Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Jasa tokoh sasterawan Allahyarham Suratman Markasan dikenang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: ‘Surat Nan Budiman, Mengenang Jasa Ilham Suratman Markasan’.

Begitulah tema acara memperingati tokoh persuratan tersohor itu, selang 25 hari pemergian Allahyarham pada 27 Februari lalu.

Acara di Chamber, The Arts House pada Sabtu (23 Mac) itu dihadiri 60 hadirin.

Pengerusi Majlis Bahasa Melayu, Fahmi Aliman membuka majlis dengan mengenang sumbangan Almarhum.

"(Allahyarham) Pak Suratman telah banyak menabur bakti kepada inisiatif-inisiatif Majlis Bahasa Melayu Singapura sejak Majlis Bahasa mula-mula ditubuhkan," kata beliau.

Encik Fahmi juga menyampaikan kata-kata juang Allahyarham sebagai pembakar semangat buat generasi muda. Beliau turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat bekerjasama dengan Allahyarham.

Pengarah Eksekutif, Majlis Buku Singapura, Encik William Phuan pula berharap agar legasi Almarhum yang memartabatkan sastera Melayu akan terus dikenang generasi hari ini.

Dalam ceramah penghargaan yang berjudul 'Sang Surat yang Pengayom dan Penganyam', Dr Azhar Ibrahim Alwee memuji kesederhanaan peribadi Allahyarham Suratman Markasan dan mengenang kata-kata yang sering diingatkan Allahyarham bahawa 'Sasterawan harus menjadi mata dan telinga untuk masyarakat'.

Menurut Dr Azhar, suara Allahyarham adalah suara kemanusiaan dan mengimbas bagaimana novel Allahyarham, ‘Tiada Jalan Keluar’ yang memaparkan dilema masyarakat kecil kurang mendapat sorotan.

Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu mengakhiri ceramahnya dengan memberi tabik hormat kepada Allahyarham, setelah menyenaraikan 20 sifat ketokohan Allahyarham dalam bidang kesusasteraan.

"Kerana tekun itu memang ciri (Allahyarham) Pak Suratman. Sangat-sangat teliti membuat kerja, terus membangun, tidak pernah tahu penat atau lelah. Kalau 'anggun' itu Allahyarham ada 'sentuhannya'. Maksudnya, beliau melakukan sesuatu dengan stailnya. Saya rasa dalam tekun dan anggun itu, satu dinamika yang sangat istimewa lah, dari bacaan saya tentang ketokohan Pak Suratman," kongsi Dr Azhar.

RAKAN SASTERAWAN KONGSI REFLEKSI KENANG ALLAHYARHAM

Guru, pemikir dan budayawan tersohor, Suratman Markasan turut dikenang menerusi refleksi dan ucapan sasterawan dan mereka yang dekat dengannya.

Membuka sorotan kenangan ialah penulis Encik Hamed Ismail yang berkongsi rasa masih terganggu dek pemergian Allahyarham secara mendadak.

Beliau mengenang warisan karya Allahyarham, serta kemesraan Allahyarham dengan para penulis.

Encik Hamed menarik perhatian bahawa Allahyarham merupakan penulis terakhir yang telah melalui zaman penjajahan British hingga ke waktu Singapura mencapai kemerdekaan.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai ikon pejuang gigih sastera dan Bahasa Melayu.

Dr Roszalina Rawi pula mengenang perasaan tidak percaya apabila menjadi rakan sekuliah sewaktu Allahyarham berumur 79 tahun sementara beliau berusia 30 tahun.

Menurutnya, beliau kagum akan sifat merendah diri Allahyarham.

Seorang lagi rakan penulis seangkatan Allahyarham, Encik Suraidi Sipan menyifatkan Allahyarham ibarat kuntum-kuntum melati di taman, yang mengeluarkan haruman semerbak.
Encik Suraidi Sipan. (Gambar: Roslinda Rahmat)
Selain mengenang ketokohan Allahyarham, Encik Suraidi turut mengirimkan titipan dari sasterawan besar Indonesia, Taufik Ismail, yang juga amat merasakan kehilangannya.

Salah seorang daripada empat anak Allahyarham, Dr Suriani Suratman pula memulakan perkongsiannya mengenai Almarhum dengan mengucapkan penghargaannya di atas penganjuran majlis itu.
Dr Suriani Suratman. (Gambar: Roslinda Rahmat)
Beliau berkata beliau merasa rendah hati mengenali arwah bapanya menerusi kaca mata para hadirin.

Dr Suriani berkongsi bahawa arwah bapanya seorang yang tegas namun adil.

Masih terngiang-ngiang di telinga Dr Suriani akan kata-kata Allahyarham, “Selagi Abah hidup, Abah akan terus menulis.”

HASIL KARYA ALLAHYARHAM SURATMAN TURUT MENYENTUH PERASAAN GOLONGAN MUDA

Majlis peringatan itu juga menghidupkan kembali puisi-puisi Allahyarham yang memperlihatkan pengamatan dan sumbangannya dalam melestarikan sejarah sosial masyarakat.

Acara petang tadi juga menampilkan Sahabat Sastera, Muhammad Ilya Kamsani yang menyumbangkan nyanyian dua buah lagu sebagai tanda ingatan buat Almarhum.
Muhd Ilya Kamsani (kiri). (Gambar: Roslinda Rahmat)
Lagu berjudul 'Ayah' oleh Rinto Harahap yang didendangkan mengundang titisan air mata dari kalangan hadirin, termasuk Dr Suriani.

Selain itu, Ilya juga menyampaikan dua buah puisi dalam acara itu, termasuk karya Almarhum yang berjudul 'Kita Merdeka, Kita Belum Selesai'.

"Apabila Ilya kaji atau baca puisi-puisi, karya-karya beliau, Allahyarham seorang sosok yang sangat-sangat tawaduk. Allahyarham mengajar kita tentang kehidupan beragama. Bukan sahaja dari sudut Kesolehan Individu tetapi Kesolehan Sosial yang selalu dikesampingkan. Iaitu nilai-nilai kemasyarakatan seperti empati, toleransi, saling hormat-menghormati, kasih sayang.

"Cikgu Suratman ini penulisannya sangat-sangat ikhlas. Sebab kita tahu kalau kita pernah jumpa beliau, Islam itu sangat mendarah daging dalam dirinya. Tetapi Islam yang bagaimana itu yang kita harus angkat? Dan itulah saya rasa ramai orang terlepas pandang. Kesolehan Sosial Cikgu Suratman itulah yang saya rasa lebih penting untuk kita angkat dalam karya-karyanya," kongsi beliau.

Dr Azhar menambah: "Bukan sahaja Allahyarham mengungkapkan, tetapi juga mengamalkan dan Allahyarham memberi contoh kepada sahabat-sahabat dan anak-anak didik yang muda-muda seperti kita."

Jelas, gugurnya permata dunia sastera Melayu, Suratman Markasan, amat terasa.

Penganjuran ‘Surat Nan Budiman, Mengenang Jasa Ilham Suratman Markasan’ itu diharap dapat merangsang generasi pelapis untuk terus memperjuangkan usahanya dalam memartabatkan sastera, bahasa dan bangsa Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan