadi muziknya dipengaruhi oleh rentak 'Bossanova', 'Latin', 'Big Band'. Maka apabila artis seperti saya hendak berikan sentuhan jazz kepada lagu-lagu P. Ramlee, saya rasa macam ia perkara semulajadi, sebab begitulah bagaimana Allahyarham dipengaruhi."

JAZZ@PERSADA TARIK LEBIH 350 PENONTON

Bagi lebih 350 orang menikmati lagu-lagu yang dipersembahkan di 'Jazz@Persada' di ruang Persada Budaya di WGS yang diubah menyerupai sebuah kelab jazz,

"Selalunya senario jazz amat kurang di Singapura. Selalu kita nampak banyak di luar negara sahaja. Namun malam ini seronok kerana dapat menonton muzik jazz bertema lama, membawa ke moden," kata Aqib Sulaiman

Moh Kamsa Bakri dari Batam yang sempat datang ke Singapura untuk menonton meluahkan rasa kagumnya.

"Luar biasa! kerana artis-artis undangan yang 'super', yang punya aura yang luar biasa, seperti Ermy Kullit yang tiada tandingnya. Juga artis yang dari Malaysia tadi, juga Rozie Rahim. Memang mereka-mereka ini adalah penerus muzik jazz," kata beliau

Nurashikin Rahmat pula berkata: "Ternyata Jazz boleh dinikmati oleh semua orang. Sebab ia ada macam sifat kelembutan, ada rancaknya juga dan menggunakan alat-alat muzik yang amat menarik!"

"Malam ini saya pelajari banyak perkara tentang jazz. Antaranya ditampilkan artis-artis Melayu yang menyanyi jazz. Kerana, selalu kita dengar lagu jazz ni mungkin agak cenderung ke arah nyanyian Indonesia. Tapi hari ini kita lihat di Singapura, yang dari Malaysia juga menyanyikan lagu-lagu jazz," kata Encik Afi Hanafi.

'Jazz@Persada' dipersembahkan WGS dengan kerjasama D'Star Management dengan sokongan Jalur Budaya Geylang Serai.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan