BERITA+: Jangan buang sisa makanan di rumah; jadikan kompos untuk suburkan tanaman

Sempena Hari Permakultur Sedunia hari ini (7 Mei) dan Minggu Kesedaran Kompos, laporan BERITA+ minggu ini, beri tumpuan kepada konsep pertanian yang bergantung kepada bahan semula jadi dan lebih mampan.
GUNA SISA MAKANAN UNTUK HASILKAN KOMPOS
Teknik menghasilkan baja pokok yang lebih mesra alam itu juga boleh diusahakan sendiri.
Antara individu yang sudah mengorak langkah ke arah kemampanan itu ialah Encik Syed Shabir Ahamed.
Beliau gemar berkebun dan di rumahnya di Tampines, Encik Shabir menggunakan kaedah hidroponik.
Minatnya itu juga mendorongnya mencari cara mampan menghasilkan bahan baja untuk tanamannya.
Dua tahun lalu, beliau mula tertarik untuk menggunakan kompos sebagai sumber nutrien.
"Saya dan isteri tidak suka membuang makanan sembarangan. Daripada situ, kami mula belajar menyimpan sisa makanan di rumah seperti kulit buah epal dan pisang untuk dijadikan kompos.
"Kepuasannya ialah apabila kami dapat kitar dan gunakan semula sisa-sisa makanan. Jika semua keluarga di Singapura melakukannya, kita tidak perlukan tapak pelupusan untuk membuang sampah," kata pengendali kren berusia 34 tahun itu.
Encik Shabir mendapat tunjuk ajar salah seorang pengasas inisiatif Project Black Gold, Cik Chen Ching Wei, seorang ahli permakultur yang berpangkalan di Australia.

"Sisa-sisa makanan itu sebenarnya masih ada khasiat. Apabila anda menambahnya ke dalam tanah, ia memberi makan kepada bumi kita. Ia memberikan kesuburan kembali kepada tanah dan dari situ anda boleh melakukan banyak perkara. Anda boleh menanam makanan yang baik, sebagai contoh. Jadi jika anda berada di dapur dan menyediakan makanan untuk keluarga anda, fikirkan tentang bagaimana anda akan memberi makan kepada bumi serta keluarga anda," jelas Cik Chen.
Menurutnya, semakin ramai penduduk Singapura yang berminat untuk menghasilkan kompos mereka sendiri namun kurang berjaya kerana kaedah yang digunakan tidak bersesuaian dengan iklim negara ini yang panas dan lembab.

CARA MEMBUAT KOMPOS
Menurut Cik Chen terdapat dua komponen untuk membuat kompos iaitu karbon dan nitrogen.
Sumber karbon termasuk tatal kayu, kadbod dan daun kering manakala cebisan-cebisan sayur, kulit buah-buahan dan malah tulang ayam dan kulit udang juga boleh ditambah sebagai sumber nitrogen yang baik.
Untuk menghasilkan kompos yang baik, sisa makanan yang digunakan mestilah segar.
Balang plastik seperti yang digunakan untuk mengisi kuih raya yang suda ditebuk dengan lubang boleh digunakan.
Kandungan lapisan karbon yang digunakan harus seganda lebih banyak berbanding bahan nitrogen kerana kandungan yang tidak seimbang akan menyebabkan kompos tidak menjadi, berbau busuk dan menarik haiwan perosak.
Dalam jangka masa sehari dua, suhunya akan meningkat.
Kalau tidak panas bermakna proses kompos itu tidak menjadi.
Keseluruhan proses mengambil masa kira-kira enam minggu.
KEBUN BANDAR CITY SPROUTS GALAK PEKEBUN GUNA KOMPOS
Kaedah mampan ini juga digunakan sebuah kebun dalam bandar, City Sprouts.

Kebun di bekas tapak Sekolah Menengah Henderson itu yang mempunyai 37 plot yang disewakan menggunakan satu lagi kaedah untuk menghasilkan kompos.

Selain menyediakan nutrien penting buat tanam-tanaman, kaedah ini juga dapat menyuburkan tanah.
"Kompos bukan baja untuk tumbuhan. Ia untuk tanah. Ia seperti tonik untuk tanah. Sebab itu penting kerana tanpanya, tanah tidak akan mempunyai sebarang mikroorganisma atau organisma hidup. Tanpa tanah yang hidup, anda tidak akan mempunyai tumbuhan, itulah sebabnya kami menggalakkan pekebun kami di sini untuk menggunakan kaedah pengkomposan," jelas beliau.
Tambahnya, baja kimia hanya mempunyai manfaat jangka pendek dan boleh menyebabkan pencemaran.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.