BERITA+: ItsRainingRaincoats, Roger&Sons sambut Krismas secara mampan
Menjelang Hari Krismas esok (25 Dis), wartawan Nurfazirah Azman membawa usaha badan amal ItsRainingRaincoats dan syarikat pertukangan kayu Roger&Sons untuk menyambut perayaan itu dengan cara yang lebih bermakna dan mampan.
Setiap menjelangnya Krismas, ibu pejabat ItsRainingRaincoats di Upper Paya Lebar Road dipenuhi dengan pelbagai barangan baharu dan lama.
Ia hasil sumbangan orang ramai dan juga badan-badan korporat untuk inisiatif inspIRRe kendaliannya dan juga acara amal sempena sambutan Krismas yang dimulakan enam tahun lalu.
ItsRainingRaincoats adalah pertubuhan bukan untung pertama seumpamanya di Singapura yang menyediakan ruang untuk orang awam mendermakan barang-barang keperluan dan seharian untuk diberikan kepada pekerja hijrahan di sini.
Setiap tahun, IRR berhasil mengumpul kira-kira 10,000 hadiah.
Bagi mengelakkan pembaziran, para sukarelawannya hanya menggunakan kertas-kertas bungkusan yang terpakai.
IRR juga menggalakkan para penderma untuk menyumbang barang-barang yang belum digunakan atau terpakai yang masih dalam keadaan baik.
"Memandangkan gaji mereka sangat rendah dan mereka bekerja keras untuk kami, mereka sering kekurangan sumber untuk mendapatkan barangan yang diperlukan. Terutamanya barangan yang lebih mahal seperti cerek, kipas, atau bagasi," kata Pengasas Its Raining Raincoats, Dipa Swaminathan.
Beliau menambah bahawa usaha itu memanfaatkan kedua-dua penderma dan penerima.
"Ia memberi manfaat kepada pihak pekerja hijrahan dan Singapura secara keseluruhan kerana terdapat saluran di mana orang ramai boleh menghantar barangan tersayang mereka dan mengurangkan jejak karbon Singapura," tambah Cik Dipa.
Setiap minggu, hampir 80 pekerja hijrahan boleh menempah slot melalui akaun Facebook IRR.
Mereka boleh mengambil apa sahaja barangan yang mereka inginkan secara percuma.
"Ini kali keempat saya ke sini. saya ke sini untuk ambil barangan elektronik, baju, botol air, payung dan banyak lagi. Ia sangat membantu kami kerana kalau kita beli baju di luar, mahal," kata pekerja hijrahan, Iqbal.
HARAP JUMLAH RELAWAN DAPAT BERTAMBAH
Ia bergantung kepada tenaga lebih 1,500 relawan yang membantu menguruskan pengumpulan dan pemberian barang-barang dan hadiah.
Antaranya ada relawan cilik, Chelsea Lim yang berumur 5 tahun.
"Saya ingin mendedahkan anak saya kepada kumpulan ini kerana mereka sudah lakukan banyak dan jadi ia bukan sesuatu yang mereka boleh lupakan. Memahami bahawa ada orang dalam dunia ini yang tidak mempunyai pengalaman yang sama dengannya," kata ibunya, Ruth Yeo, 31 tahun.
Belia berusia 17 tahun, Titus Lim juga berharap dengan menjadi relawan IRR, ia dapat menimba ilmu pengetahuannya mengenai pekerja hijrahan dan cabaran yang mereka hadapi.
"Saya hendak tahu apa yang mereka perlukan, impian dan matlamat mereka dalam kehidupan kerana mereka manusia macam kami dan mereka datang ke sini untuk bekerja dan membina Singapura. Ia menyedihkan dan saya ingin tahu lebih banyak tentang mereka, kata Titus.
Cik Dipa menarik perhatian banyak boleh dilakukan untuk menarik lebih ramai relawan dan kumpulan bantuan untuk membantu golongan tersebut.
Memandang ke hadapan, beliau berharap usaha IRR dapat berkembang maju.
HASIL PRODUK KAYU KITAR TINGGI SEBAGAI HADIAH
Syarikat pertukangan perabot Roger&Sons pula menampilkan penggunaan bahan kitar semula dan kitar tinggi sebagai menyokong usaha kemampanan.
Pada 2019, ia memulakan inisiatif 'The Local Tree Project' untuk menyelamatkan pokok tempatan yang terbiar, yang ditebang untuk pembangunan semula bandar, dan mengubahnya menjadi objek tahan lama dan perabot.
"Di Singapura, terdapat tiga hingga empat kilang papan dan setiap kilang mempunyai empat padang bola sepak dengan susunan pokok-pokok setinggi lima meter dan tidak disimpan secara menegak. Jadi anda boleh bayangkan jumlah pokok yang terdapat di Singapura," kata Pengarah Operasi Roger&Sons, Encik Ryan Yeo.
Roger&Sons memastikan keseluruhan bahagian pokok tidak terbazir dengan menukar potongan kayu kepada produk lain.
"Dari segi sosial, kami cuba mendekati pelbagai sekolah dan orang ramai untuk mendidik mereka tentang industri pertukangan kayu yang kami ada dan untuk memberi kesedaran tentang jumlah pokok yang boleh digunakan sebagai bahan di Singapura," tambah Encik Ryan.
BERAMAL SAMBIL SEBAR MESEJ KEMAMPANAN
Sempena perayaan Krismas tahun ini, ia menghasilkan produk-produk kitar tinggi untuk diberikan sebagai hadiah.
Ia turut menyokong acara 'Christmas at the Stable' anjuran badan amal Equal+ yang juga secara aktif menyokong usaha kemampanan dan mencegah pembaziran.
"Kami adalah sebuah badan amal yang menyediakan program bantuan haiwan kepada pelbagai penerima manfaat. Daripada kanak-kanak, belia kepada keluarga serta warga emas. Kami bekerja dengan orang berkeperluan khas serta orang yang berdepan dengan kemurungan dan demensia," kata CEO Equal+, Cik Sandra Leong.
Menariknya, acara 'Christmas at the Stable' itu turut dihias indah dengan perhiasan dan lampu-lampu Krismas yang dipasang kawasan Orchard Road pada tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.